Seni & Sukan 19 Sep, 2021

Peminat Hijau Kuning rindu gandingan wira double treble! Khyril Muhymeen sedia kembali ke Kedah!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Baddrol Bakhtiar dan Khyril Muhymeen Zambri. - Kredit foto: Kedah FC.


TIDAK dinafikan antara watak penting yang membawa Kedah muncul juara ‘double treble' (tiga berganda dua tahun berturut-turut) pada musim 2007 dan 2008 adalah gandingan Baddrol Bakhtiar dan Mohd Khyril Muhymeen Zambri.

Sehingga kini, ia masih dianggap sebagai gandingan terbaik pernah dilahirkan skuad Hijau Kuning malah ramai penyokong yang merindui kombinasi itu serta menaruh harapan suatu hari nanti kedua-dua pemain berkenaan akan kembali bersatu.

Keinginan itu makin membuak-buak selepas adegan Baddrol dan Khyril saling bertukar jersi usai perlawanan PJ City FC dengan Kedah FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 25 Ogos 2021 lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Kedah FC

Khyril Muhymeen dan Baddrol saling bertukar jersi selepas perlawanan PJ City dengan Kedah. - Kredit foto: Arena HijauKuning.


Ramai yang terharu melihat keakraban kedua-dua sahabat itu walaupun sudah tujuh tahun Khyril meninggalkan Kedah untuk berkelana bersama beberapa pasukan sebelum menyarung jersi PJ City musim ini. 

Malah, jurulatih yang membentuk gandingan mereka serta pencetus kejayaan double treble, Mohd Azraai Khor Abdullah melalui hantaran menerusi laman Facebooknya menulis "semalam tiba-tiba habuk masuk mata" sebagai menggambarkan rasa terharu melihat keutuhan persahabatan bekas anak didiknya itu.

Bagi Khyril atau lebih mesra dengan panggilan Meen, dia tidak berselindung menyatakan kesediaan untuk kembali ke pangkuan Kedah jika khidmatnya masih diperlukan malah secara jujur mengakui keinginannya untuk menamatkan karier bersama pasukan negeri kelahirannya.

“Saya yakin dengan prestasi semasa, pengalaman serta faktor umur, saya masih mampu bermain pada peringkat tertinggi dengan syarat tidak dilanda kecederaan. Saya baru berumur 34 tahun dan masih mampu bersaing dengan pemain muda,” katanya. 

Begitupun, Meen mengakui kuasa penentu bukan berada di tangannya kerana banyak faktor bakal menentukan hala tuju karier dan masa depan seseorang pemain.


Gandingan Khyril Muhymeen dan Baddrol memacu pasukan Kedah memenangi tiga piala dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008. - Kredit gambar: Media sosial.


“Dalam bola sepak, macam-macam boleh berlaku yang kadangkala di luar jangkaan serta kawalan kita. Ia bergantung kepada rezeki dan keadaan ketika itu.

“Ya, jika ditanya kepada saya, sejujurnya memang saya ingin menamatkan karier bersama Kedah tapi ia sukar diramalkan kerana bergantung kepada banyak faktor.

“Kalau saya kata saya hendak kembali ke Kedah tapi mereka sendiri tidak berminat dengan saya, ia tidak akan jadi kenyataan, begitu juga sebaliknya.

“Jadi, seeloknya saya serahkan pada keadaan, biarlah prestasi dan rezeki yang menentukan. Apa yang penting, saya berusaha untuk sentiasa memberikan yang terbaik,” ujar Meen.


Khyril Muhymeen kini menyarung jersi PJ City FC. Kredit foto: MFL


Menurut Meen, dia juga perlu menghormati serta memberi sepenuh komitmen kepada pasukan PJ City sehingga kontraknya berakhir pada penghujung musim ini.

“Buat masa ini, soal kembali ke Kedah tidak timbul kerana komitmen saya sekarang adalah kepada PJ City. Sebagai pasukan yang menggunakan 100 peratus tenaga pemain tempatan, saya sangat berbangga dengan pasukan itu.

“Malah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan dan jurulatih, P Maniam yang memberi peluang untuk saya meneruskan karier selepas Selangor tidak menyambung kontrak saya.

“Saya terhutang budi kepada mereka malah gembira di sini dan ingin membalas kepercayaan mereka dengan membantu pasukan itu mencapai keputusan terbaik pada Piala Malaysia,” tegasnya.


Allahyarham Zambri Osman, ayah kepada Khyril Muhymeen, meninggal pada 5 Ogos, 2021.


Mengenai prestasinya sekarang, Meen berkata dia kembali menemui rentak pada penghujung musim selepas sebelum itu gagal memberi komitmen kerana menumpukan perhatian kepada ayahnya, Zambri Osman yang menghidap kanser darah.

“Saya berterus terang kepada pengurusan bahawa saya tidak mampu memberi tumpuan kerana terlalu risaukan kesihatan ayah yang disahkan menghidap kanser darah tahap empat pada Julai (2021) lalu dan mereka sangat memahami.

“Tapi, selepas ayah meninggal (pada 5 Ogos, 2021 lalu), saya dapat kembali memberi 100 peratus tumpuan kepada karier. Memang saya sangat sedih serta berasa kehilangan namun pada masa sama, semangat saya semakin kuat bila mengenangkan arwah ayah.

“Walaupun sudah terpisah, namun saya berasa kini semakin dekat dengannya menyebabkan saya sentiasa mahu melakukan yang terbaik dalam karier saya kerana sepanjang hayatnya, ayahlah penyokong dan pendorong nombor satu saya,” kata Meen mengenai ayahnya yang merupakan seorang pesilat dan pelakon.


Skuad double treble Kedah. - Kredit foto: Media sosial


Meen meninggalkan Kedah yang diwakilinya sejak 2005 untuk menyertai Negeri Sembilan pada 2015 selepas berlaku sedikit krisis antara dirinya dengan pengurusan.

Namun, kecederaan lutut yang dialami sejak 2009 menyebabkan dia gagal mendapatkan semula prestasi terbaiknya.

Selepas hanya semusim bersama Negeri Sembilan, dia bermain dengan kelab AirAsia sebelum menyertai PKNS (2017-2018), Perlis (2019) dan Selangor (2019-2020). - KitaReporters


 

 

 

13
12
0
7
0
You will be interested