PENYANYI Zamani Ibrahim atau Zamani Slam, 51, masih melakukan persembahan di seluruh tanah air sementara menunggu pembedahan membetulkan tulang belakangnya yang bengkok pada awal November 2022 nanti.
Bagaimanapun keadaan kesihatan Zamani semakin membimbangkan walaupun suaranya tetap gemersik.
Persembahan Zamani Slam di Pesta Orkid, Dataran Rompin, Pahang pada 10 Oktober 2022 meruntun jiwa ramai peminatnya.
Lagi cerita-cerita memilukan berkaitan penyanyi Zamani Slam
Dalam sebuah video dimuat naik oleh seorang peminatnya dalam TikTok, kelihatan Zamani, yang baru sahaja selesai membuat persembahan dilihat sukar untuk turun dari pentas sehingga terpaksa didukung.
“Sedih lihat keadaan Zamani sewaktu habis show malam tadi di Dataran Rompin.
“Kebetulan saya ada di situ dan sempatlah rakam. Nak ajak selfie tak sampai hati tengok keadaan dia. Semoga diangkat segala kesakitan dan diberi kesembuhan kepada Zamani,” ujar pemilik video, @azuraudanggalah.
Rata-rata pengguna TikTok lain berasa simpati dengan keadaan penyanyi ini lebih-lebih lagi melihat bentuk badannya yang semakin melengkung ke bahagian kanan sehingga menyukarkan pergerakan.
Biarpun sukar untuk turun sendiri dari pentas dan jelas terlihat wajah kepenatan serta menahan sakit, Zamani tetap tersenyum kepada peminat yang mengerumuninya di lokasi.
Kesungguhan penyanyi itu menuai perhatian peminat kerana dia masih tetap kuat bekerja meskipun dalam keadaan fizikal yang membimbangkan.
Sebelum ini personaliti terkenal, Datuk Aznil Nawawi menjalankan usaha mengumpul dana lebih RM120 ribu untuk pembedahan membetulkan tulang belakangnya serta mewujudkan tabung untuk kelangsung hidup selepas pembedahan. - KitaReporters