Seni & Sukan 12 Aug, 2020

Bunga Isme & 'Aku, Bunga'! Uji lakonan gadis rapper berhijab

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

RENTETAN berpakaian baju kurung dan berkasut sukan ketika bernyanyi lagu 'rap', gadis berhijab, Bunga Isme yang tular dan mendapat perhatian media antarabangsa kini buat julung kalinya beralih ke dunia lakonan apabila ditawarkan berlakon oleh pengarah tersohor, Kabir Bhatia dalam telefilem ‘Aku, Bunga” - KitaReporters

Bunga Isme. - Kredit gambar:  Instagram @bungaisme


Lagi cerita-cerita berkaitan penyanyi:

https://kitareporters.com/search?search=penyanyi


Mengakui cerita ‘Aku, Bunga’ ada sedikit persamaan dengan perjalanan hidupnya yang mahu mengembangkan bakatnya dalam industri hip hop, pemilik nama sebenar, Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 20, digandingkan berlakon bersama Juara AJL34, Naim Daniel, 22, dan pelakon yang sedang meningkat naik, Ben Amir, 30.




“Saya anggap ini rezeki yang datang bergolek apabila ditawarkan berlakon oleh pengarah terkenal seperti Kabir Bhatia,” ujar Bunga ketika ditemui pada majlis pratonton ‘Aku, Bunga’ di sebuah pawagam di Starling Mall, pada hari semalam, Selasa 11 Ogos 2020. Turut hadir bersama, Kabir Bhatia dan Ketua Saluran Astro First Eksklusif & Astro Best, Sharmin Parmeswaran (gambar bawah, kanan).

Filem televisyen (telefilem) ’Aku, Bunga’ bakal ditayangkan melalui Astro First Eksklusif, saluran 480 bermula esok (13 Ogos 2020) serta di platform On Demand untuk pilihan alternatif.


Bercerita lanjut mengenai pengalaman pertamanya berlakon, Bunga memberitahu, banyak mendapat kerjasama dan tunjuk ajar daripada Kabir mahu pun Naim dan Ben Amir yang berpengalaman. “Saya juga belajar berlakon daripada Kak Ogy (Fauziah Ahmad Daud) selama sehari sebelum memasuki set penggambaran,” tambah Bunga.

Menyedari dirinya seorang yang bukan sahaja lurus bendol tetapi sebagai anak bongsu daripada 11 adik beradik (termasuk 4 beradik kandung), beliau mendapati sukar apabila diberikan peranan memarahi ‘bapanya’  lakonan Aman Graseka.

“Babak saya memarahi ayah itu terpaksa dirakamkan sebanyak 9 kali kerana sukar bagi saya untuk marah seorang ayah yang sudah tua,” ujar Bunga jujur mengakui rasa tidak selesa dikehendaki memarahi seorang yang bergelar bapa.


Dalam pada itu, sebagai seorang gadis Muslimah, Bunga yang dilihat ada melakukan babak sentuhan tidak khuatir jika mendapat komen negatif daripada netizen.

“Apa yang dapat dilihat adalah sekadar sentuhan berlapik sebagaimana kehendak skrip dan sudah tentu saya tidak akan bersetuju jika dikehendaki berpeluk dan sebagainya,” jawab Bunga yang bersyukur pengarah Kabir Bhatia sentiasa prihatin dan bertanya kepadanya apakah beliau selesa apabila perlu bersentuhan pada babak-babak tertentu.

Pelajar Diploma Pentadbiran Awam di UiTM Seremban 3 ini tidak menolak sekiranya ada tawaran berlakon asalkan ia tidak menganggu pengajiannya. “Semasa penggambaran "Aku, Bunga" saya cuti semester jadi sebab itu saya dapat berada di set penggambaran selama 8 hari,” ujarnya yang akan kembali menyambung pengajiannya pada bulan Oktober 2020 depan.

Bercita-cita mahu menjadi seorang peguam atau pun ahli politik, Bunga bagaimana pun mahu terus menimba pengalaman sebagai penyanyi dan pelakon selagi mampu, malah lakonan seterusnya bakal disaksikan dalam sebuah telemovie ‘Holiday Haji Tom’ bersama pelakon Syafiq Kyle, yang baru selesai penggambarannya.

Menjengah ke laman Instagramnya, dapat dilihat sisi Bunga yang merupakan seorang gadis yang ceria bahkan sepangjang temuramah yang berlangsung, Bunga kelihatan  mudah mesra dan jujur dalam setiap jawapannya. Contohnya apabila menjawab pertanyaan tidak takut ke menerima komen buruk?

“Jika ada yang kutuk, saya mampu minta maaf je lah,” ujarnya ringkas dalam ketawa kecil.

Apa pun jika korang nak lihat berkesan atau tidak lakonannya dalam ‘Aku, Bunga” jangan lupa tempah di saluran Astro First Eksklusif esok ya.



“Aku Bunga” mengangkat elemen muzik, percintaan dan konflik keluarga yang mengisahkan seorang anak tunggal bernama Bunga yang menanam impian untuk mengembangkan bakatnya dalam dunia seni.

Minatnya itu disokong oleh kawan jiran baiknya, Kahor (lakonan Naim Danial). Dan pertemuannya kemudian bersama seorang pemuda yang juga seorang peguam, Shaq (Ben Amir) membawa kepada pelbagai insiden yang menimbulkan konflik apatah lagi apabila ibu Shaq (Laila Nasir) menentang hubungan mereka sehingga berlaku kemalangan yang menimpa Shaq.

Apa kesudahannya? Mampukah cinta menyatukan Bunga dan Shaq atau hubungan keluarga mendahului segalanya?

Jawapannya, anda tontonlah sendiri ya tetapi filem televisyen ini pasti digemari anak-anak muda sekarang terutamanya peminat Bunga malah buah tangan Kabir Bhatia selalunya tidak menghampakan. Disebalik keriangan terselitnya sentuhan yang mampu mengusik emosi penonton. 

Jom layan sedikit tayangan perdana "Aku, Bunga' terbitan Nusantara Seni Karya  di bawah ini.- KitaReporters.



8
0
0
0
0
You will be interested