Seni & Sukan 29 Jul, 2021

‘Aunty’ Rafidah buka rahsia kejayaan Hidilyn Diaz! Atlet kita kalau nak berjaya, ikut cara dia!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Rafidah  (kanan) wanita yang turut memainkan peranan dalam kejayaan Hidilyn memenangi emas Olimpik 2020. - Kredit foto: Rafidah Muhammed.


KEJAYAAN atlet Filipina, Hidilyn Diaz memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2020, Tokyo, melalui acara angkat berat wanita kategori 55kg menyebabkan Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka tiba-tiba menjadi tumpuan dan bahan perbincangan.

Rumah milik keluarga Rafidah Muhammed, tempat Hidi menjalani latihan sebagai persiapan ke Sukan Olimpik yang terletak dalam kampung itu kini tidak sunyi menerima tetamu.

Pada Rabu, 28 Julai, 2021, Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Rustam turut membuat kunjungan ke rumah berkenaan untuk meninjau ‘gimnasium kampung’ yang menjadi tempat latihan jaguh angkat berat Filipina itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Hidilyh Diaz


Rafidah, 49, yang dipanggil  sebagai ‘Aunty Rafidah’ oleh Hidi, tidak menafikan, sebagai orang yang dekat dengan atlet Filipina itu, beliau turut berbangga dengan kejayaan Hidi, apatah lagi ia dicapai hasil latihan di garaj rumahnya.

Tidak syak lagi, Rafidah adalah antara individu yang memainkan peranan besar di sebalik kejayaan Hidi sehingga atlet itu turut menyebut namanya dalam sidang media selepas memenangi emas.

“Saya terkejut dia menyebut nama saya dalam sidang media itu,” akui Rafidah.

“Kami terlalu gembira bila Hidi memenangi pingat emas apatah lagi ia di luar jangkaan kerana pesaingnya dari China (Liao Qiuyun) adalah pemegang rekod dunia.

“Lagipun prestasi Hidi pada Kejohanan Dunia April (2021) lalu kurang memuaskan yang mana dia hanya menduduki tempat keempat. Tapi, mungkin itu juga yang memberi motivasi untuk dia bekerja lebih keras sehingga memenangi emas,” kata Rafidah.


Kawasan rumah dan garaj di Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka, yang dijadikan tempat tinggal serta latihan Hidilyn sebagai persiapan ke Sukan Olimpik 2020, Tokyo. - Kredit video: Rafidah Muhammed.


Menurut Rafidah, walaupun berbeza negara namun beliau sudah menganggp Hidi sebagai sebahagian daripada keluarganya terutama selepas atlet itu tinggal di rumah pusaka mereka di Kampung Kesang Tua, Melaka sejak September 2020.

“Rumah itu sebenarnya rumah pusaka. Sejak emak dan ayah berpindah tinggal dengan saya di Bangi (Selangor), rumah itu kosong dan tidak terurus.

“Apabila Covid melanda, kami tidak dapat balik menjenguk rumah itu saban minggu sebagaimana sebelumnya kerana PKP (perintah kawalan pergerakan). Lama, kelamaan ia jadi terbiar.

“Jadi, apabila melihat kesukaran Hidi mencari tempat untuk berlatih, suami saya (Ahmad Janius Abdullah) mencadangkan agar Hidi berpindah tinggal di rumah itu.”

Suami Rafidah, Ahmad Janius adalah naib presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan juga setiausaha Persatuan Angkat Berat Putrajaya (PABP). Atas kapasitinya itu, ia memudahkan Janius untuk membantu Hidi.


Rafidah menyantuni Hidilyn bagai keluarga sendiri. - Kredit foto: Rafidah Muhammed.


“Bagi memastikan Hidi dapat menjalani latihan dengan selesa, kami mengubah suai garaj kereta di rumah itu sebagai tempat latihan angkat berat.

“Jika kita lihat secara mata kasar, memanglah ia nampak tidak selesa berbanding tempat latihan sebenar, apatah lagi untuk atlet yang akan bertanding di Olimpik sehingga ada yang menggelarnya sebagai ‘gimnasium kampung’.

“Seminggu selepas Hidi berlatih di situ, simen garaj itu pecah kena hentakan besi angkat berat, jadi kami terpaksa ganti dengan simen konkrit.

“Walaupun secara fizikalnya tempat itu nampak tidak sesuai, kami pastikan peralatan yang disediakan lengkap kerana dalam bab ini Hidi memang cerewet, tidak berkompromi dan mahukan kesempurnaan,” ujar Rafidah.

Selain itu menurut Rafidah, Hidi adalah seorang yang sangat berdisiplin dan komited dengan kariernya.

“Hidi berlatih setiap hari, pagi dan petang, kecuali Ahad. Dia tidak pernah merungut dan mengikut semua program latihan ditetapkan oleh jurulatihnya.


Hidilyn menangis kegembiraan selepas menghadiahkan emas Olimpik kepada negaranya, Filipina.


“Malah, dia juga amat menitikberatkan soal pemakanan bagi memastikan berat badannya tidak melebihi had berat badan bagi kategori diambilnya.

“Selain latihan yang bersistematik, kesungguhan dan disiplin adalah faktor yang membawa kejayaan kepada Hidi. Dia memang layak memenangi emas.

“Inilah rahsia kejayaan Hidi yang saya boleh kongsi. Atlet kita kalau hendak berjaya, ikutlah cara Hidi. Dia membuktikan, jika ada kemahuan, sesuatu boleh dicapai walau apa pun cabarannya.

“Tiada jalan pintas untuk berjaya, kecuali komitmen, disiplin dan kesungguhan di samping faktor lain seperti sokongan keluarga dan pihak berkaitan,” katanya. - KitaReporters


Rumah pusaka Rafidah di Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka menjadi tumpuan media ekoran kejayaan Hidilyn pada Sukan Olimpik Tokyo 2020. - Kredit foto: Rafidah Muhammed.

 

48
4
0
1
0
You will be interested