Seni & Sukan 01 May, 2025

Tak dilupakan! Waris Biduanita Negara Saloma! Saloma Kuala Lumpur hulurkan penghargaan gratuiti!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this

Dari kiri: Riza, Mohammed Hasbullah, Shaharuddin, Arzanee dan Rozaidie.


Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Saloma Kuala Lumpur pada malam 28 April 2025 lalu diserikan dengan momen bersejarah apabila waris kepada Biduanita Negara Allahyarham Puan Sri Saloma menerima penghargaan berupa gratuiti daripada pemilik restoran tersebut.

Penyerahan simbolik gratuiti yang dirahsiakan jumlahnya itu diserahkan kepada cucu-cucu Allahyarham, iaitu Arzanee Armalie dan Rozaidie Armalie, di Theatre Hall, Saloma Kuala Lumpur oleh Presiden Saloma KL, Datin Riza Dato Che Umar dan suami, Dato Mohammed Hasbullah Ali dan disaksikan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot.



"Gratuiti ini akan diserahkan setiap tahun kepada waris Saloma,” kata Riza ketika ditemui pada sidang media yang diadakan di majlis Jamuan Raya Aidilfitri 2025 Saloma Kuala Lumpur tersebut.

Majlis yang penuh penghormatan ini turut dihadiri tokoh-tokoh terkemuka negara, termasuk Panglima Angkatan Tentera,  Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar (gambar atas, dua dari kiri); Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (dua dari kanan) termasuk artis-artis popular tempatan yang turut menghiburkan tetamu antaranya, Datuk Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Zur Eda, Amir Ukays dan ramai lagi.



Berkongsi lanjut, Riza memaklumkan, majlis ini diadakan sebagai platform dwitujuan, iaitu meraikan kegembiraan Aidilfitri dan pada masa yang sama, mengabadikan legasi serta jasa Biduanita Negara Saloma yang telah mewarnai khazanah seni negara.

“Penyerahan gratuiti kepada pewaris legasi seni Biduanita Negara ini adalah manifestasi keikhlasan dan penghargaan kami atas jasa dan bakti yang telah ditinggalkan oleh Puan Sri Saloma kepada generasi kini. 

"Ia juga merupakan kesinambungan daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Saloma Kuala Lumpur yang turut mengambil berat dan menyantuni tetamu istimewa termasuk mereka yang memerlukan,” tambah beliau.

Beliau turut menambah, Saloma Kuala Lumpur  sebelum ini telah aktif melaksanakan pelbagai program kebajikan, termasuk Program Rahmat Ramadan, Santunan Ihsan yang telah mengagihkan lebih 3,000 kampit beras dan pek makanan kepada golongan asnaf dan yang memerlukan. 

Selain itu, terdahulu, turut dianjurkan Malam Naungan Rahmat, Limpahan Berkat bagi membantu artis veteran serta anak-anak tahfiz, serta program Kongsi Rezeki yang menjadi amalan setiap kali penganjuran program.

“Saloma Kuala Lumpur juga aktif dalam menyokong ekosistem seni tempatan dengan menyediakan ruang dan kerjasama kepada penggiat seni lain, seperti menjadi lokasi sidang media untuk promosi konsert-konsert besar seperti Konsert 30th Anniversary Ella USA dan Rossa “Here I am Concert”,” ujar Riza yang mengambil alih Saloma Kuala Lumpur sejak bulan Disember tahun lalu (2024) dengan pelaburan melibatkan jutaan ringgit di bawah syarikat Saloma Legacy Sdn Bhd.



Penganjuran majlis seumpama ini jelasnya akan terus memperkukuh dedikasi Saloma Kuala Lumpur dalam mengangkat martabat seni dan budaya Malaysia, sambil memupuk nilai-nilai kemanusiaan dan menghargai warisan seni yang tidak ternilai

Sebagai perancangan masa depan, pihaknya merancang untuk mengumpul artifak atau barang Saloma yang masih ada untuk dipamerkan agar dapat ditatap dan menjadi warisan seni terpelihara.

"Masih banyak lagi yang perlu kami laksanakan bagi melengkapkan Saloma Kuala Lumpur ini sebagai destinasi pelancongan ulung," tambah Riza.


Gambaran Saloma Kuala Lumpur pada waktu malam yang berwajah baharu. Sebelum ini ia dikenali sebagai Saloma Bistro & Theatre. - Kredit foto: FAS.

Untuk maklumat, Saloma Kuala Lumpur merupakan sebuah destinasi unik yang menggabungkan pengalaman gastronomi Malaysia yang autentik dengan persembahan seni budaya yang memukau setiap malam. 

Terletak strategik bersebelahan Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Saloma Kuala Lumpur menjadi jendela budaya Malaysia kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa. 

Diinspirasikan oleh legasi Biduanita Negara Allahyarhamah Puan Sri Saloma, restoran ini bertekad untuk memelihara dan mempromosikan seni serta tradisi negara. Untuk rekod, sebelum ini ia pernah dinamakan sebagai Saloma Bistro & Theatre. - KitaReporters

12
14
0
12
0
You will be interested