
MIRNAWAN Nawawi atau digelar The Boss/Si Bos (tengah) dan Dennis Sek yang mewakili ASPAC menayangkan hadiah kemenangan juara beregu lelaki Cabaran Beregu Gatorade-SportsUnited-Pickle Unite 2025. Kanan ialah Shergar Reza Dina Rizal. - Kredit foto: SU
PASUKAN hoki kebangsaan antara yang terbanyak diadun dengan para pemain berbilang bangsa malah mencipta kejayaan hebat antaranya pingat perak Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 dan empat pingat emas berturut-turut Sukan SEA Chiang Mai 1995, Jakarta 1997, Brunei 1999 dan Kuala Lumpur 2001.
Mereka yang membentuk skuad 'Malaysia Muhibah' dengan siri kecemerlangan ini ialah kapten Datuk Mirnawan Nawawi, Maninderjit Singh, K. Keevan Raj, Calvin Fernandez dan Chua Boon Huat.
Segerakan ke masa kini dan semangat perpaduan melalui sukan sebegini yang mendorong penganjur, SportsUnite menampilkan Cabaran Beregu Gatorade-SportsUnite-Pickle Unite 2025 di Pickleball Playground, Padang Jawa, Shah Alam, Selangor.
Menariknya Mirnawan yang turut beralih sukan dari astroturf hoki ke medan pickleball ini sejak Mei 2023 lalu, merangkul kejuaraan keduanya di sini.

'SI Bos' Mirnawan Nawawi (dua dari kiri) ketika bergelar juara pickleball kali pertama pada Cabaran Muhibah Berpasukan PickleUnite SportsUnite 2025 tanggal 8 Februari 2025 lalu di Kepong. - Kredit foto: SU
Hanya dalam tempoh tiga bulan, 'The Boss' (Si Bos julukannya) menjuarai pula kategori beregu lelaki Cabaran Beregu Gatorade-SportsUnite-Pickle Unite di Pickleball Playground, Padang Jawa, Shah Alam, Selangor pada 3 Mei 2025 lalu.
Bergandingan dengan Dennis Sek, mereka mewakili ASPAC X PBP menjuarai kategori itu setelah menumpaskan ASPAC (Nabil Fikri Hairi dan Jay Jay Denis) 15-14, 15-11 dalam perlawanan akhir yang sengit.
“Terima kasih kepada rakan sepasukan, Dennis atas usaha gigihnya sehingga kami bergelar juara.
“Benarlah ramai orang kata, sukan satu cara yang tepat menyatukan warga berbilang kaum dan syabas kepada SportsUnite yang berjaya mencapai matlamat penganjuran PickleUnite ini.
“Teruskan kejohanan yang bertemakan muhibah ini pada masa hadapan. Saya pasti kesemua 60 pasukan dalam Cabaran Beregu Gatorade–SportsUnite–Pickle Unite 2025 ini juga berkongsi perasaan saya bagi kejohanan seunik ini,” kata Olimpian tiga kali ini dalam siaran media penganjur SportsUnite.
Gelaran pertama Mirnawan, 54, juga dengan ASPAC ialah pada Cabaran Muhibah Berpasukan PickleUnite SportsUnite 2025 di Kepong, Kuala Lumpur yang disertai lapan pasukan pada 8 Februari 2025 lalu.
Ketika itu pemenang pingat perak hoki Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 dan pingat gangsa Sukan Asia Beijing 1990 ini, menyertai beregu campuran ASPAC bersama Lim Ju En.

AKSI tenang Mirnawan Nawawi (kiri) dan Dennis Sek ketika membalas pukulan lawan pada Cabaran Beregu Gatorade–SportsUnite–Pickle Unite di Gelanggang Pickleball, Padang Jawa, Shah Alam, Selangor. - Kredit foto: SU
Seperti di Kepong, syarat penyertaan Cabaran Beregu Gatorade–SportsUnite–Pickle Unite 2025 kekal dengan setiap pasukan atau pasangan termasuk kategori beregu wanita dan beregu campuran wajib mengandungi dua pemain berlainan bangsa sejajar dengan wawasan penganjur untuk memperkasa semangat perpaduan nasional.
Cabaran kali ini berformat liga sepusingan dengan setiap beregu bermain empat perlawanan dalam pusingan awal sebelum mara ke peringkat kalah singkir daripada suku akhir.
“Para peserta seronok dengan format saingannya kerana menyediakan masa bermain yang lebih banyak dan peluang berinteraksi dengan gandingan lain sambil menjalinkan persahabatan baharu,” kata Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite, Shergar Reza Dina Rizal dalam siaran itu.
Tanpa sokongan penaja gelaran bersama seperti Gatorade dan rakan penaja lain seperti Franklin dan Kazza Network malah sambutan hangat 60 beregu peserta katanya, tidak mungkin kejohanan ini dapat dijayakan.
“Tahniah kepada para juara ketiga-tiga kategori namun bagi kami, tiada yang menang atau kalah dalam kejohanan ini kerana semua peserta berkongsi matlamat penganjurannya iaitu muhibah melalui sukan,” ujar Shergar. - KitaReporters
KESEMUA beregu campuran peserta Cabaran Beregu Gatorade–SportsUnite–Pickle Unite 2025 bergambar kenangan dengan semangat muhibah sebelum pertandingan. - Kredit foto: SU
KEPUTUSAN FINAL KATEGORI LAIN
Beregu wanita: Neon (Pei Yi dan Nor Eeza Zainal Abidin) menewaskan Gin & Tonic (Phuan Lee Yoon dan Wati) 13–15, 15–7, 15–7.
Beregu campuran: We Ken Reset & Kongker (Christopher Kong dan Andrea Ken) menewaskan Duo Forte (Kevin Choo dan Erika Pungolino) 15–9, 15–11.