
Setelah penantian hampir tiga dekad, pasukan bola sepak bawah 18 tahun (B-18) Maktab Tentera Diraja (MTD) akhirnya menamatkan kemarau kejuaraan apabila dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bola Sepak MSSD Zon Bangsar 2025.
Kemenangan bersejarah itu diraih menerusi kejayaan menewaskan pencabar tradisi, Victoria Institution (VI) dengan keputusan tipis 1-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit dan penuh emosi pada 17 Julai 2025.
Jaringan kemenangan hadir lima minit sebelum wisel penamat apabila pemain gantian, Muhammad Syabil Badrulhisam memanfaatkan peluang terhidang untuk meledak gol tunggal perlawanan, sekali gus mengangkat semangat pasukan dan warga MTD yang hadir memberi sokongan.

Barisan pertahanan MTD yang diketuai Mohd Fakhrul menunjukkan disiplin dan keberanian tinggi dalam menyekat serangan lawan.
Kecekapan penjaga gol Haziq Mazlan selaku penjaga gol turut menjadi sandaran utama apabila beliau dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir hasil beberapa aksi menyelamat yang meyakinkan.
Kejayaan ini membuktikan kesungguhan MTD dalam melahirkan pelatih (pelajar) yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan ketenteraan, malah menyerlah dalam sukan sebagai pemangkin pembinaan jati diri.
Turut diberi penghargaan atas kejayaan tersebut ialah jurulatih pasukan, Bekas Putera Aznor Dzulkarnain, serta guru sukan dan guru pengiring , Cikgu Zulkhairiey Ahmad dan Cikgu Ashraf M Ridzuan yang memainkan peranan penting dalam membentuk pasukan yang mantap dari segi teknikal dan mentaliti.
Tahniah Pasukan Bolasepak B-18 MTD. - KitaReporters
