
PAKISTAN mengumumkan penarikan diri mengejut daripada Piala Asia Sepak Takraw Astaf KL 2025 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 10 hingga 18 Mei 2025 atas alasan keselamatan ekoran serangan udara tentera India sejak awal Mei 2025 ini.
Keputusan drastik tetapi berat hati diambil itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Pakistan (PSF), Noushad Ahmed Khan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Bersama Piala Asia Astaf, Datuk Abdul Halim Kader pada 8 Mei 2025.
“Noushad memaklumkan saya dan Sumali yang juga Pengerusi Bersama jawatankuasa dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bahawa penarikan itu juga disebabkan lapangan terbang antarabangsa negaranya di Islamabad terpaksa ditutup ekoran khuatir dengan serangan udara oleh tentera India.
“Enam pemain Pakistan dan jurulatih serta pengurus pasukan mereka pada mulanya dijadualkan berlepas dari lapangan terbang itu (8 Mei 2025) ke Kuala Lumpur,” kata Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dalam satu siaran media Astaf tanggal 9 Mei 2025.

ABDUL Halim Kader (empat dari kanan) mengalu-alukan kedatangan Noushad Ahmed Khan sambil disaksikan oleh pengadil India, Barja Mohan (tiga dari kiri) sebelum majlis taklimat kepada para pengadil dan pegawai teknikal antarabangsa Piala Asia Sepak Takraw Astaf KL 2025. - Kredit foto: We Are Sepaktakraw
Pemain-pemain Pakistan ialah Sarfaraz Rehman, Muhammad Khalid, Muhammad Shahroze Alvi, Muhammad Shahid, Aman Kumar Oad, Aqeel Ahmed manakala pengurus pasukan, Akhtar Ali dan Dileep Kumar Oad sebagai jurulatih.
Jawatankuasa Pengelola kejohanan katanya, menerima penarikan diri Pakistan secara force majeure (terpaksa diambil) biarpun mereka telah diundi dalam majlis undian Piala Asia Astaf di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTC KL) pada 21 April 2025 lalu.
“Kami berasa sedih dengan keputusan tersebut memandangkan Pakistan sudah memberikan komitmen dengan berbelanja agak besar untuk mengutus pasukannya ke Piala Asia Astaf termasuk kos penerbangan.
“Pakistan juga cuba menjadikan Piala Asia Astaf di Kuala Lumpur sebagai medan pendedahan pertandingan antarabangsa pertamanya bagi 2025 setelah tidak dapat beraksi pada Piala Dunia Istaf di Bihar, India (20-25 Mac 2025 lalu),” kata
Halim yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).

ABDUL Halim Kader (enam dari kanan) berjabat tangan dengan Noushad Ahmed Khan sambil disaksikan pengadil India, Barja Mohan (tiga dari kiri) bersama-sama para pegawai kanan Istaf di Kuala Lumpur pada 9 Mei 2025. - Foto: We Are Sepaktakraw
India pula telah tiba di Kuala Lumpur dan akan beraksi dalam Kumpulan A beregu dengan Indonesia dan Brunei, Kumpulan A regu dengan Taiwan dan Brunei dan Kumpulan A berpasukan dengan Thailand, China dan Singapura.
Walau bagaimanapun sebagai mematuhi peraturan kejohanan tegas beliau, mana-mana pasukan yang menarik diri selepas undian dijalankan, perlu dikenakan keputusan kalah secara percuma atau walkover dan setiap lawan Pakistan akan dikira menang 2-0 (15-0, 15-0) dalam kedudukan mata acara kuadran dan regu.
Pakistan telah diundi dalam Kumpulan A acara kuadran Piala Asia Astaf dengan Vietnam, Singapura dan Korea Selatan, manakala bagi regu, dengan Vietnam, China dan Jepun dalam Kumpulan C.

PASUKAN Jepun yang bakal beroleh kemenangan percuma (walkover) dengan penarikan diri mengejut Pakistan daripada Kumpulan C acara regu Piala Asia Sepak Takraw Astaf KL 2025. - Kredit foto: We Are Sepaktakraw
“Namun Noushad yang juga Naib Presiden Astaf masih dapat datang ke Piala Asia ini sebagai anggota juri rayuan bersama-sama seorang pengadil wanita, Tahira Yasmeen kerana mereka secara kebetulan berlepas dari China selepas menghadiri sebuah kursus sukan,” kata Halim.

ABDUL Halim Kader ketika menyampaikan ucapan pada majlis pembukaan rasmi Piala Asia Sepak Takraw Astaf KL 2025 di Kuala Lumpur. - Kredit foto: We Are Sepaktakraw
Pada April 2025 lalu juga, Myanmar mengumumkan penarikan diri daripada Piala Asia Astaf kerana negaranya baru dilanda gempa bumi, hanya selepas pengesahan penyertaannya tetapi berlaku sebelum majlis undian.
Myanmar yang muncul naib juara beregu dan kuadran Piala Dunia di Bihar, turut sempat mengejutkan kuasa utama Thailand pada peringkat kumpulan malah dianggap mampu menyulitkan laluan jika bertembung Malaysia (juara beregu Piala Dunia 2024 di Kuala Lumpur). - KitaReporters

MOHD. Sumali Reduan yang turut sedih dengan ketiadaan Pakistan dalam Piala Asia Astaf 2025 atas sebab yang di luar dugaan. - Kredit foto: We Are Sepaktakraw