Seni & Sukan 08 Nov, 2020

Kediaman, kedai, stor kena serbu! Barangan tiruan dirampas!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

HASRAT seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang inginkan keuntungan segera menerusi perniagaan hasil daripada menjual barangan tiruan terbantut apabila aktiviti lelaki terbabit berjaya dihidu oleh pihak berkuasa. Biasalah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tahan jua. : KitaReporters


Penguat Kuasa KPDNHP Terengganu sedang menyusun barang tiruan yang dirampas. - Kredit foto: KPDNHEP Terengganu


Lagi cerita-cerita berkaitan 

Ia berikutan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu telah melakukan serbuan ke atas tiga premis berasingan iaitu rumah kediaman, kedai dan stor di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang disyaki menjual barangan tiruan.  


Penguat Kuasa KPDNHEP Terengganu merampas barang tiruan dari seorang peniaga. - Kredit foto: KPDNHP Terengganu


Dalam serbuan yang dijalankan kira-kira jam 12 tengah hari pada 4 November 2020, sejumlah 1,713 unit barangan terdiri daripada kasut, baju dan aksesori yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah bernilai RM147,120 telah berjaya dirampas. 

Kesemua barangan tersebut dipercayai milik seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 20-an. Serbuan yang dijalankan turut disertai oleh wakil pemilik cap dagang berdaftar.


Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia


Pengarah KPDNHEP Negeri Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, operasi yang dijalankan adalah susulan laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki barangan berkenaan adalah tiruan yang kemudiannya berjaya membongkar aktiviti peniaga yang tidak beretika dan ingin mendapatkan keuntungan dengan cara yang mudah sehingga mengabaikan kepentingan pengguna.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan barang-barang yang cap dagang dipakaikan dengan salah bagi maksud perdagangan," katanya dalam satu kenyataan media pada 8 November 2020.


Kenyataan Media KPDNHEP Terengganu


Sementara itu, menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 9 November 2020, pengguna adalah dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang pembelian panik kerana barang keperluan adalah mencukupi.

Kata Saharuddin, pada masa yang sama KPDNHEP Negeri Terengganu juga akan menggerakkan 113 orang Pegawai Penguat Kuasa dan 59 orang Pegawai Pemantau Harga untuk membuat pemantauan berterusan ke atas bekalan barangan keperluan harian bagi memastikan bekalan barang keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan semasa serta harga barangan dalam keadaan terkawal. 



Tambahan pula, sejumlah 160 Peruncit Daerah Terpilih atau Dedicated District Retailer (DDR) dan 74 Pemborong Daerah Terpilih atau Dedicated District Wholesaler (DDW) telah dipilih di seluruh Negeri Terengganu sebagai pusat bekalan barangan keperluan asas. 



Beliau berkata, pelantikan ini membenarkan DDR dan DDW ini untuk menyimpan barang kawalan berjadual melebihi 30 peratus daripada had simpanan dalam lesen bagi memastikan tiada gangguan bekalan barangan keperluan asas sepanjang tempoh PKPB dikuatkuasakan dan juga sebagai persediaan menghadapi musim banjir. 

Sehingga kini sebanyak 46,771 pemeriksaan melibatkan 3,855 buah premis telah dilaksanakan meliputi pasar raya, pemborong, peruncit, pasar awam dan sebagainya di seluruh Negeri Terengganu. 

Secara keseluruhannya barangan keperluan harian adalah mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna,” katanya. - KitaReporters

0
1
2
0
0
You will be interested