Seni & Sukan 09 Jul, 2022

Suke Sangat! AC Mizal miliki stesen TV, Suke TV! Mahu bantu orang berniaga! Suke Seleb, Suke Hati!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this


APABILA Datuk AC Mizal menyuarakan hasratnya untuk membuka stesen televisyen (TV), ramai yang memandang sinis impiannya itu. 

Malah, dalam tempoh lima tahun beliau sering menerima kata-kata sindiran daripada orang sekeliling kerana stesen TV yang diuar-uarkan sebelum ini tidak juga menjadi.

Hampir patah semangat untuk menubuhkan stesen TV, namun dengan izin Allah akhirnya AC dan isteri, Datin Emylia Rosnaida berjaya memperkotakan impian mereka.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan AC Mizal

AC Mizal mahu kongsi pengalamannya dalam bidang seni bersama orang ramai menerusi stesen TV miliknya.


Kini pasangan suami isteri itu sudah boleh mengukir senyuman kerana stesen TV milik mereka iaitu Suke TV di bawah DNF Group Sdn. Bhd., sudah beroperasi sejak April 2022 lalu

Menurut AC, Suke TV bersiaran di MyTV, saluran 116 dan juga dalam semua platform online. Suke TV juga ada website sendiri iaitu SukeShop.com, SukeTV.com dan YouTube Suke TV.

“Saya dan isteri, merupakan artis pertama di Malaysia yang memiliki dan menjalankan stesen TV. Keduanya, pada masa akan datang, kita nak berkolaborasi dengan pihak media kerana konsep TV kita adalah TV stesen bersama dengan platform OTT, yang kita gabung menjadi satu.  

“Kita memang nak bekerjasama kerana dari dulu lagi saya bercita-cita untuk ada rancangan yang menjadikan reporter tunjang utama untuk program, sebab kita dalam dunia yang sama. Suka tak suka tetap sama. Kena terjah ke tak kena terjah ke tetap dunia yang sama.


AC Mizal dan Emylia Rosnaida berjaya merealisasikan impian mereka untuk memiliki stesen TV sendiri.


“Inilah kampung industri kita, first time dalam dunia ini kita sebagai artis dalam dunia hiburan ada kampung kita sendiri. Sebelum ini semua sibuk kat online saja tapi ini adalah real TV platform. Kita mula agresif promote Suke TV ini dari masa ke semasa dalam waktu terdekat ini. 

Suke TV sekarang ini beroperasi selama 24 jam dan kita merupakan shopping channel iaitu SukeShop.com dan rancangan variety. Rancangan variety kita yang first dan sedang viral, Berita Latah. Dalam TikTok saja viewer mencecah 3 juta lebih,” kongsi AC sewaktu bertemu dengan rakan-rakan media di Suke TV, Jalan Pasar, Pudu, baru-baru ini.


Bukan hotel tapi pejabat AC Mizal yang terletak di tingkat 10 dengan pemandangan yang indah.


Katanya, jika diizinkan Allah, dalam masa tiga tahun mendatang, pihaknya akan ada tiga hingga lima saluran lagi.

“Suke TV ini adalah first channel. Insya-Allah jika diizinkan Tuhan, kita target dalam tiga tahun, kita akan ada tiga hingga lima channel. Memandangkan saya sudah 31 tahun dalam industri, semua content yang kita buat adalah dari kanak-kanak sampailah ke dewasa. 

“Dalam tempoh tiga bulan beroperasi berdasarkan statistik AC Nelsen, untuk YouTube saja pada bulan pertama kita berjaya memperoleh 100,000 viewers. Kini lepas tiga bulan dah 1 juta lebih.

“Kita dah start engaging dengan all viewers dan sebagainya, paling pentingnya hari ini kita juga nak memperkasakan kita punya content daripada anak-anak Malaysia. Pada bulan depan (Ogos),  Suke Shop.com sudah ada 20,000 jenis produk yang akan masuk,” katanya yang menetapkan harga serendah RM200 untuk iklan berdurasi 30 saat.


Bersama staf Suke TV yang merupakan sebahagian daripada 80 orang tenaga produksi stesen tersebut. 


Harga yang dikenakan untuk usahawan yang ingin mempromosikan produk mereka di SukeShop.com amat murah, malah Suke TV juga memberi hadiah kepada mereka yang mempromosi dan membeli produk di saluran tersebut.

“Sesiapa yang membeli barang di dalam Suke TV ini lebih RM50, setiap minggu kami bagi handphone satu menerusi cabutan bertuah. Setiap bulan motor sebuah. Kita dah bagi dua buah motor sebab dah tiga bulan bersiaran.

“Yang kelakarnya, yang menang motor dan telefon ni beli tudung, beli kuih tat. Tujuannya kita nak bagi value pada orang yang membeli belah di Suke TV. Kita target hujung tahun, motor tu kita akan keluarkan ganti dengan rumah.

“Cabutan bertuah bukan dalam kalangan pembeli saja, malah untuk usahawan IKS pula bila masuk, akan ada cabutan bertuah antara mereka untuk hadiah kereta. Produk tak kisah apa-apa, janji ada sijil dan kelulusan daripada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) kerana apa saja yang keluar di TV wajib kelulusan daripada LPF (Lembaga Penapis Filem),” katanya.


Suke TV mengalu-alukan kehadiran rakan artis dan usahawan IKS untuk mempromosi produk masing-masing.


Tambah AC, slot Suke Seleb adalah untuk rakan-rakan artis berniaga, manakala Suke Hati pula terbuka kepada orang ramai yang mempunyai produk untuk dijual.

“Kita ada 72 selebriti yang dah jadi bisnes partner dengan Suke TV. Kita ada artis dan influencers (pempengaruh), mereka ini akan jual barang masing-masing di platform Suke TV atau kita buat produk untuk mereka, kita membantu satu sama lain.

“Waktu pandemik dulu ramai rakan artis saya buat produk tapi tak boleh nak jual dalam tempoh dua tahun. Sebab itu saya cakap, biar saya tolong jualkan di stesen TV saya. 

"Alhamdulillah, sambutannya memang menggalakkan. Yang banyak laku sekarang ini adalah bengkung Salina Saibi, tudung Linda Rafar dan vitamin C Fikry Ibrahim untuk slot Suke Seleb.

“Target kita 200 artis untuk Suke Seleb, sekarang kita ada 70 orang, insya-Allah kita akan yakinkan selebriti lain untuk joint kita. Bukan hanya artis tapi influecer pun. Untuk usahawan IKS (industri kecil dan sederhana) kita ada slot Suke Hati untuk mereka jual produk,” jelasnya lagi.  

Jika ada rakan-rakan artis, media atau usahawan IKS yang berminat untuk memasarkan produk mereka di Suke TV boleh menghubungi Jeff Annuar untuk mengetahui lebih lanjut melalui talian 018-2819044. - KitaReporters


AC Mizal menjelaskan green screen diguna untuk menampilkan latar belakang yang berbeza untuk slot Suke Seleb atau Suka Hati.

18
9
0
6
0
You will be interested