Gaya Hidup 29 Nov, 2021

Video| Insiden Safiq tanduk kepala Faisal! Pemain berpengalaman pun mudah koyak ke? - Subadron

@rodli nayan @ rodly fadly
Berpengalaman hampir 40 tahun dalam bidang kewartawanan, antaranya sebagai pengarang majalah Arena Bolasepak, Mingguan Sukan dan Bola Perdana, juga bertugas sepenuh masa serta sambilan bersama Berita Harian, Harian Metro, Mingguan Perdana dan Sinar

Share this


Dua hari menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC pada Jumaat, 26  November, 2021, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ‘mengusik’ pasukan JDT dengan satu kenyataan melalui akaun Facebooknya.

Usikan itu berbunyi: “Kelaku depa (pemain JDT) ini seperti dilatih supaya ‘kerek’ dengan pemain pasukan lain seolah-olah pasukan lain dalam kelas (kasta) lebih rendah.

“‘Kerek’ adalah istilah lain bagi bongkak yang dibina terutama dalam kalangan pegawai dan pemain import atau naturalisasi yang besar kepala,” tulisnya.

Bersama status berkenaan, Menteri Besar Kedah itu turut berkongsi pautan sebuah akhbar yang melaporkan pandangan Tenaga Pengajar Bahagian Teknikal Pengadil, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Mohd Salleh, mengenai tindakan pemain pertahanan JDT, Shane Lowry mengasari Jordan Mintah dalam perlawanan separuh akhir pertama JDT-Terengganu Piala Malaysia, pada 22 November, 2021.

Kebetulan, pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat, 26 November, 2021, berlaku insiden pemain JDT, Safiq Rahim menyerang pemain sayap Terengganu, Faisal Halim dengan menanduk kepala pemain itu.


Tangkap layar insiden Safiq Rahim menanduk kepala Faisal Halim pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, 26 November, 2021 lalu. 


Akibatnya, Safiq dilayangkan kad merah dan akan terlepas aksi final Piala Malaysia antara JDT dengan Kuala Lumpur City (KL City FC) di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Selasa, 30 November, 2021.

Mungkin tidak adil untuk kita mentafsirkan tindakan Safiq selari dengan apa yang dikatakan oleh Muhammad Sanusi namun tidak dinafikan ‘kelaku’ pemain itu sedikit sebanyak memberi tanggapan negatif kepada JDT dalam kalangan penyokong bola sepak terutama ‘hatters’ kelab itu.

Insiden itu turut mengingatkan kembali peminat bola sepak kepada aksi legenda Perancis, Zinedine Zidane yang menanduk dada pemain pertahanan Itali, Marco Materazzi pada aksi final Piala Dunia 2006. Ekoran itu, Zidane digantung tiga perlawanan antarabangsa oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) serta dikena denda sebanyak 7.500 franc Swiss.

Ramai peminat yang melihat insiden membabitkan Safiq dan Faisal itu sebagai sesuatu yang tidak patut dilakukan oleh Safiq malah kebanyakan penyokong menyalahkan pemain berpengalaman itu meskipun Faisal sebelum ini sering menerima kecaman selepas kerap terbabit dalam insiden panas dengan beberapa orang pemain.


Subadron Aziz.


Bagi bekas pemain kebangsaan, Subadron Aziz, perbuatan Safiq itu sukar diterima apatah lagi apabila dilakukan oleh pemain yang berpengalaman serta berpengaruh sepertinya.

“Sebagai pemain profesional, berpengalaman dan menjadi idola kebanyakan pemain muda, Safiq tidak patut bertindak begitu. Ia langsung tak boleh diterima.

”Sepatutnya dia memberi teladan kepada pemain muda tapi apa yang dilakukan adalah sebaliknya. Adakah ini pemain yang boleh dijadikan contoh? Apakah ini yang kita mahu generasi muda ikut?” tanya Subadron.

Malah, Subadron turut hairan bagaimana pemain yang berpengalaman seperti Safiq mudah ‘koyak’ bila diprovokasi oleh Faisal sehingga hilang sabar serta bertindak luar batasan. Apatah lagi ketika itu JDT sedang mendahului 3-0 serta tidak berada dalam keadaan tertekan.

“Tak kan pemain berpengalaman seperti Safiq pun mudah koyak? Lagi pun sebelum itu dia yang terlebih dulu mengasari Faisal dan apabila pemain itu bangun berkata sesuatu kepadanya, dia terus menghentakkan kepalanya ke kepala Faisal.


Saya sendiri pernah mengalami situasi sebegini. Bukan setakat kata-kata kesat malah ada pemain yang mencarut. Saya balas dengan carutan juga. - SUBADRON


“Pada saya, dalam bola sepak provokasi adalah perkara biasa dan kadangkala dijadikan senjata untuk mengganggu rentak lawan tapi sebagai pemain senior, Safiq tidak patut bertindak balas dengan cara itu, cukup sekadar dia membalas kata-kata Faisal.

“Saya sendiri pernah mengalami situasi sebegini semasa bermain dahulu. Bukan setakat mengeluarkan kata-kata kesat malah ada pemain yang mencarut. Cara saya menanganinya adalah saya balas carutan dengan carutan juga,” ujar Subadron.

Bagi Subadron, jika insiden Safiq ini tidak ditangani dengan bijak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), ia akan memberi imej yang tidak baik kepada bola sepak negara ini khusus kepada generasi muda.

“Kita tak mahu pemain muda mencontohi perbuatan sebegini dan FAM perlu membendungnya secara bijak agar ia tidak berulang serta dianggap sebagai perkara biasa.

“Saya tidak berhak menghukum kerana kuasa bukan pada tangan saya. Biarlah pihak yang mempunyai autoriti mengkaji insiden ini serta mengambill tindakan sewajarnya,” kata bekas pemain yang menjulang Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut bersama Kuala Lumpur pada 1987, 1988 dan 1989.



Sementara itu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menganggap insiden sudah selesai selepas Safiq menyatakan kekesalan serta meminta maaf kepada pengurusan JDT dan rakan sepasukan.

"Setiap orang atau individu membuat silap. Kita manusia, 'we're not perfect' (kita tidak sempurna). Safiq kesal dengan tindakan dia dan dia minta maaf kepada semua 'players (pemain), coaches (jurulatih) dan staff (staf), and that's it' (dan itu saja).

"Itu sahaja. 'Its over, and we move on' (Ia sudah berakhir, dan kita lupakan)," tulis Tunku Ismail menerusi laman sosial bagi menjawab pertanyaan peminat mengenai tindakan Safiq itu.


Faisal menerima rawatan selepas cedera ditanduk oleh Safiq. - Kredit foto: Utusan Malaysia


Bagi jurulatih JDT, Benjamin Mora, tindakan Safiq ke atas Faisal agak mengejutkan namun tidak menyalahkan pemain itu seratus peratus.

“Saya pun terkejut dengan apa yang Safiq lakukan kerana dia bermotivasi tinggi serta teruja apabila disenaraikan dalam kesebelasan utama. Saya tidak salahkan dia kerana perkara seperti ini berlaku apabila pemain hilang pertimbangan di atas padang.

“Pada rehat separuh masa pertama, dia meminta maaf kepada rakan sepasukan yang lain atas perbuatannya dan para pemain bertekad untuk menang perlawanan ini buat dirinya,” kata Mora. 


Bergson da Silva (kiri) dan Gonzalo Cabrera, dua penjaring gol yang membawa JDT ke final Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu 3-0 pada separuh akhir kedua. JDT layak dengan agregat 4-1. - Kredit foto: MFL


Pada separuh akhir kedua Piala Malaysia itu, JDT selesa mendahului Terengganu 3-0 (agregat 4-1) sebelum Safiq dibuang pada pada minit ke-15 permainan. Meskpun bermain dengan 10 orang sepanjang 75 minit perlawanan namun juara Liga Super lapan musim berturut-turut itu berjaya mengekalkan kelebihan itu sehingga ke wisel penamat.

Kemenangan itu membawa pasukan berkenaan ke perlawanan akhir untuk menempah pertemuan dengan KL City yang menewaskan Melaka United 5-3 melalui penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 secara agregat pada separuh akhir. 

JDT adalah juara bertahan selepas mengalahkan Kedah 3-0 pada final 2019. Piala Malaysia tidak dilangsungkan pada 2020 akibat penularan wabak Covid-19. – KitaReporters


 

 

 

 

 

 

 

11
9
1
15
0
You will be interested

Keluarga Malaysia: Sahabat BTHO infak al-Quran! Bantu SRA dibuka semula! Selepas bencana banjir!

Sahabat Kelas al-Quran Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) Cheras infakkan 170 naskhah baharu al-Quran. Bantu SRA Batu 13 Puchong dibuka semula selepas bencana banjir

Rosdi Ismail in Gaya Hidup 2 days ago

Mudahkan urusan! MBSB Bank sumbang mesin kira duit kepada masjid di Perlis! Libatkan 104 masjid!

Sebagai salah satu usaha CSR, MBSB Bank cawangan Kangar tampil sampaikan sumbangan mesin kira duit kepada 104 masjid di Perlis secara berperingkat-peringkat
Nur Sabrina Samsudin in Gaya Hidup 1 day ago

Video| GV8 separuh akhir: Aweera, Nikki terhebat! Perjalanan Shidee, Ani Maiyuni pula terhenti!

Enam penyanyi mara ke final GV8. Mereka ialah Aweera, Nikki Palikat, Aliff Aziz, Azan Scan, Adibah Noor dan Suki Low. Tersingkir ialah Shidee dan Ani Maiyuni
Fauzan Uda Ahmad in Gaya Hidup 1 day ago

Video| Dituduh tinggalkan ibu sendirian! Normala Samsudin sedih disindir! Itu semua pilihan ibu!

Normala Samsudin luahkan rasa sedih dan kecewa apabila segelintir netizen kecamnya kerana tinggalkan ibunya bersendirian di kampung kerana itu pilihan emaknya
Zul Akmar Jamaludin in Gaya Hidup 1 day ago

Video| Inilah dia pemenang trend! Hebat kau dik! Teh ais ikat tepi dah jadi teh ais masuk kolam!

Banyak trend diikuti golongan muda dalam Tiktok termasuk bawa sebuah plastik air besar. Namun pemuda ini tiba-tiba jatuh ke dalam sebuah kolam di belakangnya
Nur Syamila Kamarul Arefin in Gaya Hidup 1 day ago