Seni & Sukan 08 Feb, 2022

Mahu terbang tinggi! Harimau Malaya, Penerbangan Malaysia kongsi wawasan! Jalin gandingan hebat!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-'96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC).

Share this

IZHAM Ismail dan Hamidin Mohd. Amin (lima dan enam dari kiri) pada pelancaran rasmi pesawat baharu Airbus 330-300 yang berlukisan grafik Harimau Malaya di Sepang. - Kredit foto: FAM


HARIMAU Malaya terus terbang megah dan berjaya bersama Penerbangan Malaysia! 

Rakan kongsi penerbangan rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu pada 8 Februari 2022, melancarkan satu paparan grafik Harimau Malaya pada badan pesawat syarikat jenis Airbus 330-300 yang menandakan kerjasama rapat dan perkongsian wawasan antara kedua-dua jenama kesayangan negara itu.

Bahagian luaran pesawat yang luas itu telah dijelmakan untuk secara jelas mewakili kedua-dua ikon negara dengan menyepadukan jalur merah bendera Malaysia dengan lambang Harimau Malaya yang agung, yang melambangkan kerjasama, kekuatan dan perpaduan antara jenama


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penerbangan

IZHAM Ismail (tiga dari kiri) menyampaikan replika pesawat Penerbangan Malaysia kepada Hamidin Mohd. Amin (kanan). - Kredit foto: FAM


Reka bentuk paparan badan itu mulanya dikaryakan oleh Dr. Mohamed Razeef Abdul Razak dan Dr. Verly Veto Vermol dari Kolej Seni Kreatif Universiti Teknologi Mara dengan kerjasama FAM.

Berlangsung di Kompleks Kejuruteraan penerbangan itu di Sepang, Selangor, peristiwa simbolik ini turut meraikan hubungan kukuh antara kedua-dua jenama itu dengan perjanjian perkongsian lanjutan terbaharu dari 2019 hingga 2023.

Majlis itu dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB), Kapten Izham Ismail; Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin; dan pegawai-pegawai kanan dari kedua-dua pihak.

Kata Izham, "kami gembira dengan pelancaran rasmi edisi khas paparan badan pesawat Harimau Malaya, menonjolkan dua jenama negara yang dikenali, disayangi dan disokong oleh rakyat Malaysia seluruh dunia

"Ini merupakan sebahagian gabungan keazaman kami dalam menerbangkan Malaysia ke seluruh destinasi dan melangkaui sempadan. 

"Sebagai pembawa bendera Malaysia tercinta kita, Penerbangan Malaysia dan FAM mempunyai satu tanggungjawab untuk memainkan peranan kami dalam mewakili negara ini pada peringkat tertinggi dari segi keselamatan, disiplin dan keazaman untuk cemerlang.


HAMIDIN Mohd. Amin (dua dari kiri) dan Izham Ismail (kiri) serta Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi duduk di kokpit pesawat baharu Airbus 330-300 yang berlukisan grafik Harimau Malaya di Sepang. - Kredit foto FAM


"Menerusi perkongsian ini, kami mengalu-alukan untuk menyokong dan memudahkan perjalanan selamat dan lancar pasukan bola sepak kebangsaan kita apabila mereka menyertai kejohanan besar sepanjang destinasi dalam dan luar rangkaian Penerbangan Malaysia, jadi secara bersama, kami boleh menerbangkan Malaysia dengan bangga dan membawa semangat Keramahan Malaysia ke mana sahaja kami pergi. 

"Kami gembira tidak lama lagi menerbangkan skuad Bawah 23 Tahun Malaysia menerusi Penerbangan Malaysia ke Phnom Penh, Kemboja untuk bertanding dalam Kejohanan B23 AFF (dari 14 hingga 26 Februari 2022)!"


IZHAM Ismail (kiri) dan Hamidin Mohd. Amin (duduk) menunjukkan isyarat bagus pada pelancaran rasmi pesawat baharu Airbus 330-300 yang berlukisan grafik Harimau Malaya di Sepang. - Kredit foto: FAM


Kata Hamidin pula, "pelancaran rasmi paparan badan pesawat Harimau Malaya boleh dianggap satu penaiktarafan perkongsian sesama dua jenama negara ini.

"Malaysia Airlines begitu bermurah hati dalam membawa pasukan kebangsaan kita ke pelbagai tugasan antarabangsa menerusi penerbangan tempahan menggunakan paparan itu biarpun sebelum dilancarkan, memberikan pasukan kita Keramahan Malaysia yang hanya dapat disediakan Penerbangan Malaysia. 

"Terima kasih Penerbangan Malaysia, Harimau Malaya terbang tinggi jauh ke angkasa. 

"Peristiwa gemilang ini merupakan satu lagi sumber inspirasi pasukan apabila kami menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia pada 8, 11 dan 14 Jun 2022 di mana kami berharap untuk membanggakan negara."


IZHAM Ismail dan Hamidin Mohd. Amin (duduk, kiri dan dua dari kiri) mencuba kerusi penumpang pesawat. - Kredit foto: FAM  


Sejak 2019, Malaysia Airlines telah mengendalikan penerbangan tempahan ke bandar-bandar raya di luar rangkaian Malaysia Airlines seperti Dubai dan Manama, untuk menyokong pasukan dalam menggalas tugas negara mereka dengan jaminan satu pengalaman perjalanan yang sentiasa selamat. 

Pada majlis sama, Enrich Penerbangan Malaysia, turut melancarkan Kad Enrich x Harimau Malayanya, yang khususnya dihiasi dan direka bentuk dengan lambang Harimau Malaya dan boleh dibeli oleh ahli-ahli kelab penyokong pasukan negara menerusi https://temptations.malaysiaairlines.com. 

Kad eksklusif itu menawarkan keistimewaan seperti peraduan untuk ahli-ahli sahaja untuk menonton perlawanan-perlawanan Harimau Malaya, undangan eksklusif ke acara-acara terpilih FAM, diskaun khas daripada rakan-rakan kongsi Enrich dan lain-lain.


PESAWAT Airbus 330-300 Penerbangan Malaysia selain paparan grafik Harimau Malaya, turut menampilkan Jalur Gemilang. - Kredit foto: FAM


Sementara itu, Hamidin mengakui menjadi tuan rumah berpusat satu kumpulan Kelayakan Piala Asia, tidak akan menjamin kejayaan Harimau Malaya layak ke pusingan akhir di China pada 2023.

"Main di Malaysia belum menjanjikan kejayaan tetapi pasukan negara akan mencuba bersaing sedaya upaya. Mereka (dibimbing warga Korea Selatan, Kim Pan-gon), juga kena bersedia untuk bermain di sini atau luar negara. 

"FAM telah menyerahkan bidaan tuan rumahnya dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) akan membuat keputusan. 

"Selepas majlis undian pada 24 Februari 2022 ini, kita serahkan kepada AFC biarpun hampir kebanyakan pasukan kelayakan itu, turut membidanya

"Saya dimaklumkan, AFC turut mengambil kira pengalaman negara-negara yang pernah menjadi tuan rumah kejohanan peringkat umur Asia anjuran mereka," katanya.

Hamidin turut yakin, segala prosedur operasi standard (SOP) antaranya berkaitan kuarantin lima hari atau gelembung sukan bagi pelawat luar bagi mencegah penularan Covid-19 yang ditetapkan AFC, mampu dipatuhi FAM.  - KitaReporters


14
10
0
9
0
You will be interested