Seni & Sukan 08 Oct, 2021

Kena buat ujian saringan COVID-19 bila rentas negeri! Sebelum dibenarkan masuk ke Terengganu!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

Pintu masuk ke Terengganu melalui Kelantan di sempadan Besut-Pasir Puteh, Kampung Bukit Yong.


KERAJAAN Terengganu mengenakan syarat kepada orang ramai yang ingin rentas negeri untuk memasuki negeri itu dengan mengambil ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu sebelum masuk ke negeri berkenaan selepas kebenaran rentas negeri diumumkan oleh kerajaan pusat.

Syarat yang ditetap kerajaan negeri itu adalah bagi mengawal penularan kes COVID-19 di negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, tindakan tersebut difikirkan perlu berikutan peningkatan jumlah kes COVID-19 terutama membabitkan varian Delta dan Beta di negeri ini sejak kebelakangan ini.


Lagi cerita-cerita menarik rentas negeri

Dr Alias Razak


"Sejak akhir Jun sehingga Selasa (5 Oktober 2021), sebanyak 42 kes penularan varian Delta (33 kes) dan Beta (9 kes) sudah dikesan.

"Justeru,orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati dan mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berikutan penularan varian membimbangkan (VOC) ini," katanya.

Dr Alias berkata, kit ujian saringan tersebut boleh didapati sama ada di klinik kesihatan kerajaan atau klinik swasta sebelum memulakan perjalanan ke Terengganu.

Katanya, orang ramai juga boleh melakukan ujian saringan kendiri dengan membeli kit ujian kendiri di farmasi berhampiran tempat tinggal masing-masing. 

"Sekiranya keputusan ujian tersebut positif, pengunjung dinasihatkan menangguhkan perjalanan kerana kita tidak mahu mereka mencetuskan penularan wabak COVID-19, sekali gus menyusahkan ramai pihak," katanya.


Pintu gerbang sempadan Pahang-Terengganu di Kamaman


Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran merentas negeri yang akan diumumkan dalam tempoh beberapa hari lagi berkuat kuasa serentak di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, kebenaran serentak itu berikutan kebanyakan negeri dijangka mencapai kadar vaksinasi populasi dewasa 80 peratus, apabila purata vaksinasi individu berusia 18 tahun ke atas di seluruh negara mencapai 90 peratus.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat bersabar sementara menunggu kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus dan akan mengumumkan kebenaran rentas negeri dalam tempoh terdekat. 



"(Rentas negeri) serentak seluruh negara. Walaupun janji peringkat awal 80 peratus (kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa), tapi program vaksinasi di negeri masih pada peringkat rendah iaitu sekitar 60, 70 peratus.

"Kalau kita buka seluruh negara (ketika kadar vaksinasi lengkap 80 peratus), mungkin akan berikan kesan yang tak baik kepada negeri yang kurang dari segi peratusannya.

"Namun jika (purata vaksinasi seluruh negara negara) 90 peratus, kita jangka purata di negeri sudah pun melebihi 80 peratus," katanya pada sidang media selepas Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Angkasapuri, pada Jumaat, 8 Oktober 2021. - KitaReporters

13
11
5
10
5
You will be interested