Seni & Sukan 26 Jun, 2025

Gohet gostan! Uzbek, Kyrgyz, Tajik, Iran lawan Harimau Malaya! Piala CAFA ganti Pestabola Merdeka!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

HARIMAU Malaya meraikan kejayaan menjuarai Pestabola Merdeka 2024 setelah mengejutkan Lebanon dalam final dengan jaringan penyerang naturalisasi kelahiran Colombia, Romel Morales (barisan tengah, empat dari kanan). - Kredit foto: FAM


BARU dua edisi berturut-turut dihidupkan semula setelah menyepi sekian lama sejak 2013, Pestabola Merdeka tidak dapat pula diteruskan pada 2025.

Kejohanan antarabangsa yang bertujuan meraikan sambutan kemerdekaan negara ini disahkan tiada dalam kalendar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingannya, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi.

Tajikistan menjuarai Pestabola Merdeka 2023 setelah menewaskan Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon 2-0, namun tuan rumah yang dibimbing Pau Marti Vicente menebusnya pada 2024 dengan mengejutkan Lebanon 1-0, kedua-duanya di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Ya, tiada (pertandingan Pestabola Merdeka Ke-44, 2025),” katanya yang juga Timbalan Presiden FAM kepada KitaReporters.

Alasannya ialah Harimau Malaya sudah pun ‘ditangkap’ oleh Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) sebagai pasukan undangan Piala Negara-negara CAFA di Uzbekistan dan Kyrgyzstan dari 26 Ogos hingga 9 September 2025.




Satu hingga 9 September 2025 juga telah ditetapkan sebagai jadual perlawanan antarabangsa tahap 1 dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) namun mengehadkan kepada dua perlawanan sahaja.

Untuk menganjakkan Pestabola Merdeka ke dua lagi jadual FIFA, Oktober atau November sudah tidak mungkin kerana tarikh-tarikhnya bakal dipenuhi tiga lagi perlawanan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Kumpulan F menentang Laos di Vientiane dan Bukit Jalil (9 dan 14 Oktober 2025) serta Nepal di Kathmandu (18 November 2025).  


TAJIKISTAN (jersi putih) sudah dua kali menghampakan Harimau Malaya dalam final Piala Raja Thailand 2022 (penalti 3-0) di Chiang Mai dan Pestabola Merdeka 2023 (2-0) di Bukit Jalil. - Kredit foto: FAM  


Ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski berkata: “Kami berbangga untuk menyertai Piala Negara-negara CAFA 2025.

“Kami akan berdepan cabaran hebat di tempat lawan dan bersaing dalam persekitaran yang mencabar menentang pasukan-pasukan kuat,” katanya, dipetik daripada laman sosial Malaysia NT pada 23 Jun 2025.

Warga Australia ini merujuk kepada ranking ke-131 dunia Harimau Malaya berbanding Iran dan Uzbekistan (ke-19 dan 57) - dua pasukan yang telah layak ke Piala Dunia 2026 menerusi pusingan ketiga Kelayakan Asia yang berakhir 10 Jun 2025 lalu selain Kyrgyzstan (ke-103).



Ketiga-tiga negara ini di samping Tajikistan (ke-104) dan Turkmenistan (ke-142) serta Afghanistan (ke-160) merupakan negara ahli gabungan CAFA, manakala satu lagi pasukan undangan ialah Oman (ke-77).

Khabarnya, Peter yakin mendapat kerjasama 12 kelab tempatan untuk melepaskan pemain-pemain yang dikehendakinya sekalipun Liga Super Malaysia 2025-2026 bakal berlangsung yang bermula dengan Perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah pada 8 Ogos 2025 ini. 


PETER Cklamovski (kanan) sudah mengutip dua kemenangan dan satu seri sejak hadir mengemudi Harimau Malaya pada 22 Januari 2025 lalu. - Kredit foto: FAM


Piala Negara-negara CAFA yang meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan badan induk rantau itu juga ibarat Kejohanan ASEAN atau sebelumnya Piala AFF di Asia Tenggara yang berlangsung dwitahunan genap dan biasanya akhir Disember hingga pertengahan Januari serta di luar kalendar FIFA.

Juara bertahan ialah Iran yang menewaskan Uzbekistan 1-0 dalam perlawanan akhir edisi 2023 di Stadium Milly, Tashkent. 

“Pengalaman ini akan menguji kami dalam pelbagai aspek, dalam dan luar padang yang amat penting untuk pembangunan berterusan skuad kebangsaan.

“Kejohanan ini merupakan satu lagi peluang penting untuk Harimau Malaya mengharumkan nama negara, menyemarakkan semangat penyokong dan terus membina perpaduan yang diimpikan oleh bola sepak Malaysia,” katanya.


UZBEKISTAN (jersi biru) memegang rekod sentiasa menumpaskan Malaysia dalam enam pertemuan sejak 1994. - Kredit foto: FAM


Peter pasti lebih teruja dan mengalu-alukannya kerana hasilnya ternyata lumayan apabila Harimau Malaya menjadikan Cape Verde atau digelar Jerung Biru sebagai rakan ‘sparring’ menjelang membelasah Vietnam (ke-109) 4-0 dalam Kelayakan Akhir Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun 2025 lalu.

Kemenangan besar dan bersejarah selepas 11 tahun itu dicapai dan dipengaruhi keputusan seri 1-1 dengan pasukan Afrika di ranking ke-72 dunia ini dalam perlawanan antarabangsa tahap 1 dan kalah 3-0 perlawanan latihan tertutup tanggal 29 Mei 2025 lalu (Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur) dan 3 Jun 2025 lalu (juga Bukit Jalil).

Sekalipun Harimau Malaya hanya berada keenam dalam kalangan lapan negara peserta Piala Negara-negara CAFA 2025 secara di atas kertas, Peter tampak kian yakin dengan daya saing anak-anak buahnya berdasarkan prestasi semasa. 

Hakikat ini diperkasa dengan kehadiran tujuh tonggak warisan baharu seperti Hector Hevel, Gabriel Palmero, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Facundo Garces dan Imanol Machuca.  


KYRGYZSTAN (jersi merah) diikat Harimau Malaya 1-1 pada 6 Jun 2024 dengan jaringan sendiri Valery Kichin di Bishkek.  


Secara tradisinya dalam Pestabola Merdeka sejak 2023, FAM mengundang hanya tiga pasukan dengan masing-masing terhad kepada dua perlawanan sahaja yang berformat play-off kalah singkir separuh akhir dan akhir.

Kejohanan yang diasaskan pada 1957 hasil ilham mantan Perdana Menteri dan Presiden FAM, Tunku Abdul Rahman Putra ini pernah digelar sebagai Piala Asia Mini apabila kerap menarik penyertaan gergasi bola sepak benua ini seperti Korea Selatan, Jepun, Kuwait dan Iraq selain jiran serantau Asia Tenggara.

Prestij dan kemasyhurannya yang turut menginspirasikan Piala Raja Thailand, Piala Kemerdekaan Vietnam Selatan, Kejohanan Ulang Tahun Jakarta dan Piala Presiden Park (Korea Selatan) kemudian memikat kehadiran sehingga sejauh Afrika seperti Maghribi, Ghana dan Senegal serta kelab atau pasukan pilihan dari Brazil dan Argentina.

Malaysia sudah 13 kali mendakap trofi Pestabola Merdeka pada 1958, 1959, 1960, 1968, 1973, 1974, 1976, 1979, 1986, 1993, 2007, 2013 dan 2024.

Kejohanan inilah yang melahirkan bintang-bintang kita yang mewakili pelbagai era antaranya Abdul Ghani Minhat, Arthur Koh, Rahim Omar, Zulkifli Norbit, Shaharudin Abdullah, Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh dan Azman Adnan serta Safee Sali. - KitaReporters


HARIMAU Malaya menewaskan Afghanistan (jersi merah) 2-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Airmarine 2019 di Bukit Jalil menerusi jaringan Faiz Nasir dan gol sendiri Abassin Alikhil. - Kredit foto: FAM


REKOD KALI AKHIR MALAYSIA MENENTANG PASUKAN PESERTA PIALA NEGARA-NEGARA CAFA 2025

Iran: Kalah 2-0 (Piala Asia, 18 Julai 2007, Stadium Nasional, Bukit Jalil)

Uzbekistan: Kalah 5-1 (perlawanan antarabangsa tahap 1, 9 Oktober 2021, Stadium Antarabangsa Amman, Jordan)

Oman: Kalah 2-0 (Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, 26 Mac 2024, Stadium Nasional, Bukit Jalil)

Kyrgyzstan: Seri 1-1 (Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, 6 Jun 2024, Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek)

Tajikistan: Kalah 2-0 (Pestabola Merdeka 2023, 17 Oktober 2023, Stadium Nasional, Bukit Jalil)

Turkmenistan: Menang 1-0 (perlawanan antarabangsa tahap 1, 23 Mac 2023, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor)

Afghanistan: Menang 2-1 (Piala Airmarine, 23 Mac 2019, Stadium Nasional, Bukit Jalil).


TURKMENISTAN (putih-hijau) tewas dua kali menentang Malaysia, 3-1 di Bukit Jalil dan 1-0 di Iskandar Puteri. - Kredit foto: FAM

18
8
0
16
0
You will be interested