HIDILYN Diaz menggenggam tangan tanda puas memenangi pingat emas angkat berat wanita 55 kilogram Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021). - Kredit foto: FB Hidilyn
“ORANG berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa! Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain!”
Maksud pepatah Melayu ini seakan-akan cukup difahami Hidilyn Diaz walaupun dia seorang atlet kelahiran Zamboanga City, Filipina.
Pemenang pingat emas angkat berat wanita 55 kilogram Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021) ini kembali ke Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka sejak 6 November 2021 – pusat latihan persendirian yang menggilap persediaannya.
Lagi kisah menarik berkaitan Sukan Olimpik
AHMAD Faizal Azumu (dua dari kiri) melihat pingat emas Olimpik Tokyo milik Hidilyn Diaz (kanan) yang dikalungnya sebentar. - Kredit foto: MSN
Dia yang bakal berada di situ sehingga 20 November 2021 bagi berlatih menghadapi Kejohanan Dunia di Uzbekistan pada Disember 2021, turut menyatakan janji terbaharu sebagai mengenang dan membalas budi orang Malaysia.
Laman Facebook rasmi Majlis Sukan Negara (MSN) melaporkan, Hidi (gelarannya) menjadikan seorang pengangkat berat remaja perempuan negara, Atikah Mohamad Sobri sebagai anak didiknya.
“Atikah dipilih menjalani latihan selama tiga bulan di Filipina yang akan ditanggung sepenuhnya oleh Hidilyn.
“Atikah merupakan pemenang pingat emas kategori 58 kilogram Sukan Remaja Komanwel 2015 di Apia, Samoa,” lapor laman berkenaan, 15 November 2021.
Hidilyn menjalani latihan bersama dua jurulatihnya di kampung itu sejak 16 September 2020 sebelum mencipta sejarah mengalungkan pingat emas sulung Filipina dalam Sukan Olimpik pada 26 Julai 2021, malah mencipta dua rekod temasya itu.
Dia terkandas di Melaka sejak Februari 2020 kerana pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sehingga kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan.
AHMAD Faizal Azumu (kiri) memerhatikan aksi angkatan seorang atlet remaja Melaka di Pusat Latihan Kampung Kesang Tua, Melaka. - Kredit foto: MSN
Hidilyn, 30, turut merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 selain pingat emas Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dan Sukan SEA Filipina 2019.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengadakan lawatan ke pusat latihan angkat berat di Kampung Kesang Tua itu pada 15 November 2021.
“Sumbangan pusat latihan itu bakal mendapat pengiktirafan kementerian untuk membolehkannya dimanfaatkan masyarakat tempatan. MSN akan memuktamadkan beberapa prosedur yang perlu terlebih dahulu memandangkan pusat berkenaan milik persendirian,” katanya.
Kejayaan Hidilyn juga menjadi inspirasi enam atlet remaja berusia antara 12 hingga 20 tahun yang turut menjalani latihan di pusat itu. Selain Atikah, mereka ialah Ahmad Fadhil Ahmad Janius, Nur Batrisya Yaakop, Muhammad Daniel Yaakop, Muhammad Izzul Hakimi dan Nurul Syasya Khairina Samsur.
GIMNASIUM latihan angkat berat Hidilyn Diaz ini bakal mengalu-alukan kedatangan Atikah Mohamad Sobri selama tiga bulan. - Kredit foto: FB Hidilyn
AHMAD Faizal Azumu (tengah) berbual mesra dengan Hidilyn Diaz mengenai persediaannya ke Kejohanan Dunia. Kanan ialah Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. - Kredit foto: MSN
HIDILYN Diaz menayangkan pingat emas Sukan Olimpik yang sulung buat negaranya, Filipina. - Kredit foto: FB Hidilyn