Seni & Sukan 21 Nov, 2021

Video| 100 tahun sudah! Ulang tahun Piala Malaysia! Ketahui sejarah panjang bola sepak negara!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Selangor merupakan pasukan paling banyak menjulang kejuaraan dalam penyertaan pertandingan Piala HMS Malaya, Piala Malaya dan Piala Malaysia dengan 35 kejuaraan sejak tahun 1921. - Kredit foto:  AstroAwani.


Piala HMS Malaya (kiri) antara piala terawal yang menjadi rebutan pasukan bola sepak yang terdapat di  negara ini dalam sejarah penganjuran pertandingan bola sepak negara yang menjangkau usia 100 tahun pada edisi 2021 ini. - Kredit foto: Astro Awani.


Piala Malaysia yang mengantikan Piala HMS Malaya pada tahun 1967 kekal menjadi rebutan dan piala idaman semua pasukan yang bertanding dalam kancah bola sepak negara. - Kredit foto:  MalaysiaGazette


DI SEBALIK kegairahan peminat bola sepak tanah air serta penyokong pasukan bertanding untuk melihat pasukan kesayangan mereka mencatat sejarah sebagai pemenang Piala Malaysia edisi ke-100 pada tahun ini (2021), terdapat beberapa fakta menarik mengenai sejarah Piala Malaysia yang perlu mereka ketahui.

Permulaan penganjuran pertandingan bola sepak Piala Malaysia yang merupakan antara pertandingan bola sepak tertua di rantau Asia Tenggara bermula pada tahun 1921 dengan nama Piala HMS Malaya (yang kemudiannya ditukar nama kepada Piala Malaya) mengambil sempena nama kapal perang British HMS Malaya dan pegawai memerintah kapal tersebut ketika itu, Kapten Butler yang telah menyumbangkan piala tersebut bagi satu pertandingan bola sepak melibatkan pasukan negeri-negeri di Tanah Melayu ketika itu.

Singapura yang merupakan salah sebuah negeri Tanah Melayu ketika itu muncul  juara sulung Piala Malaya pada tahun 1921 selepas berjaya menjinakkan Selangor dengan jaringan 2-1 dalam perlawanan akhir yang diadakan di Padang Kelab Selangor yang kini merupakan lokasi Dataran Merdeka di ibu negara Kuala Lumpur.

Perang Dunia Kedua yang tercetus pada awal tahun 40-an turut memberi kesan besar terhadap penganjuran pertandingan tersebut yang menyebabkan penganjuran Piala Malaya ketika itu tidak dapat dijalankan selama enam tahun bermula tahun 1942 hingga tahun 1947.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Piala Malaysia

Allahyarham Syed Alwi SM Alsagoff antara bintang penyerang semasa pertandingan Piala Malaya tahun 1921. - Kredit foto: pinterest.com.


Tan Sri Abdul Ghani Minhat (kiri) bintang bola sepak Malaya yang turut mendapat perhatian peringkat antarabangsa. - Kredit foto: Facebook


Tan Sri Abdul Ghani Minhat antara nama besar yang masih memegang rekod penjaring terbanyak dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang menjaringkan empat gol semasa Selangor membenam Perak 4-1 pada perlawanan akhir Piala Malaya tahun 1961. - Kredit foto:  Goal.com.



Pada tahun 1948 pertandingan Piala Malaya dianjurkan semula dan pasukan Negeri Sembilan muncul kuasa baharu yang memecah monopoli Singapura dan Selangor apabila muncul juara buat pertama kali selepas membenam Selangor dengan jaringan 2-1 dalam perlawanan akhir ulangan selepas terikat 2-2 dalam pertembungan sebelumnya bagi menentukan juara.

Namun untuk empat tahun berikutnya selepas itu Singapura dan Selangor kembali mendominasi pertandingan dengan Singapura muncul tiga kali juara sementara Selangor berjaya mencuri satu kejuaraan sebelum Pulau Pinang berjaya membuktikan kehebatan mereka apabila muncul juara dua tahun berturut-turut pada tahun 1953 dan 1954 menumpaskan Singapura dalam kedua-dua perlawanan akhir.

Pada tahun 1957 buat pertama kalinya pertandingan akhir Piala Malaya dilangsungkan di Stadium Merdeka yang menyaksikan Perak mencatat nama buat kali pertama muncul juara dalam sejarah pertandingan piala tersebut selepas mengecewakan Selangor dengan jaringan 3-2.

Selepas 10 tahun, nama Piala Malaya ditukar kepada Piala Malaysia pada tahun 1967 dan pasukan Perak sekali lagi mencatat sejarah muncul sebagai pasukan pertama menjulang kejuaraan Piala Malaysia yang pertama kali diadakan selepas mengetepikan Singapura dengan jaringan 2-1dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Merdeka.



Allahyarham Mokhtar Dahari merupakan pemain yang mencatatkan rekod sebagai pemain yang paling banyak memenangi kejuaraan Piala Malaysia bersama pasukan yang sama iaitu Selangor dengan 10 kejuaraan sepanjang kerjayanya sebagai pemain bola sepak di antara tahun 1972 hingga 1986. - Ktedit foto: Thestar.com.my


Selepas 73 tahun mewarnai kancah bola sepak negara, Singapura yang merupakan juara edisi tahun 1994 selepas menumpaskan Pahang 4-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, Selangor mengambil keputusan yang mengejutkan peminat dan pemerhati bola sepak negara apabila mengumumkan menarik diri daripada menyertai pertandingan Piala Malaysia bermula tahun 1995.

Selain itu, Brunei yang sering dianggap pasukan kerdil serta pasukan belasahan sebelum ini telah mengejutkan peminat bola sepak negara apabila berjaya menjuarai Piala Malaysia buat pertama kali pada tahun 1999 selepas menumpaskan Serawak dengan jaringan 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Merdeka.

MPPJ FC pula mencatat sejarah sebagai pasukan pertama berstatus kelab yang berjaya muncul juara Piala Malaysia pada tahun  2003 selepas pasukan bimbingan bekas penyerang kebangsaan, Dollah Salleh yang  menyingkirkan Sabah dengan jaringan 3-0  dalam perlawanan akhir di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. 

Fakta menarik lain mengenai Piala Malaysia adalah penyertaan buat kali pertama pasukan berstatus kelab dalam kancah Piala Malaysia dicatatkan oleh pasukan Johor FC pada tahun 2000 sebelum dijenamakan semula kepada Johor Darul Takzim (JDT) yang merupakan juara edisi terakhir setakat ini pada tahun 2019 selepas tiada penganjuran pertandingan tersebut bagi tahun 2020 akibat pendemik Covid-19.


Pasukan Johor Darul Takzim (JDT) merupakan pasukan terakhir setakat ini yang merangkul kejuaraan Piala Malaysia pada tahun 2019 selepas Piala Malaysia tidak dipertandingkan pada musim 2020 kerana pandemik Covid-19. - Kredit foto: AFP


Selain Selangor, pasukan Singapura antara pasukan yang banyak menjulang kejuaraan dengan 24 kali juara termasuk Piala Malaya, Piala HMS Malaya dan Piala Malaysia. 


Selangor pula mengungguli carta senarai pemenang dengan jumlah 33 kejuaraan diikuti Singapura yang mengumpul 24 kejuaraan diikuti Perak dengan koleksi lapan kejuaraan mengatasi Kedah dengan lima kali juara sementara Pulau Pinang dan Pahang masing-masing mengumpul empat kejuaraan.

Pasukan lain yang turut mencatat nama sebagai pemenang pertandingan Piala Malaysia adalah pasukan Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur dengan tiga kejuaraan sementara Kelantan, Johor Darul Takzin FC, Perlis dan Johor FA  pula  berjaya muncul dua kali sebagai juara selain Terengganu, MPPJ FC serta Brunei dengan hanya satu kejuaraan.

Rekod jaringan terbanyak dalam perlawanan dicatat dalam tahun 1933 ketika pertembungan antara Selangor dan Singapura yang menyaksikan 10 gol dijaringkan masing-masing lapan milik Singapura dan dua untuk Selangor dalam perlawanan Piala HMS Malaya yang diadakan di Jalan Rifle Range, untuk Singapura  muncul juara.

Bagi rekod kemenangan terbesar pula dipegang oleh pasukan Selangor yang menumpaskan Terengganu dengan jaringan 18-0 semasa  pertandingan Piala HMS Malaya dalam tahun 1963 sementara Raja Bola Malaya, Tan Sri Abdul Ghani Minhat yang mewakili Selangor terus unggul sebagai penjaring terbanyak perlawanan akhir yang menjaringkan empat gol ketika membantu Selangor menumpaskan Perak 4-1 untuk muncul juara pada tahun 1961.

Ken Worden pula mencatatkan jurulatih yang paling banyak memenangi trofi kejuaraan Piala Malaysia sebagai jurulatih dengan empat kejuaraan iaitu sekali bersama pasukan Singapura pada tahun 1994 sebelum mengulangi tiga kali lagi kejayaan sama dengan pasukan Selangor pada tahun  1995,1996 dan 2002.


Ken Worden merupakan satu-satunya jurulatih yang berjaya merangkul empat kali kejuaraan Pila Malaysia ketika melatih Singapura pada tahun 1996 serta Selangor pada tahun 1996 dan 2002. - Kredit foto: News Straits Times


Legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari atau ‘Super Mokh’ merupakan satu-satunya pemain yang mencatat kemenangan paling banyak dalam pasukan yang sama iaitu Selangor setakat ini dengan 10 kejuaraan sepanjang kerjayanya sebagai pemain bolasepak negara di antara tahun 1972 hingga 1986.

Sempena ulang tahun ke-100 Piala Malaysia, adalah perlu semua pihak termasuk peminat serta mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan sukan nombor satu negara ini menoleh kembali perjalanan panjang sejarah pertandingan Piala Malaysia bagi mengenang, mengiktiraf serta menghargai jasa individu yang pernah berjuang dan berkorban demi memartabatkan maruah bola sepak negara tanpa mengira peranan yang dimainkan mereka sama ada sebagai pemain atau individu dalam kalangan orang kebanyakan yang banyak menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara selama ini.

Akhirnya tanpa mengira pasukan mana pun yang akan menjulang Piala Malaysia edisi ke-100 tahun 2021 ini yang bakal melabuhkan tirai pada 30 November 2021 nanti, penyokong dan peminat bola sepak tanah air perlu menerima hakikat dan kembali kepada natijah bahawa bola sepak merupakan salah satu medium terbaik ke arah usaha mencapai perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini. - KitaReporters

Allahyarham Mokhtar Dahari antara bintang bolasepak negara yang dilahirkan melalui pertandingan Piala Malaysia pada tahun 1970an dan 1980an. - Kredit foto: Ulatbuku.com

11
13
0
10
0
You will be interested