DISURUH menjarakkan diri (social distancing) pun sukar dipatuhi oleh rakyat negara ini, sekali pun ia bertujuan baik untuk menghalang kontak rapat antara mereka dalam usaha mencegah penularan wabak penyakit Koronavirus-2019 atau COVID-19. Tapi lain ceritanya di Singapura. : KitaReporters
GAMBAR bertarikh 18 Mac 2020 menggambarkan suasana di sebuah pusat penjaja di Singapura di mana pelanggan menjarakkan diri sementara beberapa kerusi ditanda merah sebagai amaran 'tidak boleh duduk'. - Kredit foto: AFP/Getty Images.
Jarak yang ditetapkan ialah sekurang-kurangnya satu meter antara seorang dengan seorang yang lain.
Namun akibat tidak mahu mematuhinya, kita di Malaysia dilihat masih berkelompok atau berada pada jarak dekat ketika di tempat-tempat awam seperti pasar raya atau bank.
Seperti
juga kerajaan yang kini bertindak lebih tegas terhadap mereka yang masih ingkar
dengan Perintah Kawalan Pergerakan atau ‘lockdown’, masanya sudah tiba untuk mengambil
tindakan tegas terhadap mereka yang mengingkari
‘social distancing’.
Dalam hal ini, mungkin kerajaan boleh mengambil langkah keras seperti yang diambil Singapura berhubung isu ini.
Singapura telah melaksanakan undang-undang baharu, di mana mereka yang didapati duduk atau berdiri terlalu rapat antara satu sama lain dianggap melakukan kesalahan jenayah.
Memetik laporan time.com Singapura, undang-undang tersebut berkuat kuasa mulai Jumaat, 27 Mac 2020 dan dijangka berterusan sehingga 30 April 2020.
KERUSI-KERUSI di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ditanda simbol "X" untuk memastikan jarak selamat antara seorang dengan yang lain. Orang ramai hanya boleh duduk di atas kerusi tidak bertanda. - Kredit foto: Twitter Malaysia Airport.
Undang-undang tersebut menetapkan mereka yang duduk atau berdiri terlalu rapat boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga $7,000 (RM21,215).
Inilah undang-undang baharu Singapura sebagai langkah drastik mengekang penularan COVID-19 yang dilaporkan makin meningkat di negara pulau itu.
Kebanyakan kes COVID-19 di republik itu kaitkan dengan warga luar yang masuk ke negara tersebut.
Dengan undang-undang
ini, bermakna seseorang yang sengaja duduk kurang satu meter dari orang lain di tempat awam, atau berdiri kurang
satu meter dalam barisan, maka dia dianggap melakukan kesalahan.
Selain itu, orang ramai juga dilarang duduk di atas kerusi yang sudah ditanda ‘tidak boleh duduk’. Duduk di atas kerusi yang bertanda sedemikian adalah satu kesalahan.
Seseorang yang sengaja duduk kurang satu meter dari orang lain di tempat awam, atau berdiri kurang satu meter dalam barisan, maka dia dianggap melakukan kesalahan di Singapura. - Kredit foto: Twitter Kementerian Kesihatan Singapura.
Di Malaysia, di beberapa tempat tumpuan awam seperti klinik kerajaan dan hospital, peraturan ‘tidak boleh duduk’ ini sudah dilaksana.
Misalnya
dalam pemerhatian penulis, kerusi-kerusi di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL)
di Titiwangsa dan Hospital Kula Lumpur (HKL) menetapkan seseorang hanya boleh
duduk selang dua kerusi, yang dianggarkan pada jarak satu meter.
Semua
tempat duduk seperti di lobi, farmasi, bilik menunggu untuk rawatan terdapat kerusi
bertanda ‘tidak boleh duduk’.
Begitu juga
di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, aturan ini juga dilaksana
pada tempat duduk yang terdapat di dalam lapangan terbang tersebut.
ANGGOTA keselamatan Rela menunjukkan jarak garis 'social distancing' kepada orang awam yang berbaris di sebuah premis di Kuala Lumpur. - Kredit foto: New Strait Times.
Namun ketika di tempat-tempat seperti ini peraturan dipatuhi, di kebanyakan tempat awam lain seperti pasar raya atau bank, ia tidak dipatuhi sepenuhnya.
Orang ramai masih suka berdiri rapat, malah bersembang.
Kerana itu
wajar bagi Malaysia melakukan seperti apa yang Singapura lakukan dengan
mengenakan tindakan tegas, sekurang-kurangnya mengenakan kompaun serta-merta
bagi mereka yang didapati ingkar menjarakkan diri.
Dalam usaha mengekang COVID-19 ini, Singapura juga bertindak menutup bar dan kelab malam serta mengehadkan perhimpunan ramai tidak melebihi 10 orang.
Perhimpunan pada skala lebih besar diharamkan.
Untuk rekod, kes COVID-19 pertama di republik itu dikesan pada 23 Januari 2020. Kerajaan berjaya menghalang penyebaran melalui saringan agresif, pencarian kontak (contact tracing) serta langkah kuarantin yang ketat.
Bagaimanapun menurut time.com, kini Singapura, seperti juga kebanyakan negara lain di Asia, sedang menghadapi gelombang kedua penularan.
Hingga Jumaat, 27 Mac 2020, sebanyak 49 kes baharu dilaporkan di republik itu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 meningkat kepada 732 orang, manakala angka korban kekal 2 orang.
Sejumlah besarnya adalah ‘kes import’ yang ada hubung kait dengan sejarah perjalanan ke Eropah, Amerika Utara, Timur Tengah dan bahagian lain Asia. : KitaReporters