Seni & Sukan 02 Jul, 2025

Tahniah Abu Bakar Atan! Penerima gelaran Legend of AIPS Asia! Sumbangan kepada kewartawanan sukan!

@amran mulup
Bekas wartawan Utusan Malaysia yang kini bermastautin di Melaka. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

 

 

Presiden Aips Asia, Hee Don Jung menyampaikan anugerah 'Legend of AIPS Asia' kepada Abu Bakar Atan.


Tiada siapa sangka bekas pengulas sukan TV3 dan bekas wartawan sukan berpengalaman, Abu Bakar Atan, 63,  dianugerahkan gelaran 'Legend of AIPS Asia' atau Legenda AIPS Asia sempena Kongres ke-26 Persatuan Media (Press) Sukan Antarabangsa (AIPS) Asia di Hong Kong pada Selasa, 1 Julai 2025.

Abu Bakar menjadi penerima kedua anugerah berkenaan dari Malaysia, selepas bekas wartawan sukan berpengalaman, Ahmad Khawari Isa turut menerima pengiktirafan sama pada tahun lalu (2024).

Anugerah yang memasuki edisi ketiga sejak diperkenal pada tahun 2023 bagi mengiktiraf sumbangan wartawan sukan di seluruh Asia yang telah berkhidmat berpuluh-puluh tahun atau sering digelar 'otai sukan'.

Menabur bakti lebih 30 tahun dalam bidang sukan negara, siapa yang tidak mengenali Abu Bakar dalam kalangan pegawai dan atlet sukan terutama bola sepak.


Abu Bakar bergambar bersama Hee Don Jung serta penerima-penerima lain sempena Kongres ke-26 Persatuan Media Sukan Antarabangsa (AIPS) Asia di Hong Kong. 


Mengulas mengenai kejayaannya, Abu Bakar menyifatkan anugerah yang diterimanya bukan hanya untuk dirinya tetapi ia adalah pengiktirafan terbesar kepada seluruh wartawan sukan di Malaysia.

Menurutnya, itu membuktikan bahawa kredibiliti wartawan Malaysia bukan hanya dipandang dan dihargai dalam negara sahaja namun ia turut berjaya mencuri perhatian pada peringkat global.

"Alhamdulillah, pertama syukur kepada hadrat Allah kerana dengan izin-Nya saya terpilih untuk menerima anugerah ini. Sudah tentu anugerah ini bukan hanya untuk diri saya tetapi ia adalah satu kemenangan buat seluruh warga kewartawanan sukan di Malaysia.

"Saya harap anugerah ini juga mampu menjadi pemangkin semangat khususnya kepada generasi muda mahupun mereka yang sedia ada dalam bidang kewartawanan sukan untuk terus meningkatkan penyampaian berita berkualiti, beretika, isi kandungan bermanfaat dan menarik.

"Ini membuktikan kewartawanan sukan di Malaysia turut mendapat perhatian luar dan menjadi tumpuan, di mana Malaysia juga sering menjadi penganjur kepada kejohanan-kejohanan sukan yang besar, malah kita turut miliki atlet-atlet bertaraf dunia dan bukan calang-calang.

"Sebagai wartawan sukan, kita juga bukan hanya melapor berita tetapi juga turut bersama-sama membantu membangunkan industri sukan negara menerusi lontaran idea dan juga kritikan membina," katanya selepas menerima anugerah tersebut di Nina Hotel, Tsuen Wan West.


Abu Bakar (tengah) bergambar bersama Ahmad Khawari Isa dan Hee Don Jung selepas penyampaian anugerah di Hong Kong. 


Abu Bakar memulakan karier kewartawanan sukan pada tahun 1984 sebagai wartawan sukan di Berita Harian dan seterusnya menjadi kumpulan pertama di Harian Metro dengan bertugas selama tiga tahun.

Sebelum itu beliau turut menerima tawaran menyarung jersi skuad bola sepak Negeri Sembilan namun terpaksa menolaknya kerana menerima tawaran bekerja sebagai wartawan sukan di Berita Harian.

Kemudiannya, beliau mengembangkan kariernya di TV3 dan membina kerjaya sebagai pembaca berita sukan sejak tahun 1997 hingga 2021.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).

"Tidak lupa, terima kasih kepada Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) yang membolehkan saya menerima anugerah ini,"jelasnya.

Terbaharu beliau muncul dalam satu wawancara dalam podcast ‘Ape Kabau Bos’ bergandingan dengan seorang lagi bekas wartawan sukan TV3 yang kini menjadi pengkritik sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli.

Mereka membincangkan mengenai kemelut bola sepak negara dan kemenangan skuad Harimau Malaya menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027. - KitaReporters

8
18
0
12
0
You will be interested