Seni & Sukan 15 Oct, 2022

Video| Dulu Casablanca, kini Jika! Nuha, Naufal mahu kukuhkan kedudukan! Punyai aura dan keserasian!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this


REZEKI setiap insan berbeza dan tiada siapa tahu apa yang bakal terjadi pada masa depan selain Allah. Begitu juga dengan rezeki Nuha Bahrin dan Naufal Azrin yang sebelum ini muncul dengan lagu Casablanca.

Lagu ciptaan Daqmie itu bukan saja popular di tanah air, malah Casablanca yang didendangkan dalam versi bahasa Melayu dan Arab itu turut mendapat sambutan hangat di Indonesia.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan berkaitan 


Selepas Casablanca, Nuha dan Naufal meneruskan perjuangan dengan lagu Jika pula.


Menggunakan ruang yang ada, Pengarah Beegood Music, Amir Arshad mengambil inisiatif untuk mengukuhkan kedudukan pasangan duet itu di negara seberang juga.

Menurut Amir, bagi melebarkan pengaruh Nuha dan Naufal di sana, pihaknya memilih lagu Jika untuk dinyanyikan semula oleh pasangan duet itu dengan gaya tersendiri.

Katanya, lagu Jika dipilih untuk projek tersebut kerana ia lagu malar segar yang terus menjadi siulan biarpun sudah berubah zaman. 

Nuha dan Naufal sudah mempunyai aura dan keserasian yang baik selepas lagu Casablanca selain memiliki peminat yang ramai di Indonesia. Di sana, mereka sudah ada aura tersendiri sejak lagu Casablanca lagi.


Nama Nuha dan Naufal sudah dikenali peminat Indonesia.


“Jadi, untuk menyemarakkan lagi aura mereka di Malaysia dan Indonesia, sebab itu kita gabungkan mereka sekali lagi. Apatah lagi, lagu Jika ini sangat popular di Indonesia, sedikit sebanyak akan memberi peluang yang lebih besar kepada mereka. 

“Walaupun usia lagu ini melebihi usia mereka tapi ia tetap segar dan disukai sehingga kini. Ia sentiasa dinyanyikan oleh semua lapisan peringkat umur dan juga cara untuk kita menceburi pasaran muzik Indonesia.  

“Malah, penyanyi asal lagu Jika iaitu Melly Goeslaw juga menyokong penuh projek ini. Selepas perbincangan dan persetujuan kedua-dua belah pihak, maka terjadilah kerjasama antara Beegood Music (Malaysia) dan Alfa Records (Indonesia),” katanya.

Menurut Amir, Melly terlebih dahulu maklum berkenaan kerjasama dan projek yang dijalankan ini selain memuji hasil rakaman versi baharu Jika.



“Melly sudah dimaklumkan lebih awal mengenai projek ini sebab kita nak mendapatkan ‘rights’ dan izin daripada pihak Melly. Dia juga sudah mendengar versi ini sebelum ia dilancarkan lagi. 

“Alhamdulillah, Melly sangat suka dan memuji versi ini. Malah, dia juga sudi membantu untuk mempromosikan lagu ini dalam Instagram miliknya,” katanya.

Selain Jika, kata Amir, Nuha dan Naufal turut merakam tiga buah lagu lain bagi tujuan pasaran di kedua-dua negara.

“Sebelum lagu Jika, terlebih dahulu dilancarkan lagu Ya Maulana duet bersama Nissa Sabyan bersempena sambutan Maulidur Rasul tempoh hari. Lagu ini pula dinyanyikan dalam tiga bahasa iaitu English, Arab dan Indonesia. 

“Selepas ini, ada lagi dua lagu yang belum dilancarkan iaitu Kun Anta feat Nissa Sabyan dan Kau Ditakdirkan Untukku feat Syakir Daulay. Kesemua lagu ini dirakamkan sepanjang September lalu,” katanya.


Mereka turut berduet dengan Nissa Sabyan untuk lagu Ya Maulana yang dinyanyikan dalam tiga bahasa.


Dalam pada itu, penyanyi asal lagu, Melly Goeslaw memuji hasil versi baharu lagu Jika.

“Terima kasih kerana memberikan sentuhan dan versi yang hebat untuk lagu saya. Saya berharap versi baharu Jika ini berjaya mencipta rekod dalam sejarah industri muzik.

"Masya-Allah, biarpun usia lagu ini sudah 23 tahun, ia diberikan nafas baru lagi oleh Nuha dan Naufal dan hasilnya indah sekali. 

"Terima kasih buat semua peminat dan pengkarya di Malaysia yang mengagumi lagu-lagu saya. Ini membuatkan saya tidak sabar untuk beraksi di Malaysia kelak, insya-Allah,” katanya.


Naufal bersama Syakir Daulay yang menjadi rakan duet mereka untuk lagu Kau Ditakdirkan Untukku.


Bagi Nuha, 22, atau nama sebenarnya Nuha Sakina Saiful Bahrin berkata, sokongan diberikan peminat kedua-dua negara adalah peluang terbaik buat dirinya untuk terus melangkah jauh dalam bidang nyanyian.

“Sebagai seorang artis baharu dalam industri muzik ini dan mendapat sokongan daripada orang Malaysia dan Indonesia, bagi saya ia satu peluang serta rezeki besar yang Allah bagi, alhamdulillah. 

“Saya sangat bersyukur dengan apa yang Allah bagi buat saya dan Naufal ketika ini. Memang tak sangka tapi ini adalah perkara yang saya impikan dan alhamdulillah dapat capai. 

"Sokongan daripada peminat Indonesia sama saja seperti mana peminat tanah air. Itu adalah perkara sukar untuk dapat. Dapat sampai ke tahap ini saya sangat bersyukur,” katanya.

Menurut Nuha, dipilih untuk merakamkan lagu ciptaan dan nyanyian Melly Goeslaw juga satu impian yang tercapai.


Lagu Jika sudah berusia 23 tahun, sama usia dengan Naufal sedangkan Nuha baru 22 tahun.


"Ini adalah impian saya yang dapat dipenuhi sebab ia Melly Goeslaw. Nama dia sangat besar dalam industri muzik Indonesia. Malah di Malaysia dia juga sangat dikenali. Saya membesar dengan mendengar lagu dia. 

"Jadi, kadang-kadang saya macam tak percaya. Dia juga sangat menyokong saya dan Naufal untuk lagu ini. Saya sangat menghormatinya sebab dia seorang legenda yang sangat merendah diri dan sentiasa memberikan sokongan. 

“Kami mendapat sokongan dia juga untuk lagu Jika ini dan saya rasa ini adalah rezeki besar yang Allah bagi. Saya masih lagi rasa tak percaya, ia macam mimpi. Keluarga saya jugalah yang buatkan saya kenal dengan Melly Goeslaw ni. Pendek kata, memang mimpi menjadi kenyataan. Saya sangat gembira bila dia pun suka dengan versi lagu ini,” katanya.

Sementara itu, Naufal, 23, berkata, peluang merakamkan lagu Jika di Indonesia adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

“Pengalaman saya semasa merakamkan lagu Jika ini agak letih sikit sebab pada hari itu kami ada tiga atau empat persembahan di saluran televisyen Indonesia. Selepas itu, kami terus pergi ke studio rakaman. 

“Habis sahaja rakaman dalam jam tiga ke empat pagi, jadi memang penat dan mencabar. Tapi, alhamdulillah berkat kesabaran kami dan yang lain, prosesnya berjalan dengan lancar,” katanya. - KitaReporters


Gandingan Naufal dan Nuha menerusi lagu Casablanca membawa tuah kepada mereka.

16
17
0
9
0
You will be interested