Seni & Sukan 05 Aug, 2025

Apa rahsia kemenangan Wan Arif-Roy King? Jawapannya ialah Naga Api! Jadi juara beregu Terbuka Macau!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this


KEJAYAAN beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King menjuarai Terbuka Macau 2025 pada Ahad, 3 Ogos 2025 lalu bukan sekadar tuah atau kebetulan. Ia adalah refleksi kepada peningkatan mendadak dalam aspek taktikal dan keserasian permainan mereka.
Gelaran tersebut diraih selepas gandingan nombor 24 dunia itu menumpaskan pilihan utama dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 22-20, 21-18 dalam aksi final di Macao East Asian Games Dome. 
Di sebalik kejayaan tersebut, ramai berteka-teki mengenai rahsia lonjakan prestasi mereka, biarpun sudah lama digandingkan - awal tahun 2023. 
Jawapannya berkait rapat dengan air tangan jurulatih dari Indonesia, Herry Iman Pierngadi yang menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak Februari lalu. 


Herry yang terkenal dengan julukan 'Naga Api' bukan jurulatih biasa, beliau adalah arkitek kejayaan beregu lelaki Indonesia selama lebih dua dekad, melahirkan nama-nama besar seperti Hendra Setiawan, Mohammad Ahsan dan Kevin Sanjaya.
Biarpun agak lewat membuahkan hasil berbanding beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, namun tempoh lima bulan sudah cukup memberi kepuasan buat Wan Arif-Roy King untuk meraih gelaran pertama pada musim ini.
Malah lebih menarik kemenangan tersebut juga menjadi medan penebus dendam buat Wan Arif-Roy King yang tewas kepada pasangan sama dalam aksi final Masters Sepanyol 2024.
"Sangat puas hati, sudah lama tunggu untuk dapat gelaran. Pada perlawanan akhir Mac tahun lalu kami kalah dan kali ini dapat tebus semula," ujar Wan Arif.
Kejayaan tersebut bagaimanapun bukan diraih dengan mudah apabila pemain kelahiran Kelantan itu mengakui agar sukar pada mulanya untuk menerima corak permainan yang diterapkan oleh Herry.
"Sebelum ini, kami memang susah nak sesuaikan diri dengan corak permainannya. Ini kejohanan kelima dia (Herry) duduk di belakang.
"Sekarang baru dapat serasi dengan coraknya. Dari segi latihan, selepas beberapa bulan baru dapat. Harap selepas ini kami boleh tingkatkan lagi," katanya.


Menerusi gelaran tersebut membolehkan Wan Arif-Roy King membawa pulang wang tunai AS$29,230 (RM123,825), manakala Gutama-Pahlevi pula meraih AS$14,060 (RM59,561).
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik cuma mengambil masa lebih sebulan untuk meraih gelaran pertama selepas dilatih Herry apabila menjuarai Kejohanan Badminton Asia (BAC) pada awal April.
Wei Chong-Kai Wun pula mengungguli Malaysia Masters pada 25 Mei 2025 iaitu selepas hampir tiga bulan dibimbing Herry.
Mungkin tidak adil untuk membandingkan kemampuan ketiga-tiga pasangan ini kerana mereka mempunyai latar belakang, pengalaman, kemahiran dan kebolehan berbeza.
Aaron-Wooi Yik ialah juara dunia 2022 dan memiliki pengalaman luas di pentas Super 750 serta Super 1000, selain sudah lapan tahun membina keserasian dan persefahaman bersama.
Kai Wun-Wei Chong pula berada di tengah-tengah antara fasa generasi lama, Aaron-Wooi Yik dan gandingan baharu, Wan Arif-Roy King yang masih mencari rentak daripada aspek komunikasi, keserasian dan konsistensi.


Apapun ia bukan satu tempoh yang lama buat Arif-Roy King kerana apa yang penting gelaran Terbuka Macau adalah permulaan untuk perjalanan jauh yang lebih gemilang.
Namun di sebalik kejayaan di Macau corak latihan Herry terkenal dengan intensiti tinggi menjadi antara faktor kejayaan tersebut.
Herry menekankan aspek ketahanan fizikal dan mental secara seimbang – menjadikan pemain bukan sahaja kuat dari segi teknikal, tetapi tidak mudah goyah ketika di bawah tekanan.
Di gelanggang, pendekatan taktikal Herry sangat jelas - menekan lawan dari awal, menguasai jaring dan menggunakan rotasi pantas untuk mengekalkan momentum.
Dalam konteks ini, Wan Ariff–Roy King menterjemahkan corak permainan ini dengan baik. 
Wan Arif kian tajam di hadapan, manakala Roy King lebih yakin memainkan peranan sebagai penyerang dari belakang gelanggang.
Ketika di Macau, mereka menunjukkan kematangan luar biasa, mampu menukar tempo permainan – dari serangan pantas ke corak bertahan, bergantung pada situasi.
Itulah antara kelebihan yang sering diterapkan oleh Herry – pemain mesti bijak membaca permainan dan tidak bergantung kepada satu strategi sahaja. - KitaReporters
7
12
0
13
0
You will be interested