Seni & Sukan 25 Aug, 2020

Program menarik dalam RTM! Sempena Hari Kebangsaan ke-63!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this

SETIAP tahun apabila tibanya sambutan Hari Kemerdekaan, menjadi kelaziman bagi rakyat Malaysia turun padang atau pun berada di hadapan kaca televisyen untuk menonton acara perbarisan secara langsung. Namun buat julung kalinya gara-gara penularan wabak COVID-19, sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-63 tentu berbeza situasinya. : KitaReporters


Kredit foto: utar.edu.my


Untuk tahun ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan Siaran Langsung 'Kita Malaysia Edisi Khas Hari Kebangsaan' pada 31 Ogos 2020 ini, pukul 8.00 hingga 11.00 pagi menerusi saluran utama TV1.

Bersama pengacara, rancangan meninjau beberapa lokasi bersejarah negara yang menjadikan Malaysia sebagai negara yang maju dan merdeka.  Pada masa sama memastikan sambutan Hari Kebangsaan masih dirasai, walaupun dalam norma baharu.

RTM turut mengisi tiga saluran utama TV1, TV2 dan TV Okey dengan pelbagai program yang menghadirkan simbolik kepada sambutan Hari Kebangsaan kepada seluruh warga Malaysia antaranya seperti berikut:

TV1:

* Dokumentari : #KitaMestiMenang (30 Ogos 2020, 9.00 malam)

Memaparkan kisah di sebalik tabir perjuangan barisan hadapan KKM dibantu agensi berkaitan dalam memerangi wabak COVID-19. Kealpaan rakyat kini mengundang gelombang ketiga setelah lebih 7 bulan barisan hadapan berjuang habis-habisan. Malaysia tiada pilihan lain, kecuali menang.

* Siaran Langsung Konsert Kita Merdeka 1957 2020 (30 Ogos 2020, 10.30 malam)

Konsert siaran langsung khas terbitan Unit Hiburan TV RTM ini berkonsepkan variety show iaitu melibatkan konsert, chit chat, klip dan interaktif yang tertumpu kepada generasi muda barisan arti seperti Aman RA, Haqiem Rusli, Wany Hasrita mahu pun Datuk Jamal Abdillah dan Bunkface.


* Panggung Khas : Ungku (31 Ogos 2020, 11.05 pagi)

Kisah Ungku Munirah yang berhadapan dengan fitnah selepas dia membatalkan perkahwinannya dengan Bahari. Ungku Munirah telah memilih untuk menyambung perjuangan arwah bapanya untuk membina sebuah sekolah. Dibintangi Nora Danish, Nazeera Sardi dan Azlee Khairi (gambar atas).

* Doku Khas : Jubli Emas Rukun Negara (31 Ogos 2020, 3.05 petang)

Doku khas ini memaparkan sejarah Rukun Negara yang  diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong IV Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, susulan peristiwa 13 Mei 1969, bagi mencapai perpaduan yang erat dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum, agama, budaya dan kepercayaan.

* Semangat Keramat (31 Ogos 2020, 4.05 petang)

Sebuah dokumentari terbitan Unit Sukan TV RTM mengenai  pengorbanan 3 orang atlet Malaysia yang pernah mewakili negara di peringkat antarabangsa iaitu Nur Suryani Mohamed Taibi (Menembak), Goh Liu Ying (Badminton) dan S.Suresh (Memanah Para). Rintangan yang dihadapi oleh mereka tidak menjadikan mereka patah semangat untuk menjadi juara dunia. Semoga menjadi inspirasi buat rakyat Malaysia.

* Konsert “Bangkit Malaysia Simfoni Orkestra RTM” (31 Ogos 2020, 9.00 malam)

Gabungan 3 kumpulan Orkestra terulung yang dipimpin Dato Mokhzani Ismail, Orkestra RTM, Malaysian Philharmonic Orchestra dan National Symphony Orchestra. Mereka akan mengalunkan lagu tema Hari Kebangsaan “Malaysia Prihatin” dan lagu-lagu patriotik. 

Antara barisan artis yang bakal memeriahkan konsert terdiri daripada Ernie Zakri, Syamel, Jaclyn Victor, Ella, Anuar Zain, Misha Omar, Khai Bahar, Roy, Bob Yusof, Aina Abdul, Suki Low, Daniel Lee, Sean Ghazi, Francissca Peter, Vanida Imran dan kumpulan koir dari UITM Chamber dan Gemersik Chorus. 

TV2:

* Drama Khas Merdeka : Cucu Kau, Cucu Kami Juga (31 Ogos 2020, 11.45 pagi, ulangan 3.15 petang)

Mengisahkan tiga lelaki berumur menaiki sebuah kereta pergi bersama mengambil cucu dari asrama untuk pulang bercuti. Drama pendek khas sempena sambutan Hari Merdeka terbitan unit Drama TV, RTM ini dibintangi Sathia, Kamarool Yusof dan Jordon.


* Telemovie: Pinggan Jangan Retak (31 Ogos 2020, 1.00 tengah hari)

Kerana sebiji pinggan antik zaman Dinasti Ming rombongan Laksamana Cheng Ho yang dijumpai tertanam di laman rumah, kejiranan pelbagai kaum yang sebelum ini harmoni menjadi bertelingkah apabila pinggan tersebut menjadi rebutan selepas didapati mempunyai nilai yang tinggi. Selepas pelbagai peristiwa menimpa, mereka akhirnya menyedari kesilapan masing-masing dan akhirnya bersetuju menyerahkan pinggan tersebut kepada Muzium Negeri Melaka sebagai khazanah negara. Antara barisan pelakonnya terdiri dari Jalil Hamid, Norlaila Nasir dan Wong Sin Nen.

TV Okey:

Majalah : Titik Perubahan (mulai 30 Ogos 2020, setiap hari, 8.00 pagi)

Rancangan yang memaparkan kisah kejayaan beberapa individu yang berjaya memerdekakan diri mereka dari kesusahan hingga berjaya berada di puncak kejayaan.Antaranya Adam Corrie, Malek Noor, Rozita Ibrahim, Hajah Zaiton (Kak Ton) dan 

Ruslan Ayob@ Taugeh.


* Telemovie : Wanita di Hujung Kuala (30 Ogos 2020, 3.00 petang)

Nur teringin untuk melanjutkan pelajaran seperti abangnya, Idris dan Yusuf yang bersekolah di Maktab Melayu Kuala Kangsar, namun Pak Ali membantah impian Nur. Nur yang bekerja di pejabat Tuan Andrew dimana Tuan Andrew teruja dengan sikap Nur yang rajin untuk membaca buku dan belajar bahasa Inggeris dalam waktu yang sama.  Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh Nur dalam menuntut ilmu sehinggalah beliau berjaya ditawarkan oleh pihak British untuk menyambung pelajaran di England. Barisan Pelakon:  Daler Yusof, Nazeera Sardi, Riz Amin, Sharifah Shahora dan Zahid Baharudin. - KitaReporters

1
0
0
0
0
You will be interested