takraw

MOHD. Sumali Reduan (lima dari kiri) dan Hannah Yeoh (empat dari kanan) serta para tetamu kenamaan lain meraikan gimik pelancaran PPSTN di WTC. - Kredit foto: PSM
PERTAMA, mampu melahirkan sehingga lapan pemain atau tekong ala ‘Syahir Rosdi’ dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun akan datang. Kedua, menyukarkan barisan jurulatih negara untuk memilih yang terbaik bagi dipertaruh ke arena sepak takraw antarabangsa.
Sekalipun diakui bukan mudah tetapi tiada yang
mustahil pada kaca mata Datuk Mohd. Sumali Reduan apabila merujuk dua matlamat
dan harapannya terhadap Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (PPSTN) itu.
PPSTN diharapkan oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw
Malaysia (PSM) ini, “dalam lima tahun akan mempunyai kumpulan pemain berbakat
besar sehingga persatuan dan jurulatih sendiri sukar hendak memilih pemain.
“Maknanya, kita ada ramai pemain hebat, lapan hingga
10 tekong contohnya yang bertaraf dunia macam Syahir. Itu yang hendak dibuat, bukan
perkara mudah dan bukan boleh dapat tahun depan, belum tentu.
“Kita kena lihat dalam tiga tahun ke hadapan. PPSTN satu titik permulaan untuk ke hadapan yang hasilnya bukanlah sekarang namun meletakkan sepak takraw negara di landasan betul beberapa tahun akan datang,” katanya.

MOHD. Sumali Reduan mengidam melihat lapan hingga 10 pemain sepak takraw bertaraf dunia dalam tempoh lima tahun hasil PPSTN. - Kredit foto: PSM
PPSTN dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 14 April 2025 lalu dengan pengumuman peruntukan tahunan bagi membiayai pengendaliannya sebanyak RM1.5 juta.
Sepak takraw juga cukup bertuah tersenarai sebagai sukan berprestasi tinggi sokongan kerajaan ini selepas bola sepak, badminton, ragbi dan bola jaring.
Program yang menguak lembaran sejarah baharu sepak takraw Malaysia ini merupakan inisiatif menyeluruh dalam memperkukuh sukan warisan negara ini daripada peringkat akar umbi sehingga antarabangsa.
Program ini merupakan komitmen bersama PSM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Sukan Negeri serta semua pihak yang berkepentingan untuk membina semula keunggulan Malaysia dalam sepak takraw secara saintifik, sistematik dan mampan menerusi pengukuhan ekosistemnya.
Kata Sumali, “bakat-bakat muda sepak takraw PPSTN juga akan didedahkan dengan
aspek-aspek sains sukan seperti biomekanik permainan, fisiologi latihan dan
pemulihan atlet.
“Kami ada 14 Pusat Latihan Negeri (PLN) dalam modul program
ini dengan tiga lagi Pusat Latihan Kebangsaan (PLK) di SSM (Sekolah Sukan Malaysia Bukit Jalil, Kuala Terengganu dan Bandar Penawar, Johor). Yang bagusnya PPSTN
juga akan kembangkan bakat-bakat sepak takraw wanita di lapan pusat ini.
“Sepak takraw akar umbi daripada peringkat kampung, sekolah, daerah dan negeri akan merasai dan dikembangkan PPSTN. Jawatankuasa Pengelola dan Pelaksananya akan bermesyuarat secara berkala malah ada kumpulan pakar yang memantau programnya dan beri laporan penuh setiap sebulan atau dua bulan sekali,” katanya.

MOHD. Sumali Reduan (lima dari kiri) menyampaikan cenderamata penghargaan PSM kepada Hannah Yeoh pada majlis pelancaran PPSTN di WTC, Kuala Lumpur/. - Kredit foto: PSM
Terdahulu dari pukul 9 pagi hingga 4 petang di WTC, Bengkel
PPSTN 2025 yang membabitkan lebih 70 pemegang taruh sepak takraw diadakan sebagai
langkah susulan dari 2022 dan 2023 lalu yang diakui Sumali, pernah terpaksa melalui jalan sukar.
“Perbezaan pandangan dan pertikaian pendapat atau tidak setuju pasti ada, ini biasa, yang penting tujuannya hendak jayakan dan jangan ada masalah besar sehingga menyebabkan PPSTN gagal.
"Namun PSM perlu pastikan PPSTN berjalan dengan betul dan telus serta tidak mahu ada masalah yang menjurus kepada kegagalannya.
"Ini tahun pertama kami dapat, sudah pasti dalam perjalanannya ada kelemahan sedikit tetapi persatuan sepak takraw negeri turut diberi kuasa untuk sentiasa memantaunya dan kalau boleh, mengatasinya dengan segera,” katanya.

SYAHIR Rosdi, tekong yang membantu Malaysia menjuarai acara regu Piala Dunia Istaf 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. - Kredit foto: ST
Ulasan Sumali isu-isu lain:
Piala Asia Sepak Takraw 2025 (di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur):
"Empat belas negara sah menyertainya pada 10 hingga 18 Mei 2025 ini hasil mesyuarat persiapan peringkat akhir dengan Astaf (Persekutuan Sepak Takraw Asia) di Kuala Lumpur (8 hingga 9 April 2025 lalu).
Myanmar akhirnya tarik diri atas faktor bencana alam (gempa bumi). Mereka berdepan banyak masalah pemain-pemainnya tidak dapat dihubungi. Presiden Persekutuan Sepak Takraw Myanmar turut memohon maaf.
Majlis undian peringkat kumpulan Piala Asia untuk empat acaranya (berpasukan, regu, beregu dan kuadran) ditetapkan 21 April 2025 ini (di WTC).
Sehari sebelum kejohanan, 9 Mei 2025 dibuat majlis pembukaan rasminya dengan jamuan minum petang bersama-sama semua pemain dan pegawai teknikal antarabangsa (ITO).
Pencalonan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjelang pemilihan penggal 2025-2029 pada Perhimpunan Agung MOM, 19 April 2025:
"Saya mahu membantu MOM dan Presidennya (Tan Sri Mohamad Norza Zakaria) demi kemajuan sukan negara dengan menyumbangkan sedikit pengalaman dan menggembleng idea untuk memperkasa MOM dan sukan-sukan tanah air.
"Saya cuba pastikan semua persatuan sukan kebangsaan (ahli gabungannya) akan mendapat layanan atau sokongan MOM tidak kira apa terutamanya sukan tradisi, semuanya sama rata.
"Sokongan selain PSM dan peminat menyuntik semangat saya untuk bertanding. Kami calon pemilihan dalam satu keluarga besar MOM yang punya semangat setiakawan. Apabila bertanding, kami bukan bermusuh tetapi berada dalam sistem demokrasi. Setiap calon ada kekuatan dan kelemahan, siapa yang menang, kami akan sokong."
"Memanglah jenis sukan Olimpik sentiasa jadi keutamaan MOM (tetapi) peringkat Sukan Asia, kena juga beri perhatian sukan-sukan potensi besar penyumbang pingat terutama emas.
"Saya membangunkan PSM secara perlahan-lahan dan satu persatu. Selagi belum kalahkan Thailand, persepsi sepak takraw kita gagal akan sentiasa bermain (pada fikiran). Mungkin kena perbaiki mental, teknik dan disiplin pemain-pemain sebagai bakal juara yang kadangkala mereka gagal pada peringkat akhir." - KitaReporters