Seni & Sukan 18 Apr, 2022

Syabas! 16 artis bergabung sebagai Famili Kita! Rakam lagu raya Suasana Di Hari Raya Famili Kita!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


BARISAN penyanyi terkenal tanah air Adibah Noor, Shidee, Ani Maiyuni, Azan Scan, Bandi Amuk, Dato Fazley Yaakob, Aliff Aziz, dan Aweera telah bergabung untuk merakamkan sebuah lagu sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 ini yang bakal disambut tidak lama lagi. 

Lagu tersebut turut menampilkan artis berkumpulan Nico G, dan duo Sa.Ya yang dianggotai Saiful Apek dan Yassin, selain penyanyi Nikki Palikat, Suki Low dan penyanyi dari Indonesia, Upiak Isil

Diterbitkan oleh Oja, lagu berjudul ‘Suasana Di Hari Raya’ nyanyian asal Anuar Zain dan Ellina, telah diberi nafas baharu dengan menggunakan tajuk ‘Suasana Di Hari Raya Famili Kita’, menampilkan pelbagai rentak yang bersesuaian dengan genre yang dibawakan oleh kesemua artis yang terlibat.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan lagu raya


Adibah Noor memberitahu bahawa projek lagu raya ini merupakan buah tangan mereka buat peminat-peminat yang telah banyak menyokong kerjaya seni mereka selama ini. 

Sejak dunia dilanda pandemik Covid-19 memang rata-rata anak seni kehilangan punca pendapatan namun peminat-peminat tidak berhenti menyokong malah terus membantu artis-artis berniaga demi meneruskan kelangsungan hidup.

Selaku Abang Long kepada artis-artis yang terlibat dalam projek lagu raya ini, Shidee memberitahu bahawa kesempatan ini menjadi sebuah memori indah dalam karier beliau kerana dapat menyanyikan lagu raya dengan rakan-rakan artis yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

Menurut Azan Scan pula, idea yang dicetuskan oleh Ani Maiyuni asalnya daripada perbualan kosong sesama mereka menjadi kenyataan dengan sekelip mata apabila mereka sepakat untuk menghasilkan projek ini bersama-sama

Tambah Azan Scan, hubungan yang terbina 16 orang artis terlibat bermula sejak mereka menyertai sebuah program realiti menjadi semakin akrab seperti sebuah keluarga besar adalah sebab utama mengapa projek ‘suka-suka’ ini sungguh mudah untuk dijayakan. 


“Pertama kali mendengar idea menghasilkan lagu ini dicadangkan, kami memang sangat teruja. Pengalaman bekerjasama dalam projek ini sangat menyeronokkan dan kami tidak sabar untuk kongsikan dengan peminat-peminat,” kata Suki Low dan Nikki Palikat.

Bagi Fazley Yaakob pula, biarpun masing-masing agak sibuk dengan tuntutan kerja dan ada dalam kalangan mereka yang menetap di luar kawasan namun demi projek ini dan ukhwah yang telah terbina mereka tetap meluangkan masa. 

Menurut Fazley, setiap artis yang terlibat mempunyai tugas yang telah diamanahkan dan masing-masing bertungkus-lumus memberikan yang terbaik demi memastikan kejayaan projek ini.

Penyanyi yang popular dengan bait lagu ‘aku belum mandi’ iaitu Upiak Isil turut teruja apabila dipelawa untuk sama-sama merakamkan lagu ‘Suasana Di Hari Raya Famili Kita’. 

Kesemua proses rakaman lagu dan video dibuat sepenuhnya oleh Upiak Isil di Jakarta sebelum dihantar secara dalam talian ke Malaysia untuk proses suntingan dan master.



Menggelarkan gabungan mereka sebagai ‘Famili Kita’ lagu berdurasi lebih 4 minit itu telah menjalani penggambaran di sebuah homestay berkonsepkan ekopelancongan, di 1858 Semungkis yang terletak di Hulu Langat, Selangor, kesemua 16 orang artis telah berkumpul menyiapkan video muzik yang menyelitkan pelbagai aksi lucu yang pastinya mencuit hati penonton-penonton. 

Dengan berlatarbelakangkan suasana desa, video ini memaparkan kemeriahan persiapan sebuah keluarga yang bakal menyambut hari lebaran. 

Menceritakan pengalaman sewaktu penggambaran video muzik dijalankan, Nico G berkata suasana seakan-akan hari raya benar-benar akan disambut kerana setelah lama mereka tidak bersua antara satu sama lain, akhirnya mereka berkumpul untuk menjayakan penggambaran video muzik ‘Suasana Di Hari Raya Famili Kita’. 

“Bila keluarga besar sudah berkumpul, memang tak kering gusi! Ada sahaja yang cuba sakat-menyakat antara satu sama lain,” ujar Bandi Amuk yang turut bersetuju malah menyifatkan projek ini mungkin menjadi satu platform buat mereka untuk terus bergabung lagi di masa hadapan.



Sebuah majlis pelancaran telah diadakan pada 15 April 2022 lalu bagi mengumumkan kepada peminat-peminat seni tanah air mengenai kelahiran lagu ‘Suasana Di Hari Raya Famili Kita’ selain menayangkan secara rasmi buat pertama kalinya video muzik lagu tersebut. 

Dihadiri rakan-rakan media cetak, media elektronik dan blogger, para tetamu telah disajikan dengan juadah berbuka puasa dan solat berjemaah. Turut diraikan adalah anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari, yang terletak di Kampung Melayu Subang, Shah Alam.

Mula diedarkan sejak 8 April 2022 yang lalu, lagu ‘Suasana Di Hari Raya Famili Kita’ boleh distrim di semua platform muzik digital. - KitaReporters


7
17
0
10
0
You will be interested