Seni & Sukan 16 Jul, 2025

Gila Hindustan| Video| Kisah hidup Sadhana! Ibarat bunga harum dipuja, akhir hidup penuh sengsara!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

.


“Bila musim gugur tiba

Bunga jatuh ke bumi juga

Hatiku hiba melihatnya

Nasib bunga tiada lama

Begitu juga insan

Hidupnya seperti roda

Tak ubahnya bak bunga

Bila layu tak berharga”

(Lagu ‘Insan dan Bunga’ nyanyian Tiar Ramon)


Aktres jelita Sadhana ibarat bintang bergemerlapan menguasai layar perak Bollywood dari 1950-an hingga 1970-an.


Benarlah, bunga yang segar berseri indah dipandang, dipuja, dicium penuh sayang. Tetapi apabila layu gugur ke bumi tiada siapa peduli. Begitulah juga nasib insan. Apabila tenggelam daripada sinar kegemilangan dia dilupakan.

Itulah nasib aktres jelita Bollywood, Sadhana Shivdasani, popular dengan nama Sadhana di layar perak. Dia adalah antara aktres ternama pujaan Bollywood pada zaman kegemilangannya pada tahun 60-an dan 70-an sebaris Sharmila Tagore, Asha Parekh, Mumtaz, Mala Sinha, Hema Malini, Saira Banu, Nanda dan Waheeda Rehman.

Pada zaman kegemilangannya dia jadi rebutan pengarah, membintangi puluhan filem, banyak antaranya box-office. Kerjayanya penuh gemilang, hidupnya diselubungi populariti dan disanjung peminat dalam dan luar India.

Dia dikenali sebagai artis ‘up to date’ dengan dalam penampilan diri dan gaya berpakaian. Fesyen rambut dan pakaiannya disukai peminat dan menjadi ikutan. Mereka adalah pengikut ‘gaya Sadhana’.


Aksi manja Sadhana, bintang pujaan Bollywood pada era kegemilangan.


Namun langit tidak selalu cerah. Menjelang penghujung usia, gemerlapan bintang sudah tiada. Begitu juga sorak sorai peminat.

Sadhana dilaporkan melalui kehidupan yang sunyi, tiada teman di sisi. Suaminya, R.K. Nayyar yang dikahwini pada 1966 telah lebih dahulu pergi pada 1995. Mereka tiada anak.

Bukan sahaja namanya pudar seperti kembang layu menunggu gugur ke bumi, Sadhana juga menjalani kehidupan serba susah dan payah. 

Kedudukan kewangannya begitu genting menyebabkan sukar manjalani hidup seharian. Tiada siapa membantu meringankan beban, kecuali seorang dua rakan rapat seperti aktres Nanda dan pelakon juga ratu tarian, Helen.


Sadhana (baju ungu) bersama teman rapat. Dari kiri aktres Nanda, Waheeda Rehman dan Helen.


Selain itu Sadhana berhadapan banyak kes undang-undang. Pelbagai saman menghantui diri, menambah tekanan yang semakin berat untuk ditanggung.

Kesihatannya juga merosot teruk. Keadaan tubuhnya goyah. Dia pernah menghadapi masalah tiroid (thyroid) ketika aktif berlakon tetapi pulih selepas rawatan di Boston, Amerika, dan kembali berlakon. 

Namun pada penghujung usia, penglihatannya terganggu, matanya rosak kerana sakit hyperthyroidism.

Sakit ini merupakan keadaan di mana kelenjar tiroid menghasilkan terlalu banyak hormon sehingga menjejaskan penglihatan. Dipercayai ini kerana penyakit tiroid yang dihadapi dahulu berulang.


Putaran hidup Sadhana selaku ratu Bollywood jelita. Gambar kiri dirakam pada 2013 bersama aktor Ranbir Kapoor. Ketika itu kesihatan Sadhana sudah merosot.


Sadhana lahir pada 2 September 1941 di Karachi dan meninggal pada 25 Disember 2015 di Mumbai, India pada usia 74 tahun. Dia meninggal di Hospital Hinduja, Mumbai selepas dimasukkan ke wad kerana demam panas. Namun ada sumber mengatakan dia mati akibat barah.

Kematiannya dalam sunyi, tiada siapa di sisi. Tiada rakan pelakon atau peminat yang peduli. Sadhana sudah dilupakan. Hanya beberapa kerat sahaja dalam kalangan industri, rakan dan saudara mara hadir memberi penghormatan terakhir.

Sadhana ialah sepupu aktres Babita. Bapanya, Shivram Shivdasani abang kepada bapa Babita, Hari Shivsadani. Sadhana anak tunggal kepada Shivram dan Lali Devi. 

Nama asal Sadhana ialah Nagma Shivdasani. Pada usia lima tahun, bapanya menukar namanya kepada Sadhana kerana minatnya terhadapi pelakon/penari Benggali, Sadhana Bose.

Mendapat pendidikan di Kolej Jai Hind, Sadhana aktif dalam filem Hindi bermula pada akhir 1950-an hingga 1981. Filem pertama ‘Shree 420’ pada 1955. Filem terakhirnya ialah ‘Ulfat Ki Nayi Manzilein’ (1994). Sadhana juga pernah jadi pengarah, mengarah filem ‘Geetaa Mera Naam’ (1974).

Selepas muncul dalam ‘Shree 420’ yang merupakan tangga asasnya dalam filem, Sadhana memperoleh peluang mencipta nama apabila pengarah Sashadhar Mukherjee memberi peranan heroin kepadanya dalam filem ‘Love in Simla’ (1960) bergandingan dengan Joy Mukherjee, juga filem pertama lakonan Joy.


Sadhana bersama Joy Mukherjee dalam filem 'Love In Simla' keluaran 1960.


Filem ini meletup di pasaran. Sadhana terus unggul sebagai bintang rebutan dengan membintangi filem box-office seperti ‘Parakh’ (1960), ‘Hum Dono (1961), Asli-Naqli (1962), ‘Ek Musafir Ek Haseena’ (1962), ‘Mere Mehboob’ (1963), ‘Who Kaun Thi’ (1964), ‘Waqt’ (1965) dan ‘Mera Saaya’ (1966).

Selepas itu dia berehat tiga tahun bagi menjalani rawatan tiroid di Boston. Kembali berlakon pada 1969, Sadhana membintangi dua filem box-office, ‘Ek Phool Do Mali’ dan ‘Intaqam’, kedua-duanya berpasangan dengan Sanjay.


Sadhana dan Sanjay dalam satu adegan filem box-office, 'Ek Phool Do Mali' keluaran tahun 1969.


Sadhana berpasangan dengan hampir kesemua hero Bollywood ketika itu. Pada 1971, dia membintangi ‘Aap Aye Baahar Aye’ bergandingan dengan Rajendra Kumar, dan ‘Dil Daulat Duniya’ berpasangan dengan Rajesh Khanna.

Selain itu, ‘Arzoo’ (Rajendra Kumar--1965), ‘Anita’ (Manoj Kumar --1967), ‘Rajkumar’ (Shammi Kapoor -- 1964), ‘Amanat’ (Manoj Kumar --1977), ‘Sachai’ (Sanjeev Kumar --1969), ‘Prem Patra’ (Shashi Kapoor -- 1962), ‘Badtameez’ (Shammi Kapoor --1966) dan banyak lagi.

Selaku seorang daripada aktres menerima bayaran paling tinggi di Bollywood pada 1960-an, Sadhana tersenarai dalam pelakon box-office sebanyak lima kali dari 1962 hingga 1966. Dia menduduki carta teratas dua kali, pada 1965 dan 1966.

Sadhana pernah dicalon untuk Anugerah Fanfare pada 1965 dan 1966. Dia menerima trofi Anugerah Kecemerlangan Sepanjang Hayat IIFA pada 6 April 2002. 

Anugerah IIFA (International Indian Film Academy) ialah anugerah tahunan menyamai festival filem untuk menghargai karyawan filem Bollywood.

Pada 2002, acara gemilang itu diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, Malaysia. Ramai pelakon hebat dan karyawan filem Bollywood hadir. Antaranya Amitab Bachchan, Jaya Bhaduri, Feroz Khan, Shah Rukh Khan, Amir Khan, Sunjay Dutt, Bipasha Basu, Salman Khan dan lain-lain.


Sadhana menerima Anugerah Kemerlangan Sepanjang Hayat pada acara IIFA di Genting Highlands, Malaysia pada April 2002. Anugerah disampaikan oleh pelakon/pengarah Feroz Khan.


Sadhana melalui kejayaan dan kegemilangan sepanjang karier. Namun pengakhirannya sungguh sedih, hidup sengsara, kesihatan terganggu. Bunga segar itu telah layu dan gugur ke bumi, mengakhiri beban hidup yang sukar ditanggung.- KitaReporters

 

 

 

 

 

 

 

 

12
10
0
8
0
You will be interested