Seni & Sukan 28 Sep, 2025

FAM vs FIFA| Video| Lawan tetap lawan! Berani kerana benar! Maruah, masa depan bola sepak dan pemain!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Pelbagai persoalan timbul selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) didenda CHF350,000 (RM1.8 juta) setelah didapati bersalah berkaitan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan.



Kenyataan FIFA berhubung hukuman denda dan penggantungan tujuh pemain warisan. - Kredit foto: FIFA.

Malah lebih parah tujuh pemain berkualiti kelas A digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan berkuat kuasa serta-merta, selain turut didenda CHF2,000 (RM10,000) setiap seorang.

Tindakan tegas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi satu kenyataan pada malam Jumaat 26 September 2025 itu mengejutkan banyak pihak, di sebalik kerancakan revolusi skuad Harimau Malaya, maruah negara dan kredibiliti FAM.

Badan induk bola sepak negara didapati bersalah kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen pemain warisan.


Malang nasib tujuh pemain warisan negara yang digantung 12 bulan serta denda RM10,000. Foto FB ASEAN Football.

Empat pemain yang terlibat berpangkalan di luar negara itu termasuk di Sepanyol, Gabriel Felipe Arrocha yang mewakili kelab Unionistas dan Facundo Tomas Garces (Deportivo Alaves).

Penyerang, Rodrigo Julian Holgado yang mewakili America de Cali di Colombia serta Imanol Javier Machuca yang beraksi bersama Atletico Velez Sarsfield di Argentina. 

Tempias turut terkena kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) yang membabitkan Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.


Dr Pekan Ramli. - Kredit foto: Bernama

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli melihat perkara tersebut sebagai berat kerana menjejaskan imej Malaysia ibarat gempa bumi atau tsunami yang melanda negara.

Malah tegas beliau, hal berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan badan induk bola sepak dunia bukan seperti isu rasuah yang melanda bola sepak negara pada tahun 1994 yang hanya membabitkan FAM.

"Ia bukan gempa berskala empat, lima atau enam magtitud, tetapi mencecah tujuh, lapan atau sembilan magtitud yang boleh mencetuskan tsunami," katanya kepada KitaReporters.


Mohd Yusoff Mahadi.

Di sebalik kontroversi tersebut, FAM menerusi pemangku Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi akan mengemukakan rayuan sambil menegaskan semua tindakan yang dilakukan adalah mengikut peraturan serta garis panduan sedia ada.

"Pemain terbabit dan FAM telah bertindak dengan niat baik serta penuh ketelusan sepanjang proses ini.

"Malah, FIFA sebelum ini telah meneliti kelayakan pemain berkenaan dan memberikan pengesahan rasmi bahawa mereka layak beraksi mewakili Malaysia," katanya.

Beliau menjelaskan semua dokumentasi dan prosedur diuruskan secara telus dan mematuhi syarat yang ditetapkan, justeru keputusan FIFA untuk mengenakan hukuman dianggap mengejutkan.

Susulan itu, FAM akan menggunakan semua saluran dan prosedur perundangan yang ada bagi memastikan kepentingan pemain serta pasukan kebangsaan Malaysia sentiasa terpelihara.

"FAM kekal komited untuk bertindak tegas, mematuhi peraturan antarabangsa, serta mempertahankan integriti bola sepak negara," katanya.


FAM akan menggunakan semua saluran dan prosedur perundangan yang ada bagi memastikan kepentingan pemain serta pasukan kebangsaan Malaysia sentiasa terpelihara. - Kredit foto: FB FAM.

Dr Pekan sebaliknya melihat kelulusan yang diberikan oleh FIFA tidak termasuk perkara berkaitan dengan proses kewarganegaraan di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Proses kewarganegaraan seseorang pemain itu diluluskan oleh negara tersebut. Dalam kes ini, ia merujuk kepada kerajaan Malaysia.

"FIFA lihat pemain ini telah diterima sebagai warganegara dan mereka tidak pernah mewakili negara-negara lain sebelum ini pada peringkat senior. Jadi mereka boleh mewakili Malaysia," katanya.

Justeru beliau percaya mungkin ada pihak yang berasa curiga, sebelum membuat aduan rasmi dan FIFA melakukan siasatan berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh FAM sebelum ini.

"Saya rasa ini yang berlaku. Itu sebabnya dalam proses ini kita dapat lihat FIFA menjatuhkan hukuman dan kemudian baru meminta penjelasan FAM. Dalam dua keadaan yang berbeza, berbanding minta penjelasan baru jatuh hukuman.

"FIFA menjatuhkan hukuman terus kepada FAM. Maksudnya FIFA sendiri telah membuat siasatan dan dapat bukti yang cukup (pemalsuan dokumen) untuk menjatuhkan hukuman.

"Hukuman itu bagi saya bukan berasa iri hati, dengki atau sabotaj dari negara jiran.  Saya tidak nampak sebab itu, tetapi kredibiliti FIFA sebagai sebuah badan bola sepak antarabangsa yang membuat hukuman berasaskan kepada unsur tersebut (dokumen dari FAM)," katanya.



Dokumen pengesahan kewarganegaraan daripada JPN.

Malah Dr. Pekan turut melihat pemalsuan dokumen sebagai satu jenayah serta kesalahan yang besar dan perlu dikenakan tindakan tegas.

"Andai ada peminat membuat aduan supaya pihak berkuasa membuat siasatan. Bagaimana proses tersebut dibuat, dilakukan secara telus atau sebaliknya.

"Proses memberi kerakyatan kepada pemain warisan bukan perkara kecil, ia satu isu besar yang perlu ditangani segera oleh kerajaan," katanya.

Beliau juga merasakan isu tersebut akan berlarutan ke Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mungkin membatalkan kemenangan 4-0 Malaysia ke atas Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Bukit Jalil pada Jun 2025 lalu.

Tambahnya, tindakan AFC itu mungkin boleh dibuat berdasarkan hukuman yang dikenakan FIFA ke atas FAM.

"FAM juga boleh memberi penjelasan dan membuat rayuan memohon meringankan hukuman atau tidak sampai ke tahap menjejaskan kedudukan mereka. 

"Sebab kemungkinan selepas ini andai keputusan itu kekal, saya pun tak pasti mungkin ada lagi hukuman-hukuman lain yang FAM terpaksa terima. 

"Contohnya mungkin di peringkat AFC pula yang akan menjatuhkan hukuman, menarik balik kemenangan kita ke atas Vietnam," katanya.


Imbas... Kejayaan skuad Harimau Malaya ketika menewaskan Vietnam 4-0 dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 di Bukit Jalil Jun lepas. Kredit foto: Agensi.

Dr Pekan memberitahu, perkara sama juga boleh berlaku dalam saingan domestik, Liga Super yang melibatkan perlawanan JDT menentang kelab tempatan.

"Contohnya kemenangan JDT yang menurunkan pemain-pemain yang tidak sah ini. Kelab-kelab tempatan mungkin minta supaya ia dibatalkan.

"Isu-isu ini boleh berlaku, walaupun kita melihat ia sebagai satu perkara yang mungkin belum lagi sampai ke tahap itu. Kita juga tidak boleh melihat ia sebagai satu perkara remeh," katanya.

Malah beliau melihat isu berkenaan turut menjejaskan skuad negara apabila akan kehilangan beberapa pemain utama yang telah memperaga aksi terbaik ketika beraksi bersama pasukan.

"Tetapi pada masa sama kita perlu berlaku adil. Kita perlu sedar bahawa tidak boleh ambil jalan singkat dengan cara begini.

"Kita perlu balik semula kepada proses yang betul dan wajar memberikan kepercayaan kepada pemain-pemain tempatan. Itulah yang yang sepatutnya berlaku," katanya.

Dr Pekan berpandangan bahawa perkara berkenaan turut menjurus kepada krisis kepercayaan dan pengurusan sukan bola sepak pada peringkat antarabangsa.

"Bagi menangani krisis kepercayaan ini mengambil masa. Malah kita juga perlu mengukuhkan integriti, kebertanggunjawaban dan pengurusan bola sepak secara telus kerana ia melibatkan banyak pihak termasuk penaja," katanya.


Tunku Ismail.

Dalam pada itu, pengerak revolusi Harimau Malaya yang juga Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil mempertahan FAM sambil menegaskan, semua perkara mengikut proses yang betul menerusi kerjasama dengan FIFA dan Kerajaan Malaysia. 

"FIFA pun sudah approve (lulus) sebelum ini tetapi kenapa keputusan bertukar now (sekarang)? Apa yang berlaku sampai tiba-tiba ada keputusan macam ini? Adakah ada entiti luar yang terlibat mempengaruhi keputusan FIFA?"

"Lagi satu persoalan, hukuman telah dijatuhkan tanpa memberi sebab-sebab keputusan. Tambahan lagi FIFA cepat untuk mengeluarkan keputusan tersebut dalam 'public domain' walaupun proses rayuan belum selesai. Who was in New York?," catat baginda menerusi laman sosial pada Sabtu, 27 September 2025. 

Baginda yang juga pemilik JDT turut melampirkan dokumen dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sambil mahu FAM segera membuat rayuan. 

"Ini adalah surat pengesahan daripada JPN. Tak kan kita takut dan nak tunduk dengan individu-individu yang khuatir dengan kebangkitan Harimau Malaya. 

"Lawan tetap lawan. Berani kerana benar," catat baginda. - KitaReporters



15
24
0
16
0
You will be interested