Seni & Sukan 04 Sep, 2025

Jangan kena kad merah! SOP khas tangani salah laku pemain, pegawai! Untuk kejohanan STL-CC 2025!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this

Gara-gara tindakan menceroboh gelanggang, memaki hamun pengadil, dan membaling botol air, Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) memperkenal prosedur operasi standard (SOP) khas dalam menangani kes salah laku pemain dan pegawai pasukan. 


Pengadil (kiri) menjadi nadi penting bagi memastikan kelancaran setiap perlawanan. - Kredit foto: FB PSM.


Kejohanan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL-CC) 2025 di Arena Karisma, Seremban, Negeri Sembilan yang bermula pada Rabu 3 hingga 7 September menjadi kejohanan pertama menguatkuasakan SOP berkenaan yang diharapkan mampu mencegah tindak-tanduk keterlaluan pemain dan pegawai pasukan bertanding.

Ia termasuk tindakan menceroboh gelanggang, membaling botol air, memaki pengadil perlawanan dan menendang papan iklan seperti pada beberapa siri Grand Prix STL 2025 khususnya di Kuala Lumpur dan Johor Bahru, baru-baru ini.


Abdul Halim Kader (depan, dua dari kiri) bersama para pengadil Malaysia dan antarabangsa menayangkan kad merah sebagai simbolik SOP khas menangani salah laku pemain dan pegawai pasukan pada kejohanan STL: CC 2025 di Seremban. - Kredit foto ASTAF. 


Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, analisisnya mendapati kes-kes salah laku itu dianggap mencemari sukan sepak takraw dan wajar ditangani dengan serius dan segera memandangkan STL-CC 2025 turut disertai pasukan Ratchaburi Thailand, Singapore MGPC, India Fighters, Korea KSTA dan Japan Sepak Takraw.

Lima pasukan terbaik tempatan STL Divisyen Perdana yang turut merebut gelaran STL-CC 2025 di Arena Karisma yang baharu dan canggih itu ialah pemenangnya, Perak Bison diikuti oleh Kuala Lumpur Thunder, Melaka Titans, Negeri Sembilan Antlers dan Johor Tigris.

“SOP ini akan menguatkuasakan pengenaan kad merah atau kuning terhadap pemain dan pegawai secara automatik ekoran salah laku mereka.

“Mereka wajib disusuli dengan digantung daripada beberapa perlawanan tertentu dalam kejohanan terbabit sehingga laporan aduan rasmi pengadil diterima Wakil Teknikal atau Pengarah Kejohanan dan dibicarakan serta dikenakan tindakan tertentu oleh sebuah jawatankuasa tatatertib penganjur,” katanya. 


Perak Bison muncul juara keseluruhan STL 2025. - Kredit foto: FB PSM.


Abdul Halim menegaskan bahawa SOP itu akan melengkapkan dan memperjelas Fasal 16.4.1 dan 16.4.2 serta 17.2 Undang-undang Permainan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

“Sudah tiba masanya SOP ini dikuatkuasakan, manakala tugas dan tanggungjawab pengadil perlawanan dikemaskinikan,” ujar Abdul Halim yang juga Setiausaha Agung ISTAF.

Menurutnya, ASTAF sentiasa memantau rapi perjalanan STL 2025 anjuran bersama  Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan sebuah stesen televisyen termasuk di Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Ipoh dan Seremban juga mendapati para pengadil perlawanan kerap menjadi sasaran kecaman dan kontroversi.

Malah beliau hairan bagaimana berlakunya seorang jurulatih yang telah dikenakan kad merah oleh pengadil dalam perlawanan tertentu, masih dibenarkan berada dan bertugas dengan pasukannya bagi perlawanan berikutnya tanpa sebarang tindakan tatatertib terutama sekali oleh PSM.

“Mungkin ada segelintir kesilapan pengadilan ketika itu yang mengakibatkan pemain dan pegawai menjadi agresif apabila membantah keputusan mereka.

“Saya tidak salahkan mereka yang telah bertungkus lumus dengan tugas dan tanggungjawab tersebut kerana bukan senang untuk mengawal situasi di gelanggang apatah lagi dengan ribuan penonton yang menimbulkan macam-macam reaksi,” katanya.


Perlawanan sepak takraw sering menjadi tumpuan para peminat sukan tradisional itu. - Kredit foto: FB PSM.


Menurut Abdul Halim, bagi STL-CC 2025 di Seremban, ASTAF membantu PSM melicinkan SOP berkenaan dengan kehadiran 10 pengadil Malaysia bertauliah ISTAF dan lima dari India, Indonesia, Singapura dan Thailand serta Korea Selatan selain 10 pegawai teknikal antarabangsa (ITO).

“ASTAF juga memperkenal satu laporan analisis pengadil perlawanan menerusi borang khas bagi menambah baik perjalanan tugas mereka dari semasa ke semasa, berkuat kuasa pada STL-CC di Seremban ini,” ujarnya. - KitaReporters

12
13
0
8
0
You will be interested