Seni & Sukan 09 May, 2020

Kerutuk Ayam, Gulai Kawah! Juadah Ramadan eratkan kejiranan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

KERUTUK Ayam dan Gulai Kawah menjadi menu pilihan juadah berbuka puasa Program Iftar Ramadan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Suadamai Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor. “Walaupun tidak seberapa, kita berharap menu itu memberi nilai bermakna dalam usaha KRT merapatkan hubungan silaturahim kejiranan,” kata Bendahari KRT berkenaan, Datuk Abdul Ghani Ahmad. : KitaReporters

Abdul Ghani Ahmad bersama Kerutuk Ayam yang akan diagihkan kepada jiran-jiran di Suadamai, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras dan sekitarnya.


Beliau berkata, pada awal puasa semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan KRT sudah mengedarkan 80 bungkus Gulai Kawah, manakala dua hari lalu 100 bungkus lagi Kerutuk Ayam pula diagihkan.

Katanya, walaupun program itu dilaksanakan setiap tahun, tetapi tahun ini agak terkesan berikutan kerajaan melaksanakan PKP bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

Abdul Ghani Ahmad (dua dari kiri) menyerahkan Kerutuk Ayam kepada warga Suadamai.


“Banyak keluarga hilang punca pendapatan terutama mereka yang bekerja sendiri, ada pula gaji dipotong atau hilang pekerjaan dan terpaksa mencatukan perbelanjaan.

“Dengan sumbangan juadah ini, sekurang-kurangnya dapat meredakan hati mereka dan menghilangkan keresahan untuk mendapatkan lauk berbuka puasa bersama keluarga,” katanya.

Seorang warga Suadamai menerima Kerutuk Ayam daripada Abdul Ghani.


Sementara itu, Setiausaha KRT berkenaan, Che Nordin Ismail, berkata menu itu dimasak sendiri ahli KRT dan bahan mentah dibeli daripada hasil sumbangan penduduk untuk Tabung Ramadan Warga Suadamai.

Sebelum program itu dilaksanakan, beliau berkata KRT turut menghulurkan bantuan kewangan berikutan PKP kepada kira-kira 90 keluarga miskin, asnaf, anak yatim dan juga pendatang asing yang hilang sumber pendapatan.

Che Nordin Ismail (kiri) menghulurkan Kerutuk Ayam kepada warga Suadamai.


Katanya, program itu sudah diadakan sebanyak dua kali dan setiap keluarga menerima antara RM150 dan RM250 hasil kutipan derma daripada penduduk BTHO dan juga ahli korporat.

“Kita sedang mengkaji untuk mengadakan kali ketiga agihan Iftar Ramadan, bagaimanapun perkara itu bergantung kepada jumlah sumbangan derma yang masih ada,” katanya. - KitaReporters

32
2
0
0
0
You will be interested