Seni & Sukan 20 Jun, 2021

Video| Hari Bapa: Benar ke kita hargai pengorbanan bapa? Kian ramai ibu bapa di rumah orang tua?

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this

Gambar hiasan... Golongan bapa merupakan teraju utama dalam membangunkan kerukunan dan kebahagiaan sesebuah institusi kekeluargaan atau rumah tangga. Apabila anak-anak mereka meningkat dewasa dan berjaya dalam hidup; lain pula ceritanya kerana nasib seorang bapa atau ibu ketika meningkat usia lanjut belum tentu mereka akan dijaga oleh anak-anak mereka.


Mungkin ada dalam kalangan daripada kita yang terlupa, sebagaimana tahun-tahun sebelumnya dan di Malaysia Hari Bapa di sambut pada Ahad minggu ketiga dalam bulan Jun setiap tahun.

Pada Mei minggu kedua lalu (9 Mei 2021), kita baharu sahaja meraikan Hari Ibu dan tahukah anda kita sering terlupa atau langsung tidak tahu bahawa ada hari bersejarah buat kaum bapa, ayah, baba, papa, ayahanda, abah dan sebagainya.

Lazimnya meraikan Hari Bapa tidaklah semeriah Hari Ibu kerana kebanyakan anak lebih dekat dan mesra serta mengingati golongan ibu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bapa


Pada tahun ini Hari Bapa diraikan pada 20 Jun 2021 dan umum mengetahui ia merupakan tahun kedua bagi kita menyambutnya dalam suasana pandemik covid-19.

Kita sebagai seorang anak wajar menghargai dan mengenang jasa serta pengorbanan kedua-dua ibu bapa kerana tanpa mereka siapalah kita.

Sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad S.A.W, sewajarnya kita meraikan ibu dan bapa setiap hari dengan hati ikhlas tanpa mengharap apa-apa balasan.

Alangkah baiknya sebagai seorang anak yang soleh atau soleha patut menghargai dan meraikan mereka ketika masih hidup dengan mengenangkan jasa dan menghargai pengorbanan ketika mereka (ibu bapa) melalui saat-saat kesukaran, kesulitan serta bermacam-macam lagi ujian dan dugaan hidup sewaktu membesarkan kita sehingga dewasa.

Islam sangat menitik beratkan soal berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Bahkan amalan birr al-walidayn (berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa) merupakan antara ibadah yang paling besar selepas tauhid kepada Allah S.W.T. 

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Nisa’ (ayat 36) bermaksud:

Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa.

Justeru, melihat konteks ayat di atas sayugia kita dituntut untuk berbuat baik dengan kedua-dua ibu bapa; namun di sana terdapatnya sebuah riwayat yang melebihkan kedudukan seorang ibu berbanding bapa dalam isu berbuat kebaikan kepada mereka.

Ini dapat kita lihat berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada baginda Rasulullah S.A.W:

‘’Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?’’. Maka Rasulullah S.A.W. menjawab:

Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu. - Riwayat Muslim (2548)

Maka bersandarkan daripada hadis ini, bahawa jelas sekali kedudukan seorang ibu itu patut terlebih dahulu mentafdilkan (mengutamakan) bagi seorang anak untuk melakukan kebaikan kerana telah diulang sebanyak tiga kali (menyebut ibu kamu) kemudian baharu disebut bapa kamu. 

Bahkan telah disebutkan ijmak para ulama seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Haris al-Muhasibi dalam mengutamakan berbuat baik kepada ibu bapa disebabkan sarihnya madlul (isi yang ditunjukkan) oleh hadis tersebut.

Selanjutnya berbuat kebaikan kepada kedua-dua orang tua kita adalah bermaksud  hendaklah kita sentiasa bersikap lemah-lembut, merendahkan diri di hadapan mereka, mengasihi, memuliakan, serta mentaati mereka dalam hal-hal yang makruf. 


Nasib seorang bapa akhirnya disingkir keluar daripada kehidupan berkeluarga akibat perbuatan anak-anak mereka yang tidak bertanggungjawab apatah lagi mahu menjaganya.


Namun, umat akhir zaman kini terdapat segelintir mereka (anak-anak) yang mengabaikan penjagaan dan kebajikan ibu bapa mereka mungkin berpunca daripada pelbagai faktor seperti sikap buruk ibu bapa yang bengis, garang, suka mendera, keluarga yang berpecah-belah dan sebagainya.

Walau apa jua pun status ibu bapa kita terutama ketua keluarga (bapa) yang suka  memukul isteri (ibu), kaki judi, panas baran, pemabuk dan sebagainya; mereka adalah permulaan kita hidup di dunia ini.

Meski pun seorang bapa atau ayah jarang menunjukkan rasa cinta dan kasihnya, namun dia akan tetap berjuang dan berkorban demi masa depan keluarganya. 

Pengorbanan ini (bapa) bukan mudah, tetapi semua keinginan anak-anaknya sedaya upaya akan dipenuhinya. Sebaliknya, peranan seorang anak pula  terkadang berlaku sikap acuh tidak acuh terhadap ayahnya.

Khalayak sering didedahkan berita atau cerita anak-anak sanggup membuang bapanya, menghantar ke rumah jagaan orang tua atau membiarkan bapa mereka  terlantar sendirian di hospital dan pelbagai lagi kisah sedih mengenai nasib bapa yang terabai kebajikan dan penjagaan mereka.


Sumber: Laporan Tahunan JKM 2018.


Sumber: Laporan Tahunan JKM 2018.


Di Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diberi tanggungjawab untuk menjaga hal ehwal kebajikan warga emas (ibu bapa).

Laporan tahunan JKM 2018 mendedahkan orang Melayu paling ramai direkodkan menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan rumah orang tua termasuk swasta iaitu sebanyak 61.3 peratus, Cina (17.5 peratus), India (12.6 peratus) dan baki 8.6 peratus lain-lain kaum.

Sebanyak  6,927 warga emas menjadi penghuni di 1,612 pusat jagaan orang tua milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO - 470 buah), swasta (1,142) di seluruh negara.

Manakala golongan bapa (lelaki) merupakan paling ramai mendiami Rumah Seri Kenangan (RSK) iaitu sejumlah 868 orang berbanding wanita (ibu) hanya 545 orang daripada keseluruhan penghuni RSK (9 buah)  yang direkodkan oleh JKM. - KitaReporters.



Sumber:

https://www.jkm.gov.my/jkm/uploads/files/penerbitan/inlay_statistik_v5_final.pdf

https://www.jkm.gov.my/jkm/index.php?r=portal/left&id=M2k3Q2xST0JJWE9Qa2Z2L253VDl2dz09

2
0
0
0
0
You will be interested