Seni & Sukan 19 Jul, 2020

Angkara Siti Nordiana menjadi! Babak tambahan mengejutkan!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this

REZEKI, tiada siapa yang dapat menduga. Hanya selepas kurang dua hari video muzik lagu Angkara, dendangan Siti Nordiana dimuat naik dalam saluran (channel) YouTube Seventeen Eleven Music, video terebut sudah mendapat jumlah tontonan lebih 200,000. : KitaReporters.

Rezeki Siti Nordiana apabila lagu dan video muzik Angkara mendapat sambutan hangat daripada peminat.


Video muzik untuk lagu ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya dan Siti Nordiana atau Nana yang dilancar secara rasmi 17 Julai 2020 lalu dan kini berada di kedudukan ke-24 carta trending dan di kedudukan teratas carta iTunes. 

“Alhamdulillah, saya tidak menjangka strategi syarikat rakaman untuk menerbitkan drama mini siri ini bagi video muzik Angkara mendapat sambutan

"Bukan apa, ini pertama kali sepanjang kerjaya saya buat perkara ini. 

“Mungkin juga sebab peminat sudah lama tidak melihat saya berlakon, jadi drama pendek ini sedikit sebanyak mengubat kerinduan mereka. Apa pun, terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan video muzik ini. 

“Paling penting, sokongan berterusan daripada peminat untuk menyaksikan setiap episod amat saya hargai. 

"Saya berharap video muzik penuh lagu ini tidak akan mengecewakan semua. Saya dan pasukan sudah cuba berikan yang terbaik,” katanya yang pertama kali bekerjasama dengan Sharon dan Fedtri. 

Terang Nana, sejak tahun lepas lagi beliau dan Sharon sudah berbincang tentang lagu berkenaan dan berpeluang membuat rakaman pada Disember 2019. 

“Sebenarnya, agak lama juga saya peram lagu ini. Sebab pertama kali dengar lagu ini adalah versi asal. Kemudian, Sharon ada membuat perubahan sedikit untuk versi rakaman. 

"Tapi, apabila dengar versi itu, saya lebih suka mendengar versi asal. Jadi, kami ambil keputusan untuk merakamkan versi asal itu,” katanya.

Setiap episod drama mini untuk video muzik Angkara turut mendapat sambutan dan ada kejutan untuk episod akhir.


Ditanya mengenai kerjasama itu, Nana yang juga pelakon drama Dia Semanis Honey berkata komposer lagu Sampai Bila itu sudah lama menyatakan hasrat untuk berkolaborasi. 

“Ketika dia mula perdengarkan lagu ini, saya terus jatuh cinta. Disebabkan itu, saya ambil keputusan untuk merakamkan lagu ini. Lagi pula, ketika itu saya sedang mencari material bagi single baharu. 

“Pendek kata, kerjasama kami ini pun secara menang-menang. Dia sudah lama ‘approach’ saya, tapi disebabkan jadual kerja yang padat, jadi ia belum dapat dilaksanakan. 

"Alhamdulillah, penghujung tahun lalu segalanya dipermudahkan,” ceritanya. 

Bagaimanapun katanya, disebabkan pandemik COVID-19, pelancaran lagu tersebut terpaksa ditunda kepada 17 Julai 2020. 

“Cuma, kami ambil masa untuk melancarkan lagu ini ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). DItambah pula syarikat dan Seventeen Eleven Music mempunyai perancangan lain dari segi video muzik,” katanya.

Selain Fikry Ibrahim, pelakon Alvin Chong turut memeriahkan video muzik Angkara.


Umum mengetahui, video muzik Angkara diterbitkan dalam bentuk drama bersiri pendek yang mengandungi tiga episod sebelum video muzik penuh dipaparkan pada episod keempat. 

Episod pertama video muzik Angkara yang dilancarkan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada 3 Julai lalu sudah mencecah tontonan lebih 241,000. 

Manakala episod kedua pada 8 Julai lalu mencecah lebih 181,000 tontonan selain berada dalam carta trending di kedudukan ke-46. 

Selain itu, episod ketiga pada 13 Julai lalu pula sudah melebihi 134,000 tontonan. Episod ketiga ini juga trending di tangga ke-27. 

Sebagai kejutan buat peminat, pihak syarikat rakaman Seventeen Eleven Music membuat rakaman tambahan pada babak akhir video muzik itu. 

Apatah lagi sebelum ini ramai yang menimbulkan persoalan pada episod pertama dan kedua siapa punca kepada tindakan suami Nana dalam cerita itu lakonan Fikry Ibrahim yang kantoi. 

“Idea ini pun timbul pada saat akhir iaitu empat hari sebelum video muzik ini dilancarkan. 

"Melihatkan sambutan yang diberikan selain terlalu banyak persoalan yang timbul, jadi pihak syarikat rakaman mencadangkan sedikit tambahan babak. 

“Bagaimanapun, kemunculan pelakon Alvin Chong ini bukan jawapan kepada persoalan. Ingin tahu bagaimana kesudahannya kena tunggu. 

"Saya sendiri tidak tahu apa kejutan yang akan dibuat selepas ini,” katanya. 

Video muzik rasmi lagu ini boleh terus ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.  - KitaReporters.

7
1
0
0
2
You will be interested