Seni & Sukan 30 Jun, 2025

Ibarat mengundur jam! PSM kitar semula guna nama Persekutuan! Timbalan dan Naib Presiden kekal!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: [email protected]

Share this

BARISAN baharu pimpinan PSM 2025-2028 yang memenangi pemilihan dalam AGM di WTC kekal diterajui Mohd. Sumali Reduan (tiga dari kiri). - Kredit foto: PSM


PEMILIHAN pucuk pimpinan baharu walaupun tiada muka baharu. Namun kenapa pula Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dikembalikan kepada nama lamanya, Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM)?

Badan induk kebangsaan ini dilahirkan tanggal 25 Jun 1960 di Balai Rakyat, Pulau Pinang yang sudah berusia 65 tahun tetapi tetapi perlukah tindakan yang ibarat memutar jarum jam ke belakang ini?

Penggunaan perkataan Persekutuan diluluskan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PSM ekoran pindaan Fasal 5 Perlembagaannya sejurus sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pemilihan Timbalan Presiden dan Naib Presidennya pada 29 Jun 2025.

Dengan sokongan lebih dua pertiga perwakilan hadirin EGM dan AGM di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, pindaan itu dibuat tanpa menukar nama singkatan mahupun logo atau lambang dua keris bersilang yang di atasnya bola sepak takraw dan diapit bunga padi.


GAMBAR logo atau lambang lama (kiri) dengan nama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dengan yang baharu dipinda dalam EGM 29 Jun 2025, Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM). 


Buat makluman para peminat sepak takraw tanah air, nama Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pernah ditukar daripada Persekutuan Sepak Raga Malaysia (PSRM) pada mesyuarat agung pemilihan tanggal 20 September 1981 lagi.

Mesyuarat di kediaman Tan Sri Mohamed Khir Johari di Kuala Lumpur itu turut menyaksikan Yang Dipertua pertama Persekutuan Sepak Raga Persekutuan Tanah Melayu (PSRPTM) ini tewas 28-26 undi kepada penggantinya, Tan Sri Ahmad Razali Mohamed Ali.

Nama Persekutuan Sepak Takraw Malaysia ini terus dipakai termasuk pada logonya yang memiliki seekor singa dan seekor harimau sekalipun selepas Khir merampas semula kerusi Presiden (26-13 undi) tanggal 26 Januari 1986, media massa lebih kerap melaporkan sebagai Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Mundar maju ke alaf baharu - nama ini juga seolah-olah mendapat inspirasi daripada Malaysia Sepak Takraw Federation (Mastaf) yang jika diterjemahkan kepada bahasa Melayu juga berbunyi Persekutuan Sepak Takraw Malaysia.

Mastaf yang mengandungi Labuan, Selangor, Sarawak, Perlis dan Putrajaya serta Kedah atau sebelumnya Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) ditubuhkan pada 19 Februari 2022, namun dibubarkan oleh Pesuruhjaya Sukan tanggal 31 Januari 2023.


CENDERAMATA klasik yang menampilkan penggunaan nama Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mulai 20 September 1981. - Kredit foto: STH


“Badan induk sukan lain sudah banyak guna nama Persekutuan supaya nampak berbeza dengan persatuan.

“Kami (PSM sebagai) sebuah badan induk kebangsaan dengan (13) negeri (dan tiga wilayah persekutuan) ahli gabungannya yang menggunakan nama persatuan,” kata Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan yang secara rasminya menang tanpa bertanding mempertahankan kerusi panas itu dalam AGM.

Dua kerusi Timbalan Presiden PSM kekal milik penyandangnya, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang beroleh 49 dan 47 undi yang mengatasi pencabar tunggal, Syed Azmir Syed Ahmad (16 undi).

Tiga Naib Presiden turut mempertahannya iaitu Datuk Abu Jimi Samat (51 undi), Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman (48) dan Wan Mohd. Husni Abdullah (44) yang mengalahkan Datuk Ahmad Zaffry Sulaiman (19). Husni pada penggal 2022-2025 merupakan Naib Presiden secara lantikan.



PENGERUSI Jawatankuasa Bebas Pemilihan Jawatan Tertinggi PSM, Prof. Mohad Anizu Mohd. Nor (berdiri, kanan) mengumumkan keputusan pemilihan jawatan Timbalan Presiden (gambar atas) dan Naib Presiden PSM manakala duduk ialah barisan pimpinan penggal 2022-2025 yang turut layak mengundi berdasarkan Perlembagaan PSM. - Kredit foto: PSM 


Ditanya kenapa 56 pengundi yang layak memilih dalam AGM mahukan status quo dan menolak perubahan pucuk pimpinan PSM, kata Sumali: “Saya rasa perwakilan hendak melihat kesinambungan dari (penggal terdahulu) 2022-2025 beberapa perkara atau kejayaan yang telah kita dapat.

“Juga (atas faktor) hubungan sesama kami dalam Jawatankuasa Tertinggi yang akrab malah inilah juga pasukan awal dari 2022 yang menyelamatkan PSM (setelah lebih 10 ahli gabungannya keluar).

“Walaupun ada pertandingan, (prosesnya) dijalankan secara sihat, dalam satu keluarga PSM dan semuanya mesra. Kami tidak bergaduh, semuanya sahabat pada 2022,” katanya.


MOHD. Sumali Reduan (depan, tengah) menjawab soalan dalam sidang media selepas AGM pemilihan PSM 2025-2028 di WTC, Kuala Lumpur sambil diapit Abdul Halim Suleiman (kiri) dan Abdul Puhat Mat Nayan. Belakang (kiri ke kanan), Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman, Abu Jimi Samat dan Wan Husni Abdullah. - Kredit foto: PSM


Satu lagi pindaan kata Sumali ialah menambah Labuan di samping Sarawak dan Sabah dalam pelantikan seorang lagi Naib Presiden PSM sekiranya tiada pegawai persatuannya yang memenangi pemilihan jawatan tersebut.

Misi PSM selepas ini katanya ialah menjayakan Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (PPSN) setelah diberi kepercayaan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan Puhat dan Jimi diamanahkan sebagai pemantau dan penyelaras pengisiannya.

“Saya tidak mahu PSM tampak cantik pada namanya sahaja (sedangkan) pada penghujungnya pelaksanaan dan hasil, tidak begitu. Kami perlu sentiasa berbincang supaya program ini betul-betul berakar umbi dan mencapai matlamat.

“Ada program berkenaan sepak takraw wanita sebab agak jauh ketinggalan. (PPSN) platform terbaik meraih hasilnya tempoh tiga hingga lima tahun. Saya tidak mahu ada masalah yang tidak dapat diselesaikan dan akhirnya gagal tetapi kena ambilnya satu tanggungjawab penting,” katanya.


SEORANG pegawai PSM menayangkan kertas undi kepada para pemerhati bebas dalam proses pengiraan dan pemarkahan selepas AGM pemilihan pucuk pimpinan penggal 2025-2028 di WTC, Kuala Lumpur. - Kredit foto: PSM


Sumali walau bagaimanapun yakin sokongan bakat-bakat baharu Pusat-pusat Latihan Daerah dan Negeri (PLD dan PLN) serta Sekolah Sukan Negeri mampu menjalin kesinambungan PPSN selepas dilancarkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di WTC pada 14 April 2025 lalu. 

“Kemudiannya bagaimana hendak membawa mana-mana bakat baharu yang berjaya ini, mungkin ke Akademi Sepak Takraw Negara di Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur,” katanya yang juga Naib Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).

 

12
16
0
18
0
You will be interested