JIKA ditanya kepada aktor Ajay Devgn apa perkara paling tidak disukai mengenai isterinya, aktres Kajol, dia akan menjawab : “Kajol terlalu banyak bercakap, seperti mulut murai!” Malah, ketika dalam set penggambaran pun Kajol terlalu banyak bercakap sehingga kadangkala hilang tumpuan kepada kerja. : KitaReporters.com
KAJOL memang jelita.
Menurut Ajay, disebabkan terlalu banyak bercakap, apabila Kajol diminta memberi tumpuan dia dilihat sibuk dengan aktiviti lain.
Kerana itu, Ajay tidak suka Kajol terlalu banyak bercakap. Dia sendiri sering mengingatkan isterinya supaya mengubah tabiat tersebut.
Tetapi apabila Kajol lebih banyak berdiam diri, Ajay pula yang merasa sunyi dan menjadi susah hati kenapa Kajol berubah sikap.
Apabila ini berlaku, dia akan bertanya kepada Kajol apa yang terjadi. Adakah dia tidak sihat atau ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.
“Oleh itu, saya rasa baik biarkan saja keadaan semula jadi isteri saya. Saya tidak berhasrat memaksa dia menukar sifat dirinya,” kata Ajay, memetik laporan sebuah media India.
PERKAHWINAN Kajol dan Ajay Devgn pada tahun 2000.
AJAY DEVGN dan Kajol.
Kajol dan Ajay Devgn dianggap sebagai pasangan paling romantik dan ideal. Mereka telah melayari kehidupan sebagai suami isteri sejak 20 tahun lalu.
Kedua-dua mereka yang merupakan antara bintang ternama Bollywood ketika ini, dikurniakan seorang anak perempuan, Nysa dan anak lelaki, Yug.
Kajol ialah anak kepada aktres terkenal Bollywood, Tanuja, yang mencipta nama melalui filem blockbuster ‘Haathi Mare Saathi’ (Gajah Sahabatku) berpasangan dengan Rajesh Khanna pada awal 70-an. Filem ini pernah ditayangkan selama tiga bulan di pawagam Royal, Pulau Pinang.
TANUJA pada zaman kegemilangan.
Kajol juga adalah sepupu kepada aktres Rani Mukherjee. Bapa Kajol, Shomu Mukherjee dan bapa Rani, Ram Mukherjee adik beradik.
Shomu dan Ram kedua-duanya adalah penulis skrip, produser dan pengarah tersohor serta bertanggungjawab mengasaskan studio filem terkenal, Filmalaya Studio.
Antara hasil garapan Ram yang sangat popular ialah filem ‘Hum Hidustani’ dan ‘Leader’ yang dibintangi Dilip Kumar dan Vyjayantamala.
Seorang lagi anggota keluarga Mukherjee yang membina nama dalam filem ialah aktor Joy Mukherjee, bapa saudara Kajol dan Rani.
Joy popular dengan filem-filem seperti ‘Love In Simla’ bersama Sadhana (1960), ‘PhirWohi Dil Laya Hoon (1963) dan ‘Love In Tokyo’ (1969), kedua-duanya bersama Asha Parekh.
KAJOL (kiri) bersama ibu, Tanuja.
Dalam karier seni mereka, Kajol dan Ajay saling bantu membantu dan sokong menyokong antara satu sama lain. Ajay sendiri berasa amat selesa bekerja dengan isterinya.
Katanya, semua orang tahu Kajol adalah antara aktres terhebat. Sebagai aktor, peluang berlakon dengan aktres yang hebat pastinya sangat mengujakan.
“Lebih daripada itu, kami sangat selesa kerana dia isteri saya. Justeru kami boleh bekerja secara profesional, tetapi mesra,” kata Ajay.
Ajay dan Kajol digandingkan dalam filem epik terbaharu bertajuk ‘Tanhaji: The Unsung Warrior’ yang kini ditayangkan di India. Filem yang turut dibintangi Saif Ali Khan ini dijangka muncul filem pecah panggung.
Inilah gandingan bersama suami isteri ini selepas gandingan terakhir 11 tahun lalu dalam filem ‘U Me Aur Hum’ (2008).
Sebelum itu, mereka pernah berganding dalam filem ‘Pyar Ho Hona Hi Tha’ (1998) dan ‘Dil Kya Kare’ (1999).
Filem 'Tanhaji' menggabungkan Ajay Devgan (atas), Saif Ali Khan dan Kajol.
Namun Ajay dan Kajol kini risau kerana anak mereka, terutama Nysa, semakin menjadi perhatian ramai dan menjadi topik utama perbincangan dalam media sosial.
Sebagai anak bintang ternama, Nysa yang mewarisi kejelitaan ibunya sememangnya topik pilihan dalam kalangan remaja dan peminat-peminat filem Bollywood, khususnya ketika umurnya baru melepasi 18 tahun.
Bagaimanapun Ajay tidak begitu gembira dengan perhatian berlebihan kerana pada umur ini, anak-anak mudah sensitif dan belum bijak mengawal diri atau dapat mengendalikan sesuatu masalah dengan baik.
Ajay memang berasa sangat sedih apabila anak-anaknya terpaksa menghadapi pelbagai ejekan atau kecaman melampau.
AJAY DEVGN dan Kajol bersma-sama anak, Nysa dan Yug.
Pada peringkat awal, Nysa memang tersinggung dengan segala ejekan dan tohmahan ke atas dirinya. Tetapi sekarang dia tidak peduli lagi. Dia mampu mengendalikannya.
Apabila dikritik dalam media sosial atas pelbagai isu, Nysa sudah bijak mengawal emosi. Dia sudah bijak menyerap dan menghadapi kritikan tersebut.
NYSA sudah melewati umur 18 tahun.
Ajay dan Kajol juga sudah menerima hakikat keluarga mereka sentiasa menjadi tumpuan atau sasaran dan mereka sudah menerima kenyataan itu.
“Setiap masa, sepanjang masa akan sentiasa ada orang yang mengata, mengejek atau mengganggu kehidupan serta kedamaian diri kita.
"Hakikat ini terpaksa diterima dan ditangani, terutama dalam keluarga kami sebagai anak seni yang sentiasa menjadi perhatian ramai” kata Ajay. - KitaReporters.com
AJAY DEVGN bersama anak, Nysa.