Seni & Sukan 04 Dec, 2020

Jalan Jerantut-Tembeling! Perlukan penyelenggaraan berkala!

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

UMUMNYA mengetahui bahawa jalan raya merupakan perhubungan yang penting ke sesebuah tempat.

Selain kemudahan asas bagi penduduk berulang alik ke bandar, jalan raya juga antara nadi untuk pembangunan dalam sektor ekonomi berasaskan aktiviti pembangunan pertanian, pelancongan dan sebagainya. : KitaReporters


Kawasan runtuhan terbing berikutan hakisan musim pejur antara kerosakan jalan raya Kampung Pagi ke Mat Daling, berdekatan Bukit Sebarau, Hulu Tembeling. - Kredit foto: Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin


Lagi cerita-cerita berkaitan Hulu Tembeling:

https://kitareporters.com/search?search=tembeling


Kerosakan teruk jalan raya antara Kampung Pagi berdekatan Bukit Sebarau dan selepas pusat rekreasi Bukit Awan ke kawasan lima buah perkampungan penduduk Mukim Hulu Tembeling sedikit 'merungsingkan' kira-kira 2,000 orang penduduk yang berulang ke bandar Jerantut sejak awal tahun ini. 

Malahan jalan raya ini juga menjadi kemudahan utama bagi pengunjung melawat ke perkampungan tradisional Melayu Hulu Tembeling di bawah galakan sektor ekopelancongan kerajaan negeri.

Untuk makluman, projek jalan raya Hulu Tembeling merupakan fasa kedua dari Kampung Pagi ke Kampung Mat Daling sejauh 44 kilometer dan siap dibina pada tahun 16 Mei 2018 dan mula dibuka untuk pengangkutan awam.

Kerosakan jalan itu difahamkan sejak 2019, tetapi nampak ketara pada pertengahan tahun 2020 ini apabila berlaku mendapan tanah menyebabkan tekstur jalan berlekuk, manakala runtuhan tebing disebabkan hakisan mulai awal bulan November ini.


Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (kiri) bersama Jurutera JKR Jerantut sedang melihat kawasan mendapan tanah di permukaan jalan raya antara Kampung Pagi ke Kampung Mat Daling berdekatan Bukit Sebarau, Hulu Tembeling pada 30 November 2020. - Kredit foto: Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin


Mujurlah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Jerantut cepat bertindak menjalankan kerja penyelenggaraan segera untuk membaik pulih kerosakan buat sementara supaya kemudahan di situ boleh dilalui dengan selesa.

Hal ini juga kerana banyak aduan daripada penduduk dibuat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan wakil rakyat tersebut melaporkan kepada Jurutera JKR Jerantut. 


ABDUL JAMIL MD YASSIN


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Pagi, Abdul Jamil Md Yassin, 61, berkata, sejak awal tahun ini penduduk mula bimbang melihat struktur jalan mendap dan dikhuatiri membahayakan kenderaan yang berulang alik ke bandar Jerantut termasuk pengunjung yang melawat ke kawasan itu.

"Sekiranya jalan ini tidak boleh dilalui, kita tidak mampu lagi menggunakan bot penambang berulang alik ke bandar Jerantut dengan kos tambang yang tinggi termasuk masa perjalanan serta penyelenggaraan enjin bot. 

"Apapun, kami bersyukur dan berterima kasih kepada wakil rakyat dan JKR yang cepat bertindak membaikpulih kerosakan sambil berharap kemudahan asas ini kerap dipantau bagi mengelakkan kerosakan berulang termasuk di laluan lain pada masa akan datang," katanya di Kampung Pagi pada 2 Disember 2020. 


Bot penambang Sungai Tembeling yang memunggah penumpang dari perkampungan Hulu Tembeling berulang alik ke bandar Jerantut sudah jarang digunakan sejak pembukaan jalan raya dari Kampung Tuit (Kuala Tahan) ke Kampung Mat Daling selain itu juga kos tambang yang tinggi, masa dan juga penyelenggaraan bot. - Kredit foto: Penduduk Kampung Kuala Sat.


KHAMRI BASRI


Penggiat ekopelancongan Kampung Kuala Sat, Khamri Basri, 40, berkata, jalan raya itu amat penting untuk aktiviti ekopelancongan yang sebahagian besar didominasi oleh belia tempatan khususnya menjana sumber pendapatan selain pasaran hasil kampung penduduk Hulu Tembeling.

"Kita yakin setelah jalan raya ini siap dibaikpulih, pengunjung mahupun penduduk lebih selesa berulang alik sekali gus mampu merancakkan kembali aktiviti pelancongan di sini setelah beberapa bulan terjejas berikutan pandemik COVID-19.

"Terima kasih kepada wakil rakyat (Mohd Zakhwan) dan JKR kerana memahami 'denyut masalah' penduduk Hulu Tembeling," katanya.


MOHD ZAKHWAN AHMAD BADARDDIN


Dalam pada itu, Mohd Zakhwan mengakui ada kerosakan jalan raya berdekatan Bukit Seberau dan selepas kawasan rekreasi Bukit Awam ketika beliau kerap berulang alik ke Hulu Tembeling selain banyak sekali menerima aduan penduduk.

Mohd Zakhwan berkata, hasil tinjauan beliau bersama Jurutera JKR Jerantut pada 30 November 2020 mendapati punca kerosakan dipercayai akibat terjahan air yang kuat apabila longkang yang disediakan tidak berfungsi dengan baik, tiada penyelenggaraan berkala dan ada pergerakan tanah (mendapan).

"Menerusi maklumat yang diperoleh daripada  pihak JKR, pemasangan papan tanda amaran segera dilakukan di semua kawasan kerosakan untuk keselamatan pemandu di laluan tersebut semalam (1 Disember 2020).

"JKR juga akan menambun kawasan yang mendap dengan batu 'crusher run' (batu kasaran) sebagai tindakan awal bagi kemudahan laluan pengguna. Saya juga berterima kasih kepada JKR," katanya di Jerantut pada 2 Disember 2020. - KitaReporters


Beberapa buah kawasan laluan yang rosak dan mendapan tanah sudahpun diselenggara baik pulih oleh JKR Jerantut mulai 1 Disember 2020 - Kredit foto: Penduduk Kampung Pagi

2
0
0
0
1
You will be interested