Seni & Sukan 25 Jul, 2020

Serangan obor-obor di Bukit Keluang! Pelancong rasa bimbang!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

PENGUNJUNG ke pusat peranginan Bukit Keluang, Besut, Terengganu, bimbang untuk mandi manda di pantai peranginan terkenal itu kerana takutkan serangan obor-obor yang muncul di kawasan pelancongan itu. Ini kerana  sejak kawasan peranginan itu dibuka kepada pengunjung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebanyak 12 laporan serangan obor-obor direkodkan oleh pihak berkuasa pantai. : KitaReporters

Pantai Peranginan Bukit Keluang, Besut menjadi tumpuan pelancong


Kemunculan obor-obor atau Jellyfish ini di pantai peranginan yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan negeri itu menyebabkan orang ramai tidak berani untuk mandi di pantai kerana apabila diserang kulit badan akan menjadi kemerahan dan gatal-gatal

Sejak kawasan peranginan itu dibuka kepada pengunjung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sebanyak 12 laporan serangan obor-obor direkodkan oleh pihak berkuasa pantai.

Obor-Obor yang dikatakan menyerang Pantai Bukit Keluang, Besut


Perkara itu disahkan oleh Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut, Mohd Suhaimi Awang apabila kes terbaharu membabitkan kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun dan adik perempuannya berusia 4 tahun pada Sabtu 18 Julai 2020 lalu.

Katanya, dua beradik itu mengalami gatal-gatal dan merah pada anggota badan yang terkena obor-obor, namun stabil selepas dirawat pasukan penyelamat pantai dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut.

Anggota badan terkena obor-obor akan menjadi merah dan gatal. - Kredit foto APM Besut


Beliau berkata, memang kebiasaannya jumlah kehadiran obor-obor akan bertambah sekitar bulan Mei hingga Ogos, namun ia hanya obor-obor biasa, bukan jenis beracun seperti yang dikenali sebagai Portuguese man-of-war. 

“Jika terkena, obor-obor ini hanya akan menimbulkan bintik kemerahan pada badan dengan rasa gatal tanpa masalah serius dan kami akan segera beri rawatan awal selepas mendapat laporan,” katanya.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Besut memberi rawatan kecemasan kepada seorang kanak-kanak yang diserang obor-obor. - Kredit gambar: APM Besut


Sehubungan itu, orang ramai yang berkunjung ke pantai Bukit Keluang tidak perlu bimbang dan takut kerana kawasan peranginan itu selamat untuk dikunjungi serta mandi-manda bersama keluarga.

Anggota APM Besut membuat pemantauan terhadap pengunjung di Pantai Bukit Keluang, Besut


Mohd Suhaimi berkata, pihaknya menempatkan enam anggota pasukan penyelamat di pantai itu setiap hari biasa bagi memantau keselamatan pengunjung dan jumlahnya bertambah kepada 12 petugas pada hujung minggu dan cuti umum

Beliau berkata, anggota jabatan terbabit akan sentiasa memantau keadaan pantai agar pengunjung selamat untuk mandi-manda. 

Amaran akan dikeluarkan kepada orang ramai jika kehadiran obor-obor dikesan luar biasa jumlahnya. 

“Kita harap orang ramai tidak menyentuh obor-obor ini dan jika terkena gigitan, segera dapatkan bantuan daripada pasukan penyelamat pantai yang bertugas di sana untuk diberikan rawatan awal,” katanya. - KitaReporters

8
1
0
0
0
You will be interested