Seni & Sukan 25 Apr, 2025

Ada lagi penting! Dominic, Sergio, Haziq tak dilepaskan! Sertai bintang-bintang ASEAN lawan Man U!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

POSTER perlawanan persahabatan Piala Pencabar Malaysia 2025, Bintang-bintang ASEAN menentang Manchester United. - Kredit foto: SPR


DOMINIC Tan (6), Sergio Aguero dan Haziq Nadzli (belakang, dua dari kanan dan kanan) ketika diikat Singapura 0-0 dalam Piala AFF 2024. - Kredit foto: FAM 


BUKAN dapat mempengaruhi ranking dunia pun, apatah lagi apabila membabitkan hanya segelintir pemain negara dalam sebuah pasukan gabungan Bintang-bintang ASEAN (ASEAN All-Stars).

Ditambah pula dengan kem latihan pusat Harimau Malaya yang dijadualkan 16 Mei 2025, undangan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) untuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu seolah-olah tiba pada masa dan tempat yang salah.

Sekalipun Manchester United mempunyai golongan pengikut setia yang besar di Malaysia mahupun rantau Asia Tenggara, perlawanan persahabatan dengannya juga dianggap kurang memanfaatkan pasukan kebangsaan malah tidak lebih daripada suntikan glamor dan publisiti serta sekadar layak digelar 'pertunjukan sarkas'.

Penyerang naturalisasi kelahiran Argentina, Sergio Aguero dan benteng tengah warisan Malaysia-Singapura, Dominic Tan serta penjaga gol, Haziq Nadzli tidak mendapat ‘lampu hijau’ FAM untuk perlawanan persahabatan Bintang-bintang ASEAN dengan kelab gergasi Liga Perdana England (EPL) itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil tanggal 28 Mei 2025 ini.


AHMAD Khuzaimi Piee antara lima yang dicalon FAM sebagai pengganti wakil Malaysia untuk Bintang-bintang ASEAN menentang Manchester United. - Kredit foto: FAM 


Sebaliknya hanya barisan benteng terdiri daripada Ahmad Khuzaimi Piee, Declan Lambert, Adib Ra'op dan Azam Azmi Murad yang dapat ditawarkan oleh FAM kepada Bintang-bintang ASEAN kendalian jurulatih Vietnam, Kim Sang Sik kelahiran Korea Selatan.

Kem latihan pusat Harimau Malaya itu ialah sebagai persediaan berdepan Vietnam pada 10 Jun 2025 juga di Bukit Jalil dalam Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Kumpulan F. 

Malaysia kini menghuni ranking ke-131 berbanding ‘Pahlawan Bintang Emas’, ke-109.

Kali akhir juara 13 kali EPL yang digelar ‘Red Devils’ (Jembalang Merah) berkunjung ke Stadium Nasional menyaksikan mereka menewaskan Malaysia 3-2 dan 2-0 sempena Jelajah Asia pramusimnya pada 18 dan 20 Julai 2009 lalu.

Mohd. Amri Yahyah menjaringkan kedua-dua gol tuan rumah dalam perlawanan pertama itu dengan membolosi penjaga gol Belanda, Edwin van der Sar dan Ben Foster (England). 



Kata Presiden FAM, Mohd. Joehari Mohd. Ayub yang mengesahkan Sergio, Dominic dan Hadzli tidak dilepaskan bagi perlawanan itu: “AFF ada mohon tiga pemain negara yang sedia untuk bermain tetapi kerana ketika itu juga ada persiapan Harimau Malaya (bagi Kelayakan Akhir  Piala Asia).

"FAM sudah mencadangkan nama lain sebagai ganti. Pemain terbabit juga bertaraf kebangsaan (termasuk Khuzaimi yang juga digelar Jimi)," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan persatuan pada Majlis Hari Raya Aidilfitri MFL-FAM-AFL 2025 di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya, Selangor, 23 April 2025.


MOHD. Joehari Mohd. Ayub (belakang, tengah) diapit Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi dan Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab. Ghani Hassan meraikan para pelajar Madrasah Tahfiz Al Quran Al Ukhuwwah Taman Desaria, Petaling Jaya, Selangor yang mendapat sumbangan duit raya. - Kredit foto: FAM


Harimau Malaya selain itu yang menjalani Era Revolusi sejak 16 Disember 2024 lalu dengan diterajui Peter Cklamovski dari Australia, diumumkan oleh Joehari, telah melantik bekas ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe sebagai Pengarah Teknikal pasukan negara.

Cheng Hoe, 57, yang berasal dari Kedah, pernah mengendalikan Harimau Malaya dari 2017 hingga 2022 dengan pencapaian terbaik naib juara Piala AFF 2018 serta sebelumnya menjadi penolong kepada Datuk K. Rajagobal dan Nelo Vingada (Portugal).

Joehari juga mengesahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard sebagai Timbalan CEO Harimau Malaya, manakala bekas Pengarah Sukan Terengganu FC, Zul Fadli Rozi sebagai Penyelaras.

CEO Harimau Malaya sekarang ialah Robert Friend dari Kanada.

Stanley mungkin dikenang kerana kejayaan Kuala Lumpur City FC menjuarai Piala Malaysia 2021 dengan menumbangkan Johor Darul Ta’zim FC 2-0 di Bukit Jalil selain muncul naib juara Piala AFC 2022 setelah ditewaskan Al Seeb (Oman) 3-0.

"Cheng Hoe seorang daripada jurulatih terbaik yang kita ada di Malaysia. Meritnya ada dan dia memenuhi kriteria boleh bekerjasama dengan jurulatih asing," kata Joehari yang mula menerajui FAM, menggantikan Tan Sri Hamidin Amin pada 15 Februari 2025 lalu. - KitaReporters


PENGARAH Prestasi Tinggi Harimau Malaya, Dr. Craig Duncan, Peter Cklamovski, Tan Cheng Hoe (kiri hingga tiga dari kiri) dan Stanley Bernard (kanan) pada Majlis Hari Raya Aidilfitri MFL-FAM-AFL 2025 di Arena Futsal FAM. - Kredit foto: FAM 


SEJARAH PERTEMBUNGAN MALAYSIA DAN MANCHESTER UNITED:

* 7 Jun 1981, Stadium Merdeka, Kuala Lumpur: Malaysia 0 Manchester United 0

* 23 Julai 2001, Stadium Nasional, Bukit Jalil: Malaysia B-23 0 Manchester United 6

* 18 Julai 2009, Stadium Nasional, Bukit Jalil: Malaysia 2 Manchester United 3

* 20 Julai 2009, Stadium Nasional, Bukit Jalil: Malaysia 0 Manchester United 2


MOHD. Joehari Mohd. Ayub (tiga dari kiri) bersama-sama (dari kiri) dua Timbalan Presiden FAM - Datuk S. Sivasundaram dan Mohd. Yusoff Mahadi, Hamidin Mohd. Amin, Ab. Ghani Hassan dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Dr. K. Nagulendran. - Kredit foto: FAM 

7
17
0
8
0
You will be interested