Seni & Sukan 30 May, 2021

Video| 5 pemain angkat kaki! Yee Fatt pening! Seladang makin tempang! Berharap kepada DS Vida?

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Nazirul Naim adalah pemain terbaharu meninggalkan The Boss Gaurus - Foto Sabah FC


SEORANG lagi pemain Perak FC angkat kaki. Kali ini giliran Nazirul Naim Che Hashim mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada skuad bergelar The Boss Gaurus itu, menyusuli langkah Shahrul Saad, Guilherme de Paula, J Partiban dan Kenny Pallraj yang lebih awal berbuat begitu.

Shahrul serta De Paula menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) FC sementara Partiban dan Pallraj beralih angin bersama skuad Kuala Lumpur FCNazirul pula bakal menyarung jersi Sabah, suatu keputusan yang dianggapnya berat, namun terpaksa dilakukan demi masa depan.

Tidak mustahil lebih ramai pemain yang akan turut angkat kaki jika Perak FC tidak cepat bertindak memperbetulkan keadaan berhubung isu tunggakan gaji. Antaranya yang dikahabarkan sedang menimbang kemungkinan mengambil langkah sama adalah Hafizul Hakim Nizam Jothy, Amirul Azhan Aznan dan Firdaus Saiyadi.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Perak FC

Jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt berdepan cabaran getir ekoran krisis yang sedang melanda kelab itu. - Kredit foto: Perak FC


Jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau DS Vida (DSV) yang dilaporkan berminat untuk memiliki kelab berkenaan masih berada dalam situasa berbelah bahagi.

Beliau begitu berhati-hati kali ini serta sudah belajar daripada kesilapan lalunya yang terperangkap dengan keghairahan untuk bergelar ‘queen of football’ sehingga membawa kepada kegagalan semasa menaja pasukan Kelantan pada 2015 dan 2016 lalu.

Antara langkah diambil oleh DSV adalah bertemu dengan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk mendapat pandangan serta gambaran lebih jelas agar beliau tidak tersadung sekali lagi.

Walaupun bekas Menteri Besar Perak itu kini tidak terbabit secara langsung dengan Perak FC, namun sebagai bekas presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), sudah pasti beliau dapat membantu Vida mendapatkan gambaran sebenar perjalanan pentadbiran sebuah kelab serta senario bola sepak Malaysia khususnya di Perak.

Apatah lagi, jika Vida mengambil alih, cabarannya bukan kecil kerana kelab itu sedang berdepan krisis kewangan yang kronik sehingga menyebabkan ramai pemain tawar hati untuk terus menyarung jersi keramat pasukan yang turut dikenali sebagai Seladang itu.



Malah, jika benar Vida mengambil alih serta dengan kemampuan kewangannya mampu menyelesaikan isu tunggakan gaji dan kebajikan pemain, adakah Perak FC yang sudah ‘ditalakkan’ oleh lima tonggak serta kemungkinan kehilangan lebih ramai pemain, mampu memberi cabaran dalam baki Liga Super musim 2021 ini.

Mereka kini menduduki tangga ke-10 daripada 12 pasukan bertanding dan hanya berkelebihan satu mata daripada Melaka United yang menghuni tangga ke-11 sambil UiTM FC terperosok di dasar liga dengan hanya dua mata.

Ia bukanlah satu kedudukan yang selamat bagi The Bos Gaurus kerana penghuni tangga ke-11 dan 12 pada akhir musim secara automatik akan diturunkan ke Liga Perdana untuk musim berikutnya.

Jika ini terjadi, Perak bakal mencalar rekod mereka sendiri yang selama ini kekal sebagai satu-satunya pasukan yang tidak pernah jatuh ke Liga Perdana sejak Liga Super diperkenalkan pada 2004.


Kredit foto: FB Perak FC


Jurulatih Chong Yee Fatt mengakui beliau berdepan situasi sukar namun belum bersedia mengibar bendera putih.

Beliau tidak mempunyai banyak pilihan, suka atau tidak, kini perlu bergantung pada pemain muda yang diserap daripada skuad Perak II serta pemain import seperti Leandro, Careca, Sergio Aguero dan Nana Poku yang memilih untuk kekal bersama pasukan itu.

Usaha Yee Fatt untuk memikat pemain daripada pasukan lain juga menemui kebuntuan kerana pemain ditawarkan was-was untuk menyertai Seladang ekoran imej buruk yang sudah terpalit pada pasukan itu. 

“Kehilangan ramai pemain tonggak adalah tamparan hebat tapi kami perlu terus bergerak ke depan. Saya tidak boleh menyembunyikan kebenaran bahawa suasana dalam pasukan sekarang memang agak kelam kabut.

“Tapi, kami akan melakukan yang terbaik untuk keluar daripada situasi ini. Kami perlu sentiasa positif dan tidak boleh dibelenggu dengan pemikiran bahawa Perak kini lemah,” ujar Yee Fatt.


Shahrul dan De Paula kini menjadi milik JDT selepas mengambil keputusan meninggalkan Perak FC. - Kredit foto: Johor Southern Tigers


Sementara itu, bekas pemain dan jurulatih Perak, Datuk M Karathu masih berkeyakinan The Boss Gaurus mampu kekal dalam Liga Super walaupun dibarisi pemain muda dengan syarat Yee Fatt bijak mengadun strategi.

“Dalam bola sepak pengalaman sahaja tidak membantu kejayaan jika pemain tidak memberi 100 peratus komitmen. Sebaliknya, pemain-pemain muda, walaupun cetek pengalaman dan menerima gaji yang rendah namun kesungguhan mereka mampu menampung kekurangan itu.

“Apa yang perlu dilakukan Yee Fatt sekarang adalah mengatur strategi yang benar-benar berkesan. Memang sukar untuk Perak mencabar kedudukan di atas namun sekurang-kurangnya mampu kekal dalam Liga Super.

"Kita pernah hadapi situasi sebegini dan berjaya mengatasinya, jadi tidak mustahil kali ini,” kata Karathu. - KitaReporters


Karathu Maruthaiah. - Kredit foto: Football Tribe

0
1
0
0
0
You will be interested