Seni & Sukan 15 May, 2022

Dulu JNZA Gaung Global! Kini Pertubuhan Amal Komuniti Besut! Perkhidmatan kereta jenazah percuma!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Antara kereta jenazah atau van jenazah milik Pertubuhan Amal Komuniti Besut untuk kegunaan orang ramai secara percuma.


KESULITAN orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan kenderaan bagi membawa jenazah, memandi dan mengebumikan jenazah sering dihadapi masyarakat Islam negara ini terutama apabila berlaku kes kecemasan yang memerlukan perkhidmatan segera.

sehubungan itu, Pertubuhan Amal Komuniti Besut (PAKB), Terengganu yang menyedari masalah yang dihadapi umat Islam untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut mengambil inisiatif menubuhkan pasukan pengurusan jenazah.

Pasukan tersebut yang sebelum ini dikenali dengan JNZA Gaung Global ditubuhkan pada 2018 dengan dianggotai lima orang sukarelawan untuk memberi perkhidmatan membawa jenazah mengikut permintaan orang ramai


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pengurusan jenazah

Kereta jenazah terbaharu milik Pertubuhan Amal Komuniti Besut yang dilancarkan oleh Pengerusi FELDA Datuk Seri Idris Jusoh


Pengerusinya, Mohd Azizul Azli Mohd Sani berkata, idea asal penubuhan kumpulan ini timbul apabila mereka melihat ada kekangan dari segi pengurusan jenazah pada waktu itu.

Katanya, caj bagi kos mandi dan kapan agak tinggi iaitu RM700 bagi jenazah lelaki dan RM950 bagi jenazah wanita. Manakala kos bagi caj kenderaan jenazah juga boleh mencecah sehingga RM1,000 bergantung kepada jarak perjalanan.

“Ini amat membebankan bagi waris yang kurang berkemampuan yang menyebabkan pertubuhan itu tampil untuk memberikan perkhidmatan secara percuma bagi membantu mereka yang tidak berkemampuan,” katanya. 

Menurutnya, pada peringkat permulaan, pasukan ini banyak bergerak menggunakan wang mereka sendiri untuk menjalankan aktiviti tersebut. Antara kos yang perlu ditanggung adalah kos minyak kenderaan, kos selenggara kenderaan dan juga kos makan serta minum anggota sukarelawan


Mohd Azizul Azli Mohd Sani


Menurut Mohd Azizul, pada peringkat permulaan, mereka cuma menawarkan perkhidmatan mengambil dan menghantar jenazah sahaja. Kemudian mereka memperluaskan lagi perkhidmatan dengan pengurusan mandi serta kapan jenazah

Bermula daripada menguruskan jenazah penduduk kampung setempat kemudiannya mereka menguruskan jenazah dalam daerah dan seterusnya melebarkan sayap apabila mampu menghantar dan mengambil jenazah dari seluruh Semenanjung Malaysia (kolaborasi bersama beberapa team NGO dari Kuala Lumpur, Johor dan Kedah)

Manakala, aktiviti mandi dan kapan juga pada awalnya hanya dilakukan di tempat berpusat di Kampung Gaung, Jertih tetapi kini ahli sukarelawan telah pun mula melakukan mandi dan kapan jenazah di rumah kediaman si mati atau pun di bilik forensik hospital mengikut permintaan waris si mati.


Idris melepaskan belon simbolik pelancaran kereta jenazah kelapan milik Pertubuhan Amal Komuniti Besut


Mohd Azizul berkata, bermula dengan hanya sebuah kenderaan jenazah, kemudian bertambah menjadi dua buah kenderaan dan kini pada tahun 2022, pertubuhan amal itu telah pun memiliki lapan buah kenderaan.

Selain itu, katanya, empat buah kenderaan adalah kereta jenazah atau van jenazah manakala dua buah lagi adalah kenderaan komuniti. Dua buah lagi adalah jentera jenis mini ekskavator (penggorek) yang digunakan untuk kerja-kerja menggali kubur.

Kenderaan komuniti adalah kenderaan yang digunakan untuk membawa pesakit yang mempunyai temu janji dengan pihak hospital atau pun pesakit yang discaj dari hospital dan dibawa pulang ke rumah kediaman.

"Kenderaan komuniti ini juga menawarkan perkhidmatan hantar dan ambil pesakit ke seluruh Semenanjung Malaysia," tambahnya.


Idris tertarik dengan kemudahan yang disediakan dalam sebuah ambulan milik Pertubuhan Amal Komuniti Besut


Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut, melancarkan kenderaan kelapan dalam satu majlis yang diadakan di Pejabat Pertubuhan itu di Kampung Gaung, Jertih pada 13 Mei 2022 lalu.  

Selain itu, kata Mohd Azizul, pasukan kami juga menawarkan pinjaman katil bagi pesakit terlantar.

Katil tersebut kami akan hantar ke rumah pesakit dan pesakit boleh menggunakan katil tersebut selagi mana diperlukan.

“Apabila sudah tidak diperlukan, kami akan ambil kembali katil tersebut dan tempatkan semula di base kami,” katanya. 

Ketika ini pihak pertubuhan ituj mempunyai 16 buah katil untuk keperluan pesakit terlantar di rumah. 


Idris melihat Escovater yang turut digunakan oleh Pertubuhan Amal Komuniti Besut untuk kerja mengali kubur


Sementara itu, “keanggotaan ahli sukarelawan bagi pasukan ini juga semakin bertambah dari sehari ke sehari dengan jumlah terkini seramai 30 orang,” katanya.

Malah, jelasnya, semua ahli sukarelawan kami tidak bergaji atau dibayar elaun dan akan hadir apabila ada tugasan yang perlu diselesaikan.

“Dengan bertambahnya ahli sukarelawan, kini pasukan kami mampu menguruskan jenazah secara purata seramai 100 orang sebulan,” kata Mohd Azizul.


Perkhidmatan Van jenazah Pertubuhan Amal Komuniti Besut turut digunakan untuk mangsa COVID-19


Pada tahun 2021, pasukan ini menjalinkan kerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menguruskan jenazah COVID-19.

Dianggarkan hampir 250 jenazah COVID-19 telah diuruskan oleh pasukan ini meliputi di negeri Terengganu dan juga Kelantan

Antara perkhidmatan yang ditawarkan pertubuhan itu termasuklah pengangkutan jenazah COVID-19, tayammum dan kapan jenazah, menggali kubur, urusan pengebumian dan juga menyediakan keranda berserta batu nisan.

“Semua perkhidmatan yang disediakan adalah secara percuma sama ada dalam Negeri Terengganu atau di luar Terengganu,” katanya.


Sukarelawan Pertubuhan Amal Komuniti Besut membantu menguruskan pengebumian jenazah mangsa COVID-19


Bermula tahun 2022, JNZA Gaung Global bertukar jadi Pertubuhan Amal Komuniti Besut (PAKB) selepas membuat penjenamaan semula dan penambahan aktiviti amal serta kemasyarakatan sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS Malaysia). 

Untuk sasaran tahun 2022, pertubuhan amal itu akan mula berkolaborasi bersama Pejabat Agama Daerah (PAD) Besut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Majlis Daerah Besut (MDB), Pejabat Daerah Besut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa lagi agensi yang berkaitan.

Orang ramai yang memerlukan perkhidmatan daripada pertubuhan tersebut bolehlah menghubungi Pengerusi Pertubuhan Amal Besut, Mohd Azizul Mohd Sani menerusi talian 013-9721200. - KitaReporters

Idris bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Dr Nik Zawawi Salleh sempena pelancaran kenderaan komuniti Pertubuhan Amal Komuniti Besut

22
22
3
13
0
You will be interested