Seni & Sukan 13 Nov, 2024

Kap sulung Zhafri? Lawan Laos atau India? Fazrul, Fergus ganti Mukhairi, Morales! Natxo juga cedera!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

ZHAFRI Yahya (8) hanya memanaskan bangku simpanan apabila Harimau Malaya menewaskan Filipina 2-1 dan Lebanon 1-0 untuk menjuarai Pestabola Merdeka Ke-43. - Kredit foto: FAM 


SUDAH acap kali Zhafri Yahya dipanggil dan terpilih dalam Piala Raja Thailand Ke-48 pada 22 dan 25 September 2023, Kelayakan Piala Dunia 2026/2027 menentang Kyrgyzstan (6 Jun 2024) dan Pestabola Merdeka Ke-43 (4 dan 8 September 2024).

Yang terbaharu perantara Kuala Lumpur City FC ini tersenarai antara 26 pemain bagi siri perlawanan antarabangsa tahap 1 menentang Laos dan India pada 14 dan 18 November 2024 di Bangkok dan Hyderabad.

Itu pun Zhafri, 30, hanya melolosi senarai bersedia setelah Mukhairi Ajmal Mahadi dan Natxo Insa terpaksa dilepaskan dari kem latihan pusat Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor kerana kecederaan.

Namun apakah penantiannya untuk meraih kap sulung antarabangsa dan bukan lagi sekadar pemanas bangku simpanan, berakhir juga di Stadium Lembaga Pelabuhan Thailand (PAT), Bangkok atau Stadium Gachibowli, Hyderabad?

Hanya ketua jurulatih negara, Pau Marti Vicente yang berhak memastikannya menurut percaturan permainan pasukan sambil mungkin mendapat saranan barisan penolongnya terutama rakan senegara Sepanyolnya, Juan Torres Garrido dan jurulatih tempatan, E. Elavarasan.

“Zhafri seorang pemain yang sudah terlibat sekian lama dengan kami. Dia tidak berpeluang bermain, saya amat sedih dengannya (tetapi) saya beritahu dia banyak kali, dia seorang pemain yang mana-mana jurulatih mahukannya dalam pasukan malah dia sentiasa sanggup membantu,” kata Pau, dipetik daripada video temu bual media, 10 November 2024.


FAZRUL Amir Zaman (dua dari kiri) menyertai sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM bersama-sama Safawi Rasid, Syafiq Ahmad, Stuart Wilkin dan Azam Azmi Murad. - Kredit foto: FAM


Dia dan pemain Kelantan Darul Naim FC, Fazrul Amir Zaman serta penyerang Chonburi FC Thailand, Fergus Tierney menjadi anggota baharu kem latihan Harimau Malaya ke Jelajah Bangkok dan Hyderabad termasuk ekoran kecederaan yang menimpa penyerang naturalisasi kelahiran Colombia, Romel Morales. 

“Alhamdulillah akhirnya dapat juga saya mewakili skuad kebangsaan, Perasaan itu memang gembiralah. Bagi saya, buat yang terbaik dan sentiasa bersedia kalau ada peluang yang jurulatih berikan.

“Semestinya saya hendak kekal lama dalam skuad kebangsaan (tetapi) perlu bekerja keras dan bersaing untuk mendapat tempat. 

"Susah untuk mencapainya tetapi usaha kena gandakan. Satu pengalaman baharu apabila menyertai kem pasukan negara,” kata Fazrul, 24, yang prestasinya dalam Liga Malaysia sentiasa dipantau barisan jurulatih negara sejak 2022.    

“Saya peminat utama Cristiano Ronaldo (bintang Portugal) dan Arif Aiman Hanapi tetapi posisi kegemaran saya lebih kepada sayap kiri. Insya-Allah (mengikut jejak Faisal Halim atau Akhyar Rashid),” katanya.


AKSI Fergus Tierney (15) ketika berdepan Uzbekistan dalam Piala Asia Bawah 23 Tahun di Qatar, April 2024. - Kredit foto: FAM


Sementara itu, penyertaan Fergus, 21, juga dipercayai atas saranan Torres yang sekian lama mengesan bakat besar dan berbisanya di depan gawang lawan ketika mengendalikan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara sejak 2023. 

Penyerang berdarah warisan Malaysia-Scotland ini akan terus menyertai Harimau Malaya sebaik sahaja mereka mendarat di Bangkok pada 12 November 2024 memandangkan dia kini berpangkalan di Chonburi, 68 kilometer dari timur ibu kota Thailand itu.

Kata Pau, Mukhairi, 23, disahkan tercedera selepas pemeriksaan doktor ekoran aksinya dalam Liga Juara AFC (ACL) Dua 2024/2025 bersama Selangor FC menentang Jeonbuk Hyundai Motors pada 7 November 2024.

Natxo, 38, perantara Johor Darul Ta'zim (JDT) FC pula hanya mengutus laporan perubatan mengenai kecederaannya ketika selepas ACL Elit 2024/2025 menentang Ulsan Hyundai pada 5 November 2024 namun diakui Pau yang telah berhubung dengannya. 

Malaysia kini menghuni ranking ke-133 dunia manakala Laos, ke-187 dan India, ke-125. - KitaReporters


ROMEL Morales, antara tiga pemain terbaharu negara yang disahkan tercedera dan terlepas menentang Laos dan India. - Kredit foto: FAM


TIM MALAYSIA MENENTANG LAOS DAN INDIA

Penjaga gol: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Johor Darul Ta’zim FC), Azri Ghani (Kuala Lumpur City FC), Haziq Nadzli (Perak FC).

Benteng: Matthew Davies, Feroz Baharudin (Johor Darul Ta’zim FC), Safwan Mazlan, Azam Azmi Murad, Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC), Harith Haiqal Adam Afkar (Selangor FC), Dominic Tan, Daniel Sang Ting (Sabah FC), Adib Ra’op (Penang FC), Dion Cools (Buriram United, Thailand).

Perantara: Zhafri Yahya, Paulo Josue (Kuala Lumpur City FC), Syamer Kutty Abba (Penang FC), Nooa Hamzah Laine (Selangor FC), Stuart Wilkin (Sabah FC).

Sayap: Arif Aiman Hanapi (Johor Darul Ta’zim FC), Safawi Rasid, Akhyar Rashid (Terengganu FC), Fazrul Amir Zaman (Kelantan Darul Naim FC).

Penyerang: Haqimi Azim Rosli (Kuala Lumpur City FC), Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman FC), Sergio Aguero (Sri Pahang FC), Fergus Tierney (Chonburi FC).

 

 

14
9
0
10
0
You will be interested