ZARIF Marican Ibrahim Marican (biru, tengah) masuk menggantikan Syahmi Husin menghadapi Korea Selatan, sekali gus menambah kutipan mata mudah menerusi servis pematinya. - Kredit foto: SASA
MALAYSIA mengulangi pertemuan final dengan Thailand dalam acara regu berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand Ke-37, seperti mana Piala Dunia Istaf, setelah mengatasi Korea Selatan 2-0 dalam separuh akhir di Korat pada 7 September 2024.
Skuad negara
akan berentap dengan musuh tradisi itu mulai pukul 2 petang waktu Malaysia, sekali gus cuba menuntut bela atas kekalahan 1-2 pada final Piala Dunia di Stadium
Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 26 Mei 2024 lalu.
Namun regu
pertama kita, Haziq Hairul Nizam (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Farhan
Adam dipaksa bertarung sehingga set penentuan sebelum mampu menjinakkan
gandingan Korea Selatan (Park Hyeon Geun, Seon Woo Young Soo dan Lee Min Ju) 16-17,
15-8, 15-10.
Tentangan
getir lawan turut menimpa Syahmi Husin (Zarif Marican Ibrahim Marican),
Shahalril Aiman Halim dan Aidil Aiman Azwawi sekalipun mereka berjaya
memastikan mata kemenangan, 17-14, 13-15, 15-5 dan tiket perlawanan akhir
terhadap Cheon Dong Ryung (Shin Hee Seop), Lee Jun Uk (Seo Seung Beum) dan Kim
Young Chul.
Dua kemenangan tersebut sekali gus tidak memerlukan regu ketiga atau gantian Malaysia iaitu Zuhri Zain, Fetri Aswadi/Noraizat Nordin dan Norfaizzul Razak/Zaim Razali turun ke gelanggang dalam peringkat kalah singkir kejohanan yang turut digelar King’s Cup ini.
Tuan rumah
pula seperti dijangka, tidak banyak mengerah kudrat dan keringat untuk melangkah
awal ke final apabila membenam Myanmar 2-0 (15-6, 15-10), (15-6, 15-5), sekali
gus melangkah setapak lagi ke arah terus menyimpan trofi pertandingan antarabangsa yang tertua miliknya
sejak 1989 dan mula dipertanding pada 1984.
Si Gajah Putih
kendalian Supot Tumpracha dan Prawet Intra, menurunkan Siriwat Sakha, Thawisak
Thongsai dan Rachan Viphan sebagai regu pembuka dan Sittipong Khamchan, Varayut
Jantarasena dan Supasin Boonrueng menyusuli selaku regu kedua dan pengesah
kemenangan.
Terdahulu pada 6 September 2024, skuad kita juga menjuarai Kumpulan A sesudah mengalahkan China 3-0 (15-8, 15-5), (15-4, 15-2), (15-6, 15-7) dan Laos 3-0 (15-8, 15-4), (15-9, 15-5), (15-9, 15-5).
Malaysia sudah pun mengutip satu gelaran, antara regu pada 2 September 2024 dengan hanya mengalahkan India 15-5, 15-9 tanpa penyandangnya, Thailand mahupun Korea Selatan dan Myanmar kerana bertumpu kepada satu lagi pilihan acara yang ditetapkan penganjur, kuadran (berempat).
Satu lagi acara, kuadran campuran menyaksikan gandingan pemain lelaki antaranya Noraizat dan Aidil serta Fetri, disekat oleh Thailand 16-17, 7-15 dalam separuh akhir namun muncul naib juara Kumpulan B setelah hanya mengalahkan India tetapi ditundukkan oleh Vietnam dan Laos.
Barisan wanita negara pula kandas lebih awal pada peringkat kumpulan acara kuadran dan regu berpasukan.
AZLAN Alias menjalankan tugasnya sebagai apit kanan dan perejam dengan baik berdepan Korea Selatan ketika mengapit Haziq Hairul Nizam (20) dan diumpan Farhan Adam (13). - Kredit foto: SASA
Kali akhir Malaysia membawa pulang King’s Cup (khas bagi regu berpasukan sahaja) ialah pada 12 Disember 1988 di Stadium Hua Mark, Bangkok, manakala yang pertama di bawah bimbingan Hassan Sulaiman, tanggal 12 Mei 1985 juga di ibu kota Thailand.
Skuad 1988 kendalian
Haris Abdul Rahman yang dibintangi antaranya Azman Ismail, Sha’ari Hashim,
Malik Samsudin, Rehan Mohamad Din, Rosli Rahman, Noor Rani Adnan dan Raziman
Hassan menumpaskan Thailand 2-0 (15-11, 11-15, 15-9), (15-9, 15-4).
Final King's Cup 2023 menjadi milik tuan rumah setelah mengalahkan Malaysia 2-0 (21-18, 21-9), (21-14, 21-14) malah menjulang Piala Dunia Istaf 2024 dengan kemenangan 2-1 (15-9, 11-15, 13–15), (15-8, 15-5), (15-12, 15-12). - KitaReporters
REGU kedua Malaysia (kuning, dari kiri), Shahalril Aiman Halim, Syahmi Husin dan Aidil Aiman Azwawi yang memastikan kemenangan 2-0 terhadap Korea Selatan dalam separuh akhir regu berpasukan King's Cup Ke-37 di Korat. - Kredit foto: SASA