Seni & Sukan 24 Jul, 2024

Sepak takraw Piala Raja Thailand hilang seri? Indonesia, Filipina tak datang! Laos, Kemboja sah hadir!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

AKSI hebat apit kanan Indonesia, Jelki Ladada (kanan) mengadang perejam Malaysia, Noraizat Nordin seperti ketika Piala Dunia Istaf di Kuala Lumpur ini, tidak dapat diulangi pada King's Cup di Korat. - Kredit foto: ST


KEJOHANAN Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand Ke-37 atau King’s Cup di Korat dari 1 hingga 8 September 2024 kehilangan sedikit daya saing dan penyeri apabila Indonesia dan Filipina mengumumkan tidak dapat menyertainya.

Kedua-dua negara ini menjejak separuh akhir sebelum disekat dua kuasa utama, Malaysia dan Thailand dalam acara regu berpasukan dan antara regu Piala Dunia Istaf di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 21 dan 25 Mei 2024.

Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Abdul Halim Kader memberitahu, Persatuan Sepak Takraw Indonesia (PSTI) memberikan alasan perlu bertumpu kepada Pekan Olahraga Nasional (PON) Ke-21 di Aceh dan Medan, Sumatera dari 8 hingga 20 September 2024.

“Namun tiada alasan dinyatakan oleh Persatuan Sepak Takraw Filipina (PSTA) setelah tarikh pengesahan penyertaan acara dan bilangan pemain berakhir pada 14 Julai 2024,” katanya yang juga Penyelaras Teknikal King’s Cup dan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).



King’s Cup (Piala Raja Thailand) yang diasaskan pada 1984, mendapat status dan pengiktirafan Kejohanan Dunia oleh Istaf mulai 1992.

Sebaliknya kata Halim, 73, Laos dan Kemboja yang tidak beraksi pada Piala Dunia Istaf 2024 menjadi antara 12 negara yang akan menyertai King’s Cup kedua-duanya dalam kategori lelaki dan wanita.

Sepuluh lagi negara peserta Divisyen Perdana ini ialah tuan rumah, Malaysia, Vietnam, Korea Selatan, Myanmar, Brunei, India, Jepun, Singapura dan China, jelasnya.


FILIPINA (hitam) tidak memberikan alasan mengapa tidak menyertai King's Cup sehingga tarikh pengesahan ditutup 14 Julai 2024. - Kredit foto: ST


Majlis undian King’s Cup dijadualkan pada Ogos 2024 di Bangkok selepas Sukan Olimpik Paris memandangkan Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) penganjurnya, Thana Chaiprasit akan berada pada temasya ke-33 dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024 itu.    

“King’s Cup di Korat kali ini bakal mencatat sejarah penyertaan terbesar dengan penampilan 211 pemain lelaki dan 167 pemain wanita dalam Divisyen Perdana.

“Sebanyak 85 pemain lelaki dan 47 pemain wanita bagi Divisyen Satu dan 45 pemain lelaki Divisyen Dua atau jumlah besarnya, 341 atlet lelaki dan 214 atlet wanita,” katanya Halim lagi.


ABDUL Halim Kader (tiga dari kanan) ketika bertemu Thana Chaiprasit (dua dari kiri) di Bangkok pada 14 Jun 2024. 


Negara-negara peserta Divisyen Satu kata Halim diketuai juaranya ketika Piala Dunia Istaf, Iran selain New Zealand, Pakistan, Sri Lanka, Switzerland, Taiwan, Australia, Bangladesh dan Oman, manakala Divisyen Dua dibarisi Iraq, Afghanistan, Argentina, Itali, Timor-Leste dan Poland.  


INDONESIA, pemenang tempat ketiga bersama regu berpasukan Piala Dunia Istaf 2024, masih dianggap antara lima handalan sekiranya menyertai King's Cup. - Kredit foto: ST 


Selain regu berpasukan selaku kemuncak King’s Cup, lima acara yang turut dipertandingkan ialah antara regu, kuadran (berempat), regu campuran dan kuadran campuran serta gelung.

Setiap negara peserta Divisyen Perdana diwajibkan menyertai regu berpasukan namun mereka hanya boleh memilih dua lagi acara daripada Kumpulan A dan B serta pilihan acara gelung (Kumpulan C).

Larangan itu bererti Si Gajah Putih tidak boleh menyertai semua acara kategori lelaki dan wanita, sebaliknya kena memilih sama ada antara regu atau kuadran (berempat) dalam Kumpulan A dan satu lagi antara regu campuran atau kuadran campuran dalam Kumpulan B.

Thailand menjulang Piala Dunia Istaf bagi regu berpasukan tanggal 26 Mei 2024, manakala Malaysia menguasai antara regu dan beregu, empat hari sebelumnya. - KitaReporters


BARISAN juara regu berpasukan Piala Dunia Istaf 2024 di Kuala Lumpur, Thailand dengan ketua dan penolong jurulatih baharu mereka, Supot Tumpracha dan Prawet Intra (belakang, empat dan tiga dari kanan). - Kredit foto: ST

17
11
0
18
0
You will be interested