Seni & Sukan 24 Aug, 2025

Video| Memilih Kamu satukan Black dan Adira! Gandingan epik yang dinantikan! Lagu OST sebuah drama!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Satu gandingan yang dinantikan akhirnya menjadi kenyataan apabila dua nama besar dalam industri muzik tanah air, Black Hanifah dan Adira Suhaimi, buat pertama kalinya bergabung dalam sebuah lagu duet. 

Kolaborasi sulung mereka ini termeterai menerusi lagu balada yang menyentuh jiwa, berjudul "Memilih Kamu", hasil ciptaan komposer Mas Dewangga dan Jova Devito, dua nama yang sering diangkat dalam majlis penganugerahan Anugerah Juara Lagu (AJL). 

Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah, 37,  yang terkenal dengan lontaran vokal berkuasa, menjelaskan bahawa lagu ini mengangkat kisah cinta dalam diam.

"Ia adalah kisah seorang lelaki yang memendam perasaan terhadap sahabat wanitanya, yang pada masa sama sudah mempunyai kekasih. Dia hanya mampu memerhati dan mendoakan kebahagiaan wanita itu dari jauh walau pun berasa sedih apabila melihat hubungan wanita tersebut dengan pasangannya mulai retak dan bermasalah,” cerita Black.

Sambungnya, “Siapa sangka, takdir akhirnya menyatukan mereka, Alhamdullillah!”.



Sementara itu, Adira, yang sering disifatkan sebagai "Ratu Runut Bunyi", mempunyai interpretasi yang sedikit berbeza.

Beliau melihat lagu ini sebagai metafora kepada cinta yang tidak kesampaian, tetapi tetap utuh walau dari kejauhan.

"Mesejnya mudah, walau tidak bersama, perasaan sayang itu akan sentiasa ada dan menyayanginya dari jauh, Begitulah maksud yang ingin disampaikan,” katanya. 

Meskipun merakamkan lagu secara berasingan, kedua-dua artis ini berpuas hati dengan proses kerja yang profesional.

Baik Black mahu pun Adiramereka berpendapat, kekuatan lirik dan melodi lagu telah memudahkan mereka untuk menyalurkan emosi yang tepat.



“Kalau nak kata susah, sebenarnya tidaklah terlalu sukar. Ini kerana, melalui liriknya sahaja kita sudah boleh merasai emosi lagu tersebut. Tambahan pula, sebelum sesi rakaman dijalankan, kami sudah menerima demo lagu terlebih dahulu. Jadi, walaupun saya dan Black tidak merakam secara bersama di studio, tetapi feel lagu itu tetap sampai. Alhamdulillah,” jelas Adira atau pemilik bernama sebenar, Siti Adira Suhaimi, 33,  ini.

Black pula menggambarkan proses rakaman yang berjalan kurang satu jam, berlangsung dengan profesional dan lancar, sekali gus ‘Memilih Kamu’ berjaya menerbitkan warna baharu dalam karya nyanyiannya. 

“Ini merupakan pengalaman pertama saya bekerjasama dengan Mas Dewangga. Mereka ini lebih muda daripada saya, tetapi cara kerja mereka sangat profesional. Proses rakaman pun tidak mengambil masa yang lama, lebih kurang 45 minit sahaja sudah siap dirakam sepenuhnya.

“Dan apabila mendengar hasil akhir lagu ini, saya rasa ia memberikan satu bunyi dan warna baharu yang berbeza daripada lagu-lagu saya sebelum ini. Ia memberikan nafas segar dan kelainan yang saya sendiri tidak sangka,” katanya. 



Selain itu, keindahan pemandangan di Bukit Fraser yang dipilih sebagai lokasi penggambaran video muzik, menambahkan lagi elemen unik dan bermakna kepada keseluruhan karya.

Black berkongsi cabaran dan pengalaman unik sepanjang penggambaran. 

"Saya perlu bangun seawal 4.30 pagi untuk bertolak ke Bukit Fraser. Kami tiba di lokasi sekitar jam 7 pagi, dalam keadaan masih gelap. Antara yang terawal tiba, kami perlu menunggu sehingga sekitar jam 9 pagi barulah penggambaran dapat dimulakan,” ujarnya.

Pun begitu, Black berpendapat, walaupun mencabar, pemandangan yang dikelilingi pokok-pokok besar dan suasana nyaman menjadikan pengalaman itu sangat berbaloi

“Lokasi penggambaran memang cantik, dikelilingi pokok-pokok besar dan suasana yang nyaman. Pengalaman itu memang berbeza dan akan dikenang selamanya,” tambahnya. 




Bagi komposer, Mas Dewangga pula, karya ini sememangnya dicipta khusus untuk kedua-dua penyanyi berkenaan. 

“Lagu ini memang dicipta khas untuk Black dan Adira kerana ia merupakan lagu tema (OST) untuk sebuah drama. Saya telah diberikan sinopsis drama terlebih dahulu, jadi saya tahu siapa penyanyinya sejak awal dan proses penciptaan memang dirangka bersesuaian dengan mereka berdua.

“Sejak awal lagi, lagu ini memang dirancang untuk menjadi sebuah lagu duet. Memandangkan lagu ini dicipta berdasarkan sinopsis drama yang melibatkan dua watak utama, jadi format duet dirasakan paling sesuai untuk menyampaikan emosi dan cerita yang ingin diketengahkan,” akhirinya. 

Lagu yang dijangka bakal menjadi siulan ramai terbitan Nova Music Malaysia kini boleh didapati di semua platform penstriman muzik digital. - KitaReporters

15
10
0
12
0
You will be interested