Seni & Sukan 18 Sep, 2023

Piala Malaysia 2023: Tugas getir nanti KL City pada suku akhir kedua! Menang tipis atasi Sri Pahang!

@amirul
Pernah berkhidmat sebagai wartawan. Meminati bidang pertulisan dan akan terus menulis selagi mana ada peluang dan ruang.

Share this


Jaringan tunggal oleh Romel Morales menerusi sepakan penalti pada minit ke-72 memberi sedikit kelebihan buat Kuala Lumpur (KL) City untuk bertemu Sri Pahang sekali lagi pada suku akhir kedua 24 September 2023 nanti. 

Meskipun mencatat kemenangan pada suku akhir pertama di Stadium Cheras pada 17 September 2023, KL City perlu waspada kebangkitan anak buah Fandi Ahmad di Stadium Darul Makmur kerana satu jaringan dianggap masih belum selamat. 

Bermain di halaman sendiri sepatutnya menjadi kelebihan buat pasukan itu untuk mencari bekalan gol lebih selesa kerana ujian lebih getir untuk bermain di tempat lawan nanti. 

KL City yang dilihat lebih dominan sepanjang 90 minit permainan mempunyai deretan peluang tetapi gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan selain di bantu kecemerlangan penjaga gol Sri Pahang. 

Pasukan pelawat hampir mendapatkan gol penyamaan selepas tuan rumah kehilangan seorang pemain pertahanan, Kenny Pallray akibat menerima dua kad kuning namun bernasib baik beberapa percubaan bahaya mereka berjaya disekat. 

Untuk skuad kelab dari Pahang ini, perjuangan mereka dalam Piala Malaysia masih belum tamat dan sudah pasti ingin bangkit untuk buru slot ke separuh akhir apatah lagi bermain di halaman sendiri. 

Akan tetapi Sri Pahang harus waspada kerana pada pertemuan pusingan pertama Liga Super tahun ini (2023) di Stadium Darul Makmur, KL City berjaya mendapatkan kemenangan di hadapan penyokong mereka sendiri. 


Biarpun bermain 10 orang pada hujung permainan, mereka tetap berjaya bertahan untuk mencatat kemenangan 1-0 pada suku akhir pertama. - Kredit foto: Facebook MFL 


Saingan kalah mati cukup sinonim dengan pasukan The City Boys kerana acap kali berjaya lolos ke peringkat tertinggi saingan sesebuah kejohanan itu. 

Tekanan ini akan lebih terarah kepada jurulatih baharu mereka KL City, Nenad Bacina untuk memastikan pasukannya meneruskan perjuangan. 

Sementara untuk Fandi Ahmad, beliau sudah pasti ingin mencari ramuan terbaik untuk menyekat kemaraan KL City nanti. - KitaReporters

13
12
0
10
0
You will be interested