MEGAT Danish Shahriman Zaharudin dalam misi mengintai kerusi No. 1 FAM dan PHKL selepas mempertahan jawatan Presiden MPM, 14 Disember 2024 lalu.
DATUK Seri Megat Danish Shahriman Zaharudin sedia merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam Kongres pemilihan 15 Februari 2024 ini, sekali gus bakal menjadikannya persaingan empat penjuru.
Presiden Majlis
Paralimpik Malaysia (MPM) ini melihat kehadirannya sebagai teraju baharu FAM nanti
mampu mengetengahkan tiga cabang bola sepak para iaitu untuk palsi serebrum (cerebral palsy), orang buta dan cacat anggota.
“Sehari sebelum
pencalonan (pemilihan Jawatankuasa Eksekutif - Exco FAM) ditutup (16 Januari
2024), saya akan hantar. Saya tengok ramai juga yang hendak masuk (bertanding),
bagus juga. Tiga cabang bola sepak para
ini perlu platform besar untuk naikkannya.
“Tentulah jawatan Presiden,” sambungnya ketika mengulas pemilihan yang kini dikatakan mahu turut disaingi Naib Presiden FAM, Datuk Joehari Ayub; bekas Ketua Jabatan Pemasaran dan Tanggungjawab Sosial FAM, Sayf Ismail; dan mantan Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah itu.
Kata Shahriman, perkara pertama yang ingin dilakukannya jika diberi peluang dan mandat untuk menerajui FAM oleh 18 ahli gabungan yang layak mengundi ialah akaun, liabiliti dan pengendalian kewangan persatuan.
“Saya rela tidak mendapat gaji sesen pun jika jadi Presiden FAM. Di MPM saya sudah lima tahun begitu tetapi badan itu tetap berkelangsungan,” katanya yang turut pernah menerajui Persatuan Kanu Malaysia (Masca) dan Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL).
BARISAN Jawatankuasa Eksekutif FAM 2021-2025 yang penggal khidmat mereka bakal berakhir pada 15 Februari 2025 ini dalam Kongres pemilihan di sebuah hotel di Subang, Selangor dengan Presidennya, Tan Sri Hamidin Amin (kanan) mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya. - Kredit foto: FAM
Shahriman dalam sidang media khas di Kelab Golf dan Desa Kuala Lumpur, Bukit Kiara, Kuala Lumpur itu turut mengulas laporan polis oleh Datuk Ahmad Shapawi Ismail pada 2 Januari 2025 yang mengaitkan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu dengan tuduhan rasuah menjelang pemilihan pucuk pimpinan MPM pada 14 Disember 2024 lalu.
Shahriman dalam
laporannya kepada SPRM mendakwa Shapawi dan Pengarah Bahagian Paralimpik MSN,
Sofian Hamzah memberi rasuah kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mencalonkan
bekas teraju MSN itu bagi jawatan Presiden MPM penggal 2024-2028.
“Adakah dibuat
penyelidikan terdahulu mengenai aduan saya kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia – sehari sebelum pemilihan MPM).
“Timbulnya
(laporan polis itu) seolah-olah menampakkan (Shapawi) tidak tahu inti pati
sebenar dan hanya membuat tindakan yang memalukan diri.
“Aduan saya
kepada SPRM amat jelas. Sekiranya mereka ingin membawa kes ini ke Mahkamah
Tinggi, saya sedia tampil ke mana-mana mahkamah pun. Sampai mahkamah Switzerland
(Mahkamah Timbang Tara Sukan – CAS) pun saya sudah pergi,” katanya.
Shahriman bertegas beliau menunggu tuntutan saman yang bakal dihantar Shapawi dengan menambah, “kamu hantarlah, saya tunggu. Terserah kamu, kita selesai di mahkamahlah dan kita tunggu ‘Perang Dunia Ketiga atau Keempat’, tiada masalah.”
AHMAD SHAPAWI ISMAIL. - Kredit foto: MSN
Mengenai aduan wakil persatuan sebuah sukan para, Datuk Michael Wong Meng San yang mempertikai mesyuarat agung tahunan (AGM) pemilihan MPM di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu yang tidak mengikut perlembagaan, katanya, “keabsahannya ada kerana segala proses kami mengikut tatacara dan semua keputusan dibuat ahli gabungan, tiada isu.
“Semua orang tidak rasa tertekan dan diugut, tiada masalah. Demokrasi ada di sana, sesiapa boleh bertanding.
“Tiada masalah dengan pencalonan, prosesnya ada untuk menilai kelayakan calon yang diterima dengan tertib pada 5 Disember 2024 lalu. MPM sebuah keluarga yang kecil tetapi harus ikut prosedur.,” katanya.
MEGAT Danish Shahriman Zaharudin (kiri) bersama-sama Michael Wong Meng San ketika menyertai Masca. - Kredit foto: AMK
Shahriman berkata, pendedahan rasuah dan aduannya kepada SPRM tetap akan dibuat pada bila-bila masa tanpa mengira sama ada sehari atau sejam sebelum AGM pemilihan MPM Ke-25 itu selagi dia mempunyai bukti dan asas serta memikirkan tindakan itu betul untuk diambil.
“Kalau tidak boleh terima hakikat kalah, saya pun tidak boleh halang. Jika kamu tidak buat (rasuah), tidak perlu bimbang (tetapi) kalau buat, kamu perlu menjawabnya,” katanya yang menewaskan Shapawi 14 berbalas 10 undi untuk mempertahankan kerusi No. 1 MPM miliknya sejak 14 Disember 2019 itu. - KitaReporters
MEGAT Danish Shahriman Zaharudin (lima dari kiri) bersama-sama pucuk pimpinan MPM penggal 2024-2028 yang dipilih dalam AGM Ke-25 di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. - Kredit foto: MPM