Seni & Sukan 25 Mar, 2022

Alumni bantu rakan mangsa banjir! Bencana alam rapatkan kembali ukhuwah! Bekas pelajar SMKAJ!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Alumni SMKAJ84 yang mengunjungi beberapa rakan sekolah yang menjadi mangsa banjir di Hulu Langat pada pertengahan Disember 2021.


WALAUPUN agak sukar untuk berjumpa akibat sibuk dengan tugas selepas meninggalkan alam persekolahan, namun kejadian banjir yang besar pada pertengahan Disember 2021 telah merapatkan semula persahabatan alumni tahun 1980 hingga 1984 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil (SMKAJ), Hulu Langat, Selangor.

Selepas kejadian banjir itu lebih 20 alumni terbabit bergabung tenaga untuk mengesan dan membantu rakan sekelas atau sekolah amnya yang terjejas teruk digenangi banjir bagi menghulurkan bantuan terutama dalam kerja pembersihan dan pemulihan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan alumni

Sebahagian bekas pelajar SMKAJ, Hulu Langat, Selangor yang menghadiri Majlis Ukhuwah Silaturahim Alumni SMKAJ84, pada 21 Mac 2022. 


Ketua penyelaras misi berkenaan, Azhar Yop, berkata mereka berpecah kepada beberapa kumpulan kecil pada ketika itu untuk membantu keluarga rakan yang berjaya dikesan sekitar beberapa kampung di Hulu Langat seperti Nanding, Dusun Tua, Sungai Lui dan sebagainya.

Menurutnya, pada peringkat awal memang agak sukar untuk mengenali rakan satu kelas atau sekolah apabila berpisah lebih 10 tahun tetapi selepas berjumpa dan menceritakan zaman persekolahan dahulu barulah masing-masing dapat mengecam wajah.

“Dalam suasana sedih melihat rumah rakan dan harta benda rosak teruk dalam kejadian banjir itu menyebabkan kami terpaksa berulang kali datang bagi membantu dan bertanya khabar untuk menghulurkan bantuan termasuk barangan makanan keperluan asas. 


Antara barangan keperluan asas diagihkan alumni SMKAJ84 ke rumah rakan yang digenangi banjir di Hulu Langat.


“Misi itu juga berjaya mengeratkan semula hubungan ukhuwah dan dizahirkan kesyukurannya dalam Majlis Ukhuwah Silaturahim Alumni SMKAJ84 yang diadakan di sebuah restoran di Hulu Langat pada 21 Mac 2022,” katanya.  

Azhar berkata, majlis itu juga sebagai menghargai dan meraikan alumni yang menjadi sukarelawan SMKAJ84 selepas bertungkus lumus bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain bagi membantu mangsa banjir termasuk keluarga rakan dari satu sekolah.

Jelasnya, majlis ukhuwah yang diadakan setahun sekali itu agak menyentuh jiwa kali ini apabila rakan yang menjadi mangsa banjir menceritakan detik-detik bencana berkenaan melanda dan kesusahan dialami penduduk terbabit selama beberapa hari khusus mendapatkan barangan keperluan asas.

Menurutnya, kesedihan rakan yang menjadi mangsa banjir itu terubat apabila melihat rakan dari satu sekolah datang membantu bersama-sama NGO bagi melakukan kerja pembersihan seperti membuang sampah sarap dan mendapan lumpur.


Antara alumni wanita SMKAJ84 yang menghadiri majlis ukhuwah berkenaan.


Tambah beliau, bersesuaian dengan kedatangan bulan Ramadan pertemuan itu turut diisikan dengan tahlil arwah serta doa selamat manakala seorang alumni Abdul Wahid Dahlan mengambil kesempatan menyambut hari lahir dalam majlis berkenaan.

Azhar berkata, walaupun majlis itu dihadiri 22 alumni namun tetap meriah apabila banyak cerita alam persekolahan dikongsi kerana rata-rata kami hanyalah budak kampung bagaimanapun ada antaranya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Kami bersetuju untuk mengadakan sambutan alumni ke 55 hujung tahun ini dan akan menviralkan majlis berkenaan ke dalam media sosial supaya lebih ramai alumni SMKAJ dapat menghadirinya,” kata beliau. - KitaReporters


Norlida Nasar menyampaikan cenderamata kepada Abdul Wahid.

38
15
0
8
0
You will be interested