Seni & Sukan 27 Jan, 2022

Terima kasih PM! Silap mata BAM! Dihukum 2 tahun, 10 hari ditarik balik! Zii Jia, Jin Wei lega!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

ISMAIL Sabri Yaakob (kiri) berbual mesra dengan Lee Zii Jia pada pertemuan di Perdana Putra, Putrajaya. - Kredit foto FB ISY


HANYA dalam 10 hari, segala-galanya boleh selesai? Begitu segeranya ‘hukuman’ dijatuhkan dan semudah itu, ditarik balik? 

Pada 17 Januari 2022, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei diumumkan tidak akan didaftarkan pada kejohanan antarabangsa oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) gara-gara hasrat mereka untuk keluar menjadi pemain bebas.

Pada 27 Januari 2022, badan induk kebangsaan itu membuat pusingan-U untuk membenarkan perseorangan lelaki dan wanita negara ini bertanding dalam semua kejohanan antarabangsa, sekali gus menerima rayuan mereka.

Campur tangan kerajaan sehingga membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, bagaikan memberi ‘angpau’ awal Tahun Baru Cina 2022 kepada mereka.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan badminton

ISMAIL Sabri Yaakob (tiga dari kiri) bergambar dengan Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei (tiga dan dua dari kanan) sambil disertai Mohamad Norza Zakaria (dua dari kiri). - Kredit foto: FB ISY


KANDAS dalam pusingan kedua Sukan Olimpik Tokyo dan menarik diri daripada Master Indonesia dan Kejohanan Dunia kerana kecederaan, antara episod malang yang menimpa Lee Zii Jia sepanjang 2021. - Kredit foto: BAM


Siaran media oleh BAM pada 27 Januari 2022, mengesahkan penarikan balik keengganan mendaftarkan mereka yang diumumkan oleh majlis persatuan itu, 10 hari sebelumnya dengan menambah, “persatuan menimbangkan rayuan yang dikemukakan oleh kedua-dua pemain.

“(Tujuannya) sebagai prosedur awal rasmi sebelum mencapai keputusan untuk melepaskan mereka daripada kontrak masing-masing dengan BAM menurut terma dan syarat yang dipersetujui bersama.

“Keputusan ini telah disampaikan kepada Perdana Menteri dan Penaung BAM, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin oleh Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria hari ini (27 Januari 2022),” lapor siaran itu dalam laman sosial Facebook rasminya.


ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) mengadakan pertemuan dengan Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei berhubung hasrat mereka menjadi pemain badminton bebas. Di kanan ialah Mohamad Norza Zakaria. - Kredit foto: FB ISY 


BAM dalam siaran itu menambah, “kami mahu merakamkan penghargaan tulus kepada Perdana Menteri dan Penaung persatuan atas minat malah keprihatinan mereka dalam perkara ini.

Kedua-dua pemain ini akan layak didaftarkan bagi kejohanan antarabangsa yang berkuat kuasa serta-merta.

“BAM mahu berterima kasih kepada Zii Jia dan Jin Wei atas kesungguhan dan tanggungjawab mereka kepada negara dan mengucapkan selamat maju jaya kepada usaha mereka pada masa akan datang,” lapor siaran berkenaan.


AHMAD Faizal Azumu (kiri) turut mengadakan pertemuan dengan Lee Zii Jia (dua dari kiri) dan Goh Jin Wei (kanan) di Menara KBS, Putrajaya pada 24 Januari 2022. - Kredit foto: FB FA


Begitu istimewanya layanan kepada Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 dan Jin Wei, bekas juara remaja dunia 2015 dan 2018 serta pemenang pingat emas Sukan SEA 2017!

Namun menjadi tanda tanya ialah apakah terma dan syarat yang dipersetujui bersama itu turut membawa maksud sejumlah pampasan kewangan tertentu yang perlu dikeluarkan mereka kerana menarik diri daripada kontrak sebagai pemain badminton kebangsaan dan BAM?

Laman Facebook rasmi Ismail beberapa jam sebelumnya, turut terlebih awal membocorkan pusingan-U BAM itu berhubung rayuan Zii Jia dan Jin Wei dihantar pada 24 dan 25 Januari 2022.

Perdana Menteri persis mengirim ‘servis’ dengan memuat naik: “Bertemu dengan Presiden BAM, Tan Sri Norza bersama kepemimpinan tertinggi BAM.

“Turut serta, Zii Jia dan Jin Wei di Perdana Putra (Putrajaya) tengah hari tadi (27 Januari 2022).

“Perbincangan yang bermanfaat. Alhamdulillah semua selesai. Semoga sukan badminton negara terus cemerlang di pentas dunia dan Jalur Gemilang kembali berkibar di luar negara,” katanya.


LEE Zii Jia pernah menuntut mempunyai jurulatih dan pasukan sokongan sendiri, merancang kejohanan sendiri dan penaja sendiri jika mahu kekal dalam BAM. - Kredit foto: BAM


GOH Jin Wei masih belum meraih sebarang gelaran berprestij selain Kejuaraan Remaja Dunia dan Sukan SEA selain pernah memberikan alasan kesihatan untuk keluar BAM. - Kredit foto: BAM


Zii Jia dalam hantaran Facebooknya pada 25 Januari 2022 berkata, “saya gembira bahawa kini kami telah menyelesaikan isu ini dengan BAM selepas mendapat restu Tan Sri Norza untuk menjadi seorang pemain bebas.” 

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu turut membawa ibu bapa dan kakaknya dalam pertemuan hati ke hati dengan Presiden BAM yang juga menerajui Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu pada 24 Januari 2022. 

Justeru tiada lagi sekatan kejohanan antarabangsa buat masing-masing selama dua tahun mulai 18 Januari 2022 dan 31 Oktober 2021. 

Zii Jia, 23, dikatakan memberikan alasan tidak tahan dengan tekanan dan gaya hidup di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara milik BAM yang dianggap mengongkong dan menyukarkannya.

Fokus kedua-dua pemain ini sekarang ialah memperkasa persediaan skuad lelaki dan wanita negara pada Kejohanan Berpasukan Asia di Pusat Persidangan Setia City, Shah Alam, Selangor dari 15 hingga 20 Februari 2022 yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas-Uber di Bangkok pada 8 hingga 15 Mei 2022. - KitaReporters


LEE Zii Jia (kiri) dan ibu bapa serta kakaknya (kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Mohamad Norza Zakaria (tengah) di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada 25 Januari 2022. - Kredit foto: BAM

12
11
1
12
0
You will be interested