Seni & Sukan 25 May, 2021

Badminton kekal 21 mata, terbaik 3 set! 5x11 mata ditolak! Kenny dipilih jadi Ahli Majlis BWF!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

SISTEM 5x11 saranan Indonesia dan Maldives, gagal meraih majoriti dua pertiga ahli gabungan BWF sebagai syarat untuk meluluskan penggunaannya. - Kredit foto: BWF


SISTEM kiraan mata badminton sekarang dikekalkan dengan 21 mata dan terbaik daripada tiga set (3x21) sekali gus menolak saranan 11 mata dan terbaik daripada lima set (5x11) yang dikemukakan oleh Persatuan Badminton Indonesia dan Maldives.

Keputusan itu dicapai setelah pengundian pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persekutuan Badminton Dunia (BWF) secara dalam talian pada  Sabtu, 22 Mei 2021, gagal mencapai majoriti dua pertiga negara-negara ahli gabungan untuk meminda undang-undang sukan itu.

Turut cuba disokong Badminton Asia, Persatuan Badminton Korea dan Taiwan, saranan 5x11 itu hanya beroleh 66.31% ahli BWF yang menyokong, manakala 33.69% menentangnya daripada sejumlah 282 undi.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan badminton

POUL-Erik Hoyer Larsen mempertahankan jawatan Presiden BWF tanpa bertanding. - Kredit foto: BWF


Presiden BWF, Poul-Erik Hoyer Larsen berkata: “Negara-negara ahli kami telah bersuara dan di sebalik jurang majoriti yang amat kecil dan tidak mencapai (syarat), persekutuan menghormati keputusan untuk mengekalkan sistem pemarkahan (terbaik daripada) tiga set dengan 21 mata.

“Inilah kali kedua saranan sebegini tidak diluluskan tetapi saya melihat penyertaan hebat oleh para ahli gabungan dan keputusan yang dicapai menunjukkan masyarakat badminton sangat mengambil bahagian demi kepentingan terbaik sukan ini dalam masa-masa yang sesukar dan mencabar ini (Covid-19). 

“Justeru, saya berterima kasih kepada semua orang atas peranan mereka dalam proses ini,” kata bekas pemain kidal perseorangan Denmark yang juga juara Sukan Olimpik Atlanta 1996 ini dalam laman sesawang rasmi BWF, pada 22 Mei 2021.

Larsen mengakui pindaan kiraan mata 5x11 itu (tidak akan diperkenalkan sehingga selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021), Julai ini) turut menjadi sebahagian wawasannya untuk menjadikan badminton lebih menarik dan meningkatkan nilai hiburan bagi para pemegang taruh dan peminat.

“Namun (keputusan pengundian) ini tidak akan menghalang kami daripada meneruskan usaha-usaha kami untuk meningkatkan kecemerlangan dalam badminton bagi semua yang terbabit sejajar dengan Pelan Strategik 2020-2024 kami,” tegasnya.

Antara matlamat pelan itu ialah memasukkan unsur baharu dan inovatif dalam sukan badminton untuk memastikannya terus berkembang sepanjang masa dan menarik, membabitkan dan meningkatkan golongan peminat dunia BWF menerusi persembahan yang berinspirasi pada kejohanan-kejohanan bertaraf dunia.

Dalam pemilihan sempena AGM itu, Larsen turut mempertahankan jawatan Presiden BWF tanpa bertanding, bersama-sama Timbalan Presiden, Khunying Patama Leeswadtrakul dari Thailand. 


MOHAMAD Norza Zakaria 


Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, “keputusan BWF seiring dengan keputusan BAM yang mahukan sistem tersebut diuji pada peringkat tertinggi sebelum dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kami memahami mengapa sistem 5x11 mata itu hendak diperkenalkan namun evolusinya perlu berperingkat-peringkat,” katanya.

AGM BWF turut menyaksikan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh dipilih sebagai Ahli Majlis BWF bagi penggal 2021-2025 dan mendapat ucapan tahniah BAM dalam laman Facebook rasmi persatuan.

Kenny memperoleh 218 undi di belakang empat lagi wakil benua Asia dan di antara lapan kesemuanya yang dipilih ke Majlis BWF iaitu dari China, Indonesia, India dan Korea Selatan, Jepun, Tajikistan dan Brunei.


LAMAN Facebook rasmi BAM mengucapkan tahniah atas kejayaan Kenny Goh dipilih sebagai Ahli Majlis BWF 2021-2025. - Kredit foto: BAM


Wakil benua lain termasuk Eropah, Pan Am, Afrika dan Oceania, melengkapkan 20 slot yang dipertandingkan dalam kalangan 30 calon.

“Tahniah atas kejayaan beliau. (Kejayaannya) menunjukkan sokongan negara-negara lain terhadap peranan Malaysia yang aktif pada peringkat pembangunan sukan badminton dan pengiktirafan negara sebagai kuasa badminton dunia,” kata Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM). - KitaReporters


SISTEM kiraan 21 mata dianggap memakan masa dan memberi tekanan mental dan fizikal pemain. - Kredit foto: BWF


Latar belakang sistem pemarkahan 5x11:

Cadangan sistem baharu ini mulanya dijelaskan oleh Majlis BWF pada Mac 2014 yang berasa bahawa perlawanan-perlawanan semakin panjang manakala bulu tangkis yang dimainkan bagi tempoh yang lebih pendek dari sebelumnya.

Dalam sesi Majlis BWF di Montego Bay, Jamaica pada November 2017, cadangan untuk melaksanakan sistem 5×11 dibincangkan, menampilkan maklum balas daripada penyiar-penyiar.

Saranan itu dibawa kepada pengundian pada AGM BWF dalam Mei 2018 di Bangkok dan disebabkan menerima 129 undi yang menyokong dan 123 yang menentang, ia tidak dapat diluluskan kerana memerlukan majoriti dua pertiga, 168.

Manfaat cadangan pindaan sistem pemarkahan ini:

  • Menaik taraf sukan badminton dan persembahan peringkat elit
  • Menjadikan badminton lebih mengujakan dan membabitkan
  • Meningkatkan nilai komersial sukan ini
  • Memperkaya pengalaman peminat
  • Meningkatkan kualiti produk penyiaran
  • Meningkatkan profil bintang-bintang dan bakat-bakat yang muncul
  • Memperbaharui peraturan pertandingan
  • Memperkasa profil badminton sebagai sukan canggih 

SARANAN 11 mata, terbaik daripada 5 set cuba menjadikan sukan badminton lebih menarik, cepat mencapai prestasi kemuncak dan meningkatkan fokus pemain serta mengurangkan kecederaan. - Kredit foto BWF


Cabaran sistem sekarang:

  • Perlawanan lebih panjang
  • Rehat lebih panjang antara mata
  • Tekanan mental dan fizikal lebih besar pada pemain yang mendorong lebih banyak kecederaan

Penyelesaiannya: 

  • Memajukan sistem pemarkahan dan pengurusan gelanggang yang lebih berkesan.

Sistem pemarkahan cadangan:

  • Ciri-ciri: Terbaik daripada lima set, 11 mata, peraturan penetapan terikat 10-10 dihadkan kepada 15 dan pertukaran sebelah gelanggang dalam set kelima pada mata keenam.
  • Lebih banyak dan lebih cepat serta melanjutkan tempoh mencapai pretasi kemuncak, mudah memahami, meningkatkan detik-detik tumpuan dan mengurangkan tempoh perlawanan.


LEE Zii Jia, juara perseorangan Seluruh England 2021. - Kredit foto: BWF 

0
0
0
0
0
You will be interested