Seni & Sukan 28 Oct, 2021

Joe Flizzow tanya 'Apa Khabar' pelajar? Jadi Cikgu BI! Ajar percuma melalui aplikasi SOLS Edu!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


PENYANYI terkenal, Joe Flizzow atau nama sebenarnya Johan Ishak pernah dilabelkan 'poyo' oleh segelintir netizen kerana dilihat sering berkomunikasi menggunakan Bahasa Inggeris (BI). 

Namun 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu', Mr Poyo yang merupakan bekas penyanyi Too Phat ini kini bergelar Cikgu BI dan bakal mengajar secara alam maya kepada pelajar-pelajarnya.

Bukan menukar sepenuhnya kerjaya daripada penyanyi kepada cikgu, sebaliknya Joe Flizzow dilantik sebagai Duta oleh SOLS 24/7 untuk mengajar BI menerusi aplikasi pembelajaran, SOLS Edu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Joe Flizzow


Hantaran status dimuat naik oleh Joe Flizzow menerusi akaun instagram, @flizzow.


Menerusi satu sidang media 'Jom BerEnglish Bersama Joe Flizzow' pada 26 Oktober 2021, Joe memaklumkan beliau bersetuju bekerjasama dengan SOLS Edu sebagai salah satu platform terbaik baginya menyumbang sesuatu kepada masyarakat. 

"Pembelajaran ini secara percuma, ia menambahkan lagi semangat saya untuk membantu masyarakat mempelajari BI. Terdapat pepatah dalam dunia hip hop, "Real recognise real'.

"Saya mengiktiraf kerja serta peranan telah dilakukan SOLS Edu sejak sepanjang 21 tahun lepas membabitkan 500,000 pelajar di 7 buah negara. 

"Tugas dan tanggungjawab saya sekarang adalah mengajar  28 topik (52 pelajaran) yang merangkumi asas BI dan apabila semua pelajaran berjaya diselesaikan, sijil akan dikeluarkan.  

“Setelah pelajar menamatkan kursus, mereka akan lebih bersedia dalam penguasaan tatabahasa dan perbendaharaan kata untuk menduduki kertas Ujian BI Cambridge yang terpilih di mana  SOLS 24/7 merupakan Pusat Penilaian Sah Bahasa Inggeris Cambridge,” katanya.

Hadir sama pada sidang media berkenaan ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SOLS 24/7, Raj Ridvan Singh, atau Teacher Raj (TR). 


Joe Flizzow menyifatkan kerjasamanya dengan SOLS Edu sebagai platfrom baginya menyumbang sesuatu kepada masyarakat 


Tambah plantun lagu 'Apa Khabar' ini, beliau sendiri juga masih belajar untuk terus menguasai bahasa antarabangsa bagi 53 buah negara di dunia itu. 

"Saya juga sentiasa menggalakkan sahabat dan rakan sekerja untuk belajar BI supaya tiada sesiapa terlepas peluang untuk meningkatkan kemahiran bahasa mereka. 

"Sudah lama orang tak panggil saya poyo, saya tak kisah jika ada yang akan memanggil saya ‘cikgu’ pula selepas ini, "ujarnya berseloroh.

Menyambung lanjut, Joe Flizzow berharap ramai anak muda yang mahu tingkatkan pembelajaran BI tidak melepaskan peluang keemasan diberikan secara percuma ini.

Katanya lagi, ia adalah aplikasi mengagumkan dan dengan kaedah belajar BI yang lebih mudah pelajar berminat  hanya perlu melanggan aplikasi SOLS Edu dan beliau akan membimbing mereka melalui setiap pelajaran.

Untuk info, aplikasi pembelajaran SOLS Edu menggunakan tutorial dalam bentuk video dan audio, kaedah suai padan gambar-perkataan, isi tempat kosong dan latihan berbentuk pilihan jawapan untuk menjadikan proses pembelajaran bahasa Inggeris lebih bersifat pengembaraan interaktif.


Raj Ridvan Singh, atau Teacher Raj (TR).  


Sementara itu, menurut TR, aplikasi web progresif tersebut telah dibangunkan sejak 6 tahun lalu dan punyai pelbagai versi dengan meletakkan matlamat membantu setiap rakyat Malaysia agar mampu menguasai BI di tempat kerja menerusi kemudahan peranti digital mereka. 

“Kami yakin versi baru terkini aplikasi web progresif ini bolehkan pengguna gunakannya dari mana-mana platform sama ada IOS/Android, komputer riba, komputer meja atau tablet. 

"Secara dasarnya apa sahaja jenis pelayar web pada mana-mana peranti yang disambungkan ke Internet menjadikan aplikasi web ini benar-benar dapat diakses oleh semua orang,” ujar TR. - KitaReporters


10
14
0
11
0
You will be interested