Seni & Sukan 22 Jul, 2025

Servis terbang dah tak batal? Istaf putuskan 26 Julai! Mulai Sukan SEA Thailand, Disember 2025?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: [email protected]

Share this

ABDUL Halim Kader dan Boonchai Lorhpipat (depan, dua dari kanan dan kanan) menerangkan mengenai cadangan pemansuhan pembatalan servis tekong 'terbang' kepada sembilan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Malaysia yang menghadiri Bengkel Pengadil Istaf pada 21 Julai 2025. - Kredit foto: Istaf


BOLEHKAH tekong melompat atau ‘terbang’ ketika membuat servis (sepak mula) dalam kawasan bulatan di tengah gelanggang khususnya bagi acara regu, tidak lama lagi?

Kedua-dua belah kakinya tidak akan lagi dianggap mengapung atau di awang-awangan sehingga sering ditangkap batal (fault) menurut Fasal 11.1.4 Undang-undang Permainan Sepak Takraw Istaf seperti sekarang.

Apakah Sukan SEA Ke-33 di Nakhon Pathom, Thailand (sepak takraw sahaja) pada 9 hingga 20 Disember 2025 ini akan menjadi pertandingan antarabangsa pertama yang menyaksikannya?

Inilah yang bakal dimuktamadkan lebih 50 perwakilan dari 18 negara selaku Ahli Majlis dan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di sebuah hotel di Hatyai, Songkhla, Thailand tanggal 26 Julai 2025 ini.

Mereka akan bermesyuarat pada pagi dan petang di situ bersempena Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand (King’s Cup) Ke-38 di sebuah pusat beli-belah berdekatan yang berlangsung dari 22 hingga 27 Julai 2025.


ABDUL Halim Kader (depan, tengah) dan Timbalan Presiden Istaf, Fariq Halim (dua dari kanan) bergambar dengan para pengadil dan ITO. - Kredit foto: Istaf 


Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader berkata, surat panggilan dan pemakluman mesyuarat berkenaan sudah pun diedarkan kepada semua Ahli Majlis dan Exco Istaf yang berkenaan pada 11 Julai 2025 lalu. 

“Istaf telah pun mendapat banyak maklum balas badan-badan ahli gabungannya berhubung saranan memansuhkan pembatalan servis tekong yang melompat atau mengapungkan kakinya keluar dari bulatan ketika sebelah lagi kakinya membuat sepak mula atau servis.

“Jadi kami buka peluang yang adil dan telus kepada mereka membincangkannya dalam mesyuarat berkenaan.

“Jika mesyuarat sebulat suara bersetuju memansuhkannya, bulatan nanti hanya berperanan sebagai penanda kawasan untuk tekong memijak kakinya dan membuat servis.  

“Kaki tekong yang tidak menyepak yang sering dibatalkan kerana mengangkat atau melompat pula, tidak akan lagi ditangkap batal hanya kerana kemungkinan gerak-gerinya terpaksa diubah suai akibat kesilapan lontaran bola oleh apit kanan atau kiri,” katanya. 


SYAHIR Rosdi, tekong Malaysia yang dalam gambar ini menggelincirkan kakinya dari kawasan bulatan di tengah gelanggang. - Kredit foto: ST


TEKONG kidal handalan Thailand, Siriwat Sakha dalam gambar ini menjengketkan kaki dalam bulatan. - Kredit foto: ST 


Halim, 74, menjelaskannya ketika berucap ketika Bengkel Pengadil Istaf dan Sistem Semakan Video di sebuah hotel di Hatyai pada 21 Julai 2025 yang turut dihadiri Pemangku Presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat.  

“Kami sedaya upaya mahu mengelak pemain terus menjadi mangsa keadaan ini. Saranan pemansuhan ini setelah mengambil kira faktor berikut: 


TIADA lagi pembatalan atau semakan video (video challenge) buat servis tekong yang didakwa terbang atau melompat dari bulatan gelanggang. - Kredit foto: ST


  1. Seorang tekong akan sentiasa memasang matlamat untuk menyepak bola, membuat sepak mula (servis) dan merejam bola dalam sebarang cara;
  2. Dia akan sentiasa mempunyai satu cara menyepak yang kerap mendorong tekanan kepada cara kakinya yang tidak menyepak yang mesti diletakkan dalam bulatan servis;
  3. Dia juga akan sentiasa terdedah melakukan kesilapan atau sama ada mengangkat kakinya yang tidak menyepak atau merejam bola sambil kakinya yang tidak menyepak, sudah pun terkeluar dari bulatan servis;
  4. Dia akan sentiasa diperhati lawan yang kerap menuduh pasukannya melakukan kesalahan berkenaan dengan sama ada mengangkat kakinya atau telah menggelincirkannya keluar bulatan. 



Tegasnya yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf): “Sampai bila dunia sepak takraw hendak biarkannya berterusan dengan pengadil pun sering dipersalah oleh pegawai pasukan?,” katanya yang menjadi Setiausaha Agung Istaf sejak 1996 dan menerajui Astaf mulai 2004. - KitaReporters

 

PARA pengadil dan ITO sempena King's Cup Ke-38 bergambar kenangan dengan Abdul Halim Kader (barisan tengah, tujuh dari kanan) selepas Bengkel Pengadil Istaf di Hatyai. - Kredit foto: Istaf 

11
17
0
10
0
You will be interested