Keluar daripada Ruffedge, Cat Farish menubuhkan beberapa kumpulan hip-hop baharu dan yang paling menonjolkan ialah Fabulous Cats.
Melalui kumpulan ini Cat Farish menghasilkan sebuah lagu kontroversi iaitu ‘Papa Jahat’. Lagu ‘Papa Jahat’ popular di stesen radio swasta, namun ia diharam penyiarannya oleh stesen penyiaran milik kerajaan kerana lirik itu dianggap kurang sesuai.
Selain menyanyi dan mencipta lagu dan lirik dan bergerak secara solo Cat Farish atau nama sebenarnya Farish Ramli juga memperkembangkan kebolehannya dalam bidang lakonan dalam drama dan filem.
Cat Farish bersama isteri Shikin Maembong dalam lagu terbaharu, ‘Jandanyer Yeah Yeah'.
Setelah beberapa tahun menyepi daripada bidang rakaman, Cat Farish kini muncul semula dengan lagu sindiran humor menggunakan loghat Perak berjudul ‘Jandanyer Yeah Yeah’.
Single ini menggabungkan elemen hip-hop, 'afrobeat' serta identiti bahasa dan budaya rakyat Perak.
Lagu unik ini ditulis oleh Cat Farish bersama Illegal dan diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd yang turut memegang hak cipta lagu serta lirik.
Lagu ‘Jandanyer Yeah Yeah’, isteri Cat Farish, Shikin Maembong turut menyanyi dalam beberapa bait lagu serta menjadi pelakon dalam klip videonya. Meneliti melodi dan lirik serta klip videonya ‘Jandanyer Yeah Yeah’ akan popular tidak lama lagi.


Menurut Cat Farish, ‘Jandanyer Yeah Yeah’ bukan sekadar lagu hiburan semata-mata, sebaliknya sebuah penghormatan kepada semua wanita bergelar janda yang bangkit semula dengan keyakinan dan semangat memperbaiki diri selepas melalui episod perpisahan.
Melalui lirik jenaka dan berselindung di sebalik irama rancak, ‘Jandanyer Yeah Yeah’ membawa mesej positif mengenai kekuatan dan keanggunan wanita bukan kerana rupa paras, tetapi kerana ketabahan, keberanian dan keazaman untuk berdiri semula.
Watak Si Penghulu tercipta ketika Cat Farish terbabit dalam sesi kolaborasi lagu ‘Ok’ ciptaan Malique tidak lama dahulu.
Karakter itu dikembangkan menjadi identiti baharu yang membolehkan Cat Farish menyalurkan karya hip-hop dengan nuansa bahasa dan budaya tempatan.
Dengan lenggok loghat Perak dan gaya santai rakyat moden, Si Penghulu bukan sekadar nama pentas, tetapi satu suara masyarakat yang tampil dengan humor, kejujuran dan sindiran halus terhadap realiti hidup.


Projek ini mendapat dorongan dan semangat daripada isterinya ketiganya yang dikahwini pada 13 Julai 2023, Shikin Maembong (Siti Nur ‘Ashikin Ismail), 42, seorang usahawan dan pelukis berbakat.
Proses rakaman selesai baru-baru ini, namun Cat Farish mengakui perjalanan pembikinan lagu ini bukan sesuatu yang singkat.
Selama lebih dua tahun digunakan untuk mencari keseimbangan antara mesej, gaya dan jiwa rakyat agar karya ini benar-benar sampai kepada pendengar daripada pelbagai lapisan.
Dengan pelancaran ini, Si Penghulu tampil sebagai hip-hoper Kampung Sri Kinta di bawah naungan Luncai Emas.
Ia membuka lembaran baharu untuk genre yang semakin mendapat tempat iaitu rakyat urban, gabungan antara keaslian budaya tempatan dan gaya muzik moden.


Cat Farish berharap kemunculan Si Penghulu dan karya ini dapat membuka mata ramai terhadap kepelbagaian dalam muzik hip-hop tempatan serta memberikan ruang kepada pendengar untuk melihat keindahan bahasa dan budaya Perak dalam bentuk kontemporari.
