Seni & Sukan 21 Jul, 2020

Malaysia ‘hilang’ 18 emas? Sukan SEA 2021 tampil sukan pelik

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

KALAU dibandingkan dengan Sukan SEA Filipina 2019, kontinjen negara bakal kehilangan antara 18 pingat emas yang dimenanginya dalam lapan jenis sukan yang cuba ‘dibuang’ oleh tuan rumah temasya dwitahunan ke-31, Vietnam pada 2021. : KitaReporters

SAMBO turut cuba dilobi Malaysia masuk Sukan SEA 2021, namun Vietnam lebih berminat dengan seni bela diri tradisi rakyatnya, vovinam. - Kredit foto: FB Sambo Malaysia.


Malah dibandingkan dengan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, 40 butir pingat itu akan terlepas jika sukan-sukan seperti hoki dalam dewan, bola jaring, pelayaran, skuasy, kriket, ragbi tujuh sebelah dan sambo tidak disenaraikan oleh negara Indochina itu.

Lapan sukan lubuk emas Malaysia ini dan tiga yang lain (11) telah mengemukakan rayuan kepada Vietnam dalam mesyuarat Jawatankuasa Sukan dan Peraturan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang diadakan secara dalam talian, hari ini, Selasa, 21 Julai 2020.

RAGBI tujuh sebelah cuba dilobi ke dalam Sukan SEA 2021 biarpun peluangnya tipis kerana tidak popular di Vietnam.


Juga seperti diduga atau secara tradisinya, tuan rumah begitu teruja untuk mempertandingkan sukan-sukan pelik tradisi rakyatnya, dengan Vietnam (hos Sukan SEA 2003) kali ini mencalonkan sukan vovinam, renang sirip dan catur Xiangqi.

Tujuannya tentu sekali semata-mata untuk memastikan tuan rumah mengaut lebih banyak emas dan mengukuhkan peluangnya bergelar juara keseluruhan temasya tersebut, walaupun mungkin hanya tiga negara yang sudi bertanding. 

Sambo dan vovinam merupakan sukan seni tempur yang masing-masing berasal dari Kesatuan Soviet dan Vietnam.

HOKI dalam dewan pada Sukan SEA 2019 menyaksikan dua emas menjadi milik Malaysia. - Kredit foto FB KHM.


Jenis-jenis sukan lain yang dikemukakan dalam mesyuarat SEAGF bagi Sukan SEA 2021 ialah olahraga, akuatik (renang dan terjun), memanah, badminton, bola keranjang, tinju, kanu, berbasikal (lebuh raya dan basikal bukit), sukan tarian, lawan pedang, golf dan gimnastik.

Turut tersenarai ialah bola sepak dan futsal, bola baling, bola tampar, judo, karate, mendayung, menembak, pingpong, taekwondo, tenis, angkat berat, gusti, snuker dan billiard, muay, silat, petanque, sepak takraw, bina badan, wusyu, kurash dan tinju tendang.

SKUAD hoki dalam dewan wanita Malaysia meraikan kejayaan meraih emas Sukan SEA 2019. - Kredit foto FB KHM.


Siaran media Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 21 Julai 2020 menyebut, cadangan jawatankuasa berkenaan hanya dapat diluluskan Jawatankuasa Eksekutif dan Majlis persekutuan juga menerusi mesyuarat dalam talian pada minggu ini.

Mesyuarat 11 negara anggota SEAGF dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Pentadbiran Sukan Vietnam, Tran Duc Phan dengan Malaysia diwakili Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib dan ahli kehormat SEAGF, Datuk Sieh Kok Chi.

“Vietnam menyampaikan taklimat terperinci mengenai 36 sukan yang dicalonkannya selain venue termasuk di luar Hanoi dengan yang paling jauh dari situ ialah 150 kilometer,” lapor siaran itu.

Sukan SEA Singapura 2015 menyaksikan 34 jenis sukan yang menawarkan 402 emas, manakala Kuala Lumpur 2017 menampilkan 38 jenis sukan dan 404 pingat emas, sementara Filipina 2019 mempertandingkan 56 jenis sukan dan 530 emas.

Malaysia menduduki tempat kelima pada Sukan SEA 2019 setelah mengumpul 56 emas, 58 perak dan 71 gangsa dalam 52 jenis sukan, jauh lebih rendah berbanding ketika bergelar juara keseluruhan 2017 dengan mengaut 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa. - KitaReporters

BOLA jaring jadi penyumbang emas Malaysia dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Filipina 2019.  - Kredit foto FB PBJM.

0
0
0
1
0
You will be interested