Seni & Sukan 30 Nov, 2021

Shukor Adan umum nak gantung but! Buru Piala Malaysia kelima! Hadiah persaraan diri, KL City!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

SHUKOR Adan (kanan) memegang Piala Malaysia bersama-sama kapten JDT, Farizal Marlias. - Kredit foto: MFL


LEBIH dua dekad membanting tulang sebagai pemain profesional, Shukor Adan pada 29 November 2021 menyatakan hasrat untuk bersara sekiranya ditakdirkan Kuala Lumpur City FC berjaya merampas Piala Malaysia daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) FC dalam perlawanan akhir. 

Bekas ketua pasukan negara ini mahu mengakhiri karier bola sepaknya dengan satu lagi pingat kejuaraan itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam final pada 30 November 2021 itu atau yang kelima selepas menjulangnya buat Selangor pada 2002 dan 2005 dan bersama Negeri Sembilan pada 2009 dan 2011.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Piala Malaysia


Shukor berkata, "pada usia 42 tahun dan hampir 24 tahun dengan bola sepak, saya tidak sangka pula akan ke final Piala Malaysia bersama KL City FC walapun kurang minit bermain dalam setiap perlawanan kami. 

"Namun atas kepercayaan jurulatih Bojan Hodak, saya masih dalam skuad. Bukan mudah memutuskan perkara ini tapi jika ditakdirkan Allah, KL City menang Piala Malaysia, saya dengan ini mengumumkan persaraan saya," katanya dalam sidang media praperlawanan di stadium itu.


SHUKOR (dua dari kanan) ketika menjalani latihan dengan Harimau Malaya pada 2014. - Kredit foto: FAM


Tanpa mengira sama ada diturunkan menentang JDT, juara bertahan, katanya, "bermain atau tidak, saya bangga dengan KL City tahun ini (2021). Siapa sangka kami yang tidak dapat keputusan baik dalam Liga Super 2021, mampu ke final Piala Malaysia. 

"Sedih tidak dapat dinafikan tetapi inilah detik terbaik untuk saya berhenti. Tiada apa yang mahu dikenang sebagai pemain bola sepak. Yang lepas itu lepaslah. Yang ke depan saya harus teruskan. 

"Saya bersyukur berkat doa, saya sampai ke tahap ini," kata bek tengah kelahiran Melaka yang turut pernah bermain di posisi perantara bertahan ini.


BOJAN Hodak, ketua jurulatih KL City FC dan Shukor Adan pada sidang media praperlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Kredit foto: MFL


Selain dua pasukan juara itu, Shukor yang mengumumkan persaraan antarabangsa dengan Harimau Malaya selepas bergelar naib juara Piala AFF 2014, pernah menyarung jersi Angkatan Tentera, Felda United dan Melaka United. 

Apa beza atau istimewanya final 2021 dengan yang lain-lain? 

"Umur saya 42 tahun, saya masih dalam final. Tidak boleh ungkit yang lepas. Ini generasi baharu dengan kebanyakan pemain KL City kali pertama main final. Mereka juga akan beri yang terbaik sebab inilah sejarah untuk mereka juga.

"Pasukan-pasukan lain yang saya sertai ada keistimewaan tersendiri. KL 2021 saya lihat daripada peringkat pengurusan, jurulatih dan pemain import, kami ibarat sebuah keluarga. 

"Setiap pihak berikan perkara yang membina dan cabaran kepada kesebelasan utama dengan dasar penggiliran pemain oleh Hodak," katanya. 


DARI kiri, Farizal, Benjamin Mora (ketua jurulatih JDT FC), Bojan dan Shukor bersama Piala Malaysia. - Kredit foto: MFL


Mengenai Hodak kata Shukor, kata-kata perangsang jurulatih warga Croatia tetapi tegas itu sentiasa menyemarakkan semangat juang Si Warga Kota di bilik persalinan yang tidak akan dilupakannya: "Kalau kamu tidak mahu bermain bola sepak, pergi belajar! 

"Kami pemain akan menyahut cabarannya dan beraksi sedaya upaya untuk Kuala Lumpur. Justeru pasukan ini memang berhak ke final Piala Malaysia," katanya.

KL City FC atau sebelum ini Kuala Lumpur pernah bergelar juara Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, manakala JDT kali terakhir menjulang trofi yang pertandingannya sudah memasuki 100 tahun dan menggantikan Piala HMS Malaya ini, pada 2019 selain 2017 - kedua-duanya dengan menewaskan Kedah 3-0 dan 2-0.

Sebelum dijenamakan semula sebagai JDT FC dan Kuala Lumpur City FC menurut syarat pelesenan dan penswastaan kelab mulai 2021, Johor pernah menewaskan Wilayah Persekutuan 2-0 dalam final 1985 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Kedua-dua gol Johor dijaringkan oleh Muhidin Hussin dan Fadzli Ahmad dalam perlawanan tanggal 13 Julai 1985 itu. 

Barisan pemain Johor selain mereka ialah Mohamad Salleh Mohd. Noor, Ismail Ibrahim, Azuan Zain, Kamaruddin Ahmad, Ahmad Merican, Mohd. Khalid Shahdan, Dollah Salleh, Nasir Yusuf dan Azmi Taib (Kamaruddin Ahmad).

Wilayah Persekutuan membariskan M. Pavalamani, Mohamed Razip Ismail, Tang Siew Seng, Kamarul Zaman Yussoff, Serbegeth Singh, Subadron Aziz (Michael Chang), Mohd. Zan Mat Aris (Yip Chee Keong), Ramlan Askolani, Saidin Osman, Kannan Kunjuraman dan Hashim Marman. - KitaReporters


SHUKOR Adan (belakang, tiga dari kanan) dalam kesebelasan utama KL City FC pada saingan Liga Super 2021. - Kredit foto: Kuala Lumpur City

14
9
0
9
0
You will be interested